KelabMama

Senarai Snek Untuk Orang Berpantang Yang Berkhasiat dan Cara Penyediaannya

Salah satu perkara yang sering diperbualkan semasa berpantang ialah perihal makanan. Masyarakat Asia sangat mengambil berat tentang pemakanan ibu yang berpantang.

Berpantang dalam pemilihan makanan bukanlah untuk membebankan ibu atau adat yang diturunkan tanpa sebab dan alasan munasabah. Setelah hampir 9 bulan mengandung, berat badan mama tentunya akan bertambah.

Waktu berpantanglah waktu untuk para ibu merancang menurunkan berat badan supaya kekal sihat. 

Namun demikian, daripada pengalaman Mama Siti sendiri, waktu berpantanglah waktu yang nafsu makan ini banyak menduga. Mungkin kerana menyusu badan, ataupun tidur yang tak menentu selepas bersalin, Mama Siti sering berasa cepat lapar.

Hendak makan sembarangan, memang agak keberatan. Jadi di sini, Mama Siti ingin kongsikan 10 jenis snek makanan berkhasiat dan sedap untuk ibu yang sedang berpantang:   

Snek Untuk Orang Berpantang

#1 Serunding halia 

Halia memang sangat sinonim dengan ibu berpantang. Antara kebaikannya yang tidak boleh dinafikan ialah membantu mengurangkan kadar kolestrol di dalam badan, mengurangkan sakit kepala, dan melancarkan proses pencernaan. 

Sumber: shopee.com.my

CARA PENYEDIAAN:

Serunding halia ini hanya memerlukan halia tua, yang ditumbuk halus atau disagat, sedikit bawang putih yang ditumbuk, garam dan sedikit gula (mengikut selera ibu) yang digoreng garing di dalam minyak panas.

Setelah garing, toskan minyak, keringkan dengan tisu dan simpan di dalam bekas kedap udara untuk diratah bila-bila masa sahaja, menjadikanya antara snek untuk orang berpantang yang popular dan berkhasiat.

#2 Ikan Bilis Masak Lada Hitam

Lada hitam juga salah satu rempah yang digalakkan pengambilannya semasa berpantang. Ia adalah ejen antioksida yang membantu badan untuk membuang toksik berlebihan dalam badan.

Lada hitam juga berfungsi sebagai antimikrob yang menghalang atau melemahkan mikroorganisma asing yang masuk ke dalam badan seseorang. 

CARA PENYEDIAAN

Kalau mama sedang mencari sesuatu yang  dapat menghilangkan gian untuk mengunyah di kala duduk berehat sambil berpantang, bolehlah cuba untuk tumis sedikit bawang merah dan bawang putih yang diracik halus, kemudian masukkan ikan bilis yang sudah digoreng garing dan tambahkan lada hitam yang sudah ditumbuk bagi menaikkan selera.

Ikan bilis itu, mama boleh goreng begitu sahaja, atau tumbuk halus sebelum menggaulkan dengan semua bahan.

#3 Bawang putih (Garlic Crunch)

Lagi satu menu kegemaran Mama Siti yang banyak manfaatnya ialah garlic crunch. Bawang putih sangat signifikan dengan penyakit jantung dan jangkitan peparu.

Bagi mama yang berpantang, bawang putih membantu membunuh parasit di dalam badan, memperbaiki sistem penghadaman dan mengawal kandungan kolestrol badan. Ia juga dapat mengurangkan kandungan gula di dalam badan. 

Snek garlic crunch ini sangat mudah dibuat dan ibu boleh tambah bahan-bahan lain untuk memberi rasa yang lebih enak dan kreatif.

CARA PENYEDIAAN:

Racik halus bawang putih, dan panggangkannya. Bawang putih yang sudah dipanggang itu kemudiannya bolehlah digaul dengan garam. Kalau nak lebih ‘kick’ lagi, panaskan sedikit minyak di dalam kuali, tumis sedikit lada kisar dan goreng garing kemudian gaulkan bawang putih yang dipanggang itu bersama-sama.

Pasti menyelerakan bila makan garlic crunch ini dengan hidangan tengahari atau malam, dan boleh juga dikunyah bila-bila masa sahaja. 

#4 Pegaga Goreng Rangup

Jus pegaga sering menjadi menu untuk ibu yang berpantang. Ya, ia agak pahit, tetapi, di dalam pahit itulah ada penawar kesembuhan. Daun pegaga membantu untuk mengecutkan peranakan sekaligus membantu mencepatkan proses penyembuhan semasa berpantang.

Ia juga adalah salah satu sumber milk booster yang membantu meningkatkan kuantiti susu ibu. Bagi mama-mama yang baru selesai menjalankan C-section semasa melahirkan, pegaga juga membantu menyembuhkan proses luka bersalin dengan cepat. 

Sumber: shopee.com.my

CARA PENYEDIAAN:

Untuk menikmati khasiat pegaga, selain dari membuat ulam dan jus, mama juga boleh membuat kudapan pegaga goreng rangup. Mudah sahaja cara-caranya. Mama perlu potong pegang, gaulkan dengan tepung goreng serbaguna dan panaskan kuali. Pastikan minyak tidak terlalu panas untuk mengelakkan pegaga hangus.

Goreng hingga garing, kemudian toskan. Selepas itu, goreng garing hirisan halia dan bawang putih dan toskan. Gaulkan pegaga bersama hirisan halia dan bawang putih yang digoreng garing itu serta taburkan sedikit garam sebagai penambah perasa dan chili flakes bagi yang gemarkan rasa pedas. 

#5 Biskut laktasi

Ada banyak biskut milk booster yang dijual di atas talian yang boleh mama pilih sebagai snek lazat dan berkhasiat. Kebanyakan biskut-biskut ini mengandungi bahan-bahan yang dipercayai mampu menggalakkan tubuh badan mama menghasilkan susu badan dalam kuantiti yang banyak dan berkhasiat.

Antara bahan utama di dalam biskut ini termasuklah oat, flaxseed, biji selasih dan juga ditambah cip coklat sebagai penaik selera. Bagi mama-mama yang gemarkan snek manis untuk menjadi alas perut di antara waktu makan, bolehlah mencuba mana-mana biskut laktasi yang ada dijual di pasaran. 

#6 Buah-buahan Kering (Dried Fruits)

Tidak dinafikan yang buah-buahan menjadi sumber vitamin yang membantu mempertahankan sistem imun badan. Ada juga buah yang mengandungi kandungan serat yang tinggi yang membantu dalam sistem penghadaman. 

Semasa berpantang, mama mungkin perlu berhati-hati dalam membuat pilihan buah-buahan segar. Tetapi, bukanlah bermakna mama tidak boleh mengambil kebanyakan buah-buahan.

Buah-buahan yang dikeringkan, atau dried fruits, adalah salah satu snek pilihan yang boleh Mama ambil semasa berpantang. Buah-buahan seperti kurma, aprikot dan buah tin (fig) yang dikeringkan bukan sahaja enak dan banyak khasiat untuk mama.

#7 Kek 2 minit tanpa susu

Bagi mama yang memang terbiasa dengan makanan-makanan manis seperti kek, kuih-muih dan sebagainya, pasti akan terlintas di dalam fikiran untuk menikmati snek kegemaran mama di dalam waktu berpantang.

Namun, ada juga yang ‘mengidam’ untuk makan tetapi menahan hawa nafsu kerana risau melanggar pantang yang tidak menggalakkan pengambilan telur di dalam makanan. 

Mama Siti ada cadangan untuk mama mencuba kek 2-minit hanya menggunakan gelombang ketuhar mikro (microwave) yang tidak memerlukan gula. 

Mama hanya perlu campurkan bahan-bahannya iaitu tepung, satu sudu minyak masak, susu segar, gula, sedikit tepung soda dan sedikit garam.

Kemudian, sebatikan semua campuran dan masukkan ke dalam microwave untuk 2 minit. Biarkan ia sejuk dalam 30 hingga 45 saat dan nikmati snek enak yang pasti membuatkan mama puas hati.   

#8 Pelbagai jenis kekacang

Bagi mama yang hanya perlukan snek ringan, Mama Siti juga mencadangkan untuk amalkan pemakanan sihat seperti makan makanan kekacang sebagai snek.

Kacang mengandungi zat besi yang boleh membantu menambah darah serta menstabilkan hormon badan yang membantu menstabilkan emosi. Antara kekacang yang mengandungi banyak zat besi termasuklah kacang badam, hazel, pistachio dan kacang gajus. dan hazel.

Kacang gajus dan badam juga  menggalakkan penghasilan susu badan dan pastinya mama akan rasa tenang dan senang apabila susu badan mencukupi untuk si comel kesayangan.

#9 Hummus

Kacang kuda tergolong daripada kumpulan kekacang yang sangat kaya dengan vitamin, mineral dan serat fiber. Ia dapat membantu dalam diet harian serta mengurangkan risiko penyakit berbahaya.

Kacang kuda juga kaya dengan protein yang dapat memberi tenaga untuk mama yang berpantang dan sedang menyusu badan. 

kredit: Beamboozle

Salah satu snek untuk orang berpantang kegemaran Mama Siti yang menggunakan kacang kuda sebagai bahan utama ialah hummus, masakan yang digemari oleh penduduk Mediterranean.

Hendak menyediakannya pun sangat mudah.

CARA PENYEDIAAN:

Hanya perlu kisar bahan-bahannya iaitu kacang kuda dalam 500g, bawang putih, jus lemon, 3 sudu besar tahini (yang boleh beli di kedai Arab), 3 sudu besar minyak zaitun dan garam. Selepas dikisar, mama bolehlah simpan hummus di dalam bekas dan gunakan ia sebagai pencicah untuk makan biskut kering atau roti. 

#10 Popcorn

Snek bertih jagung atau lebih dikenali sebagai popcorn mungkin lebih digemari oleh kanak-kanak. Tetapi, masa berpantang, popcorn juga antara snek berkhasiat yang boleh mama siapkan semasa berpantang. Mama Siti menggalakkan homemade popcorn yang sangat mudah untuk dibuat. 

Jagung sangat kaya dengan serat serta ejen antioksida yang bagus. Pengambilan jagung dapat membantu melancarkan edaran darah, meningkatkan sistem penghadaman dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit seperti kanser. 

Sumber: britannica.com

CARA PENYEDIAAN:

Snek popcorn yang sihat sebenarnya mudah sahaja untuk disediakan. Mama cuma perlu beberapa genggam biji jagung, sesudu minyak dan sedikit garam yang digaulkan di dalam bekas bertutup.

Sebaiknya mama masukkan ke dalam beg kertas yang besar dan ditutup rapi sebab proses popping akan mengambil tempat yang besar. Masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk 2 hingga 2 minit atau sehingga mama dengar bunyi ‘pop’ yang meletup-letup.

Berhati-hati semasa hendak membuka beg kertas itu kerana suhu di dalamnya agak tinggi yang membuatkan biji jagung bertukar menjadi bertih jagung. 

Sumber: thisni3zahata.blogspot.com

Pesan Mama Siti untuk ibu-ibu yang sedang berpantang agar berjaga-jaga dalam pemilihan makanan. Jangan berlebihan semasa menambahkan garam dan gula sebagai penambah perisa di dalam makanan.

Terbaiknya jika snek untuk orang berpantang ini disediakan oleh mama sendiri bagi mengawal kandungan gula dan garam mengikut kesesuaian.

Ya, pasti ianya sesuatu sukar, tetapi percayalah, ianya sangat berbaloi dan bukanlah satu jangka masa yang lama. Selamat berpantang.