KelabMama

Ngilu Sakit Bersalin Pun Masih Terasa, Ni Sembelit Pulak! 5 Tips Legakan Sembelit Selepas Bersalin

Fuh, mesti rasa lega sangat bila dah selamat lahirkan cahaya mata! Perkara pertama terlintas di fikiran Mama tentulah nak relax dan enjoy fasa berpantang, bukan?

Lagi pula masa pantang ni confirm ada orang berpengalaman yang akan tolong jagakan baby. Hmm, bunyi macam indahkan Mama!

Tapi yakin ke Mama dapat nikmati tempoh berpantang tanpa perlu hadap benda-benda yang menyakitkan lagi?

Orang keliling memang biasa kata time berpantang adalah waktu terbaik untuk ibu baharu berehat, fokus pada healing process memandangkan baby pun tak banyak ragam lagi.

Jadi bila anak tidur, ibu pun patut ikut tidur sebelum si kecil dah pandai nak explore.

Ya, semestinya kita merasakan sebaik sahaja proses melahirkan, maka azab sakit pun dah berakhir. Tapi awas Mama, tak semua ibu-ibu itu berpeluang menikmati fasa berpantang dengan aman ye.

Malangnya, sesetengah ibu terpaksa menanggung masalah sembelit ketika tempoh awal berpantang.

Lebih buruk lagi apabila ibu-ibu berkenaan bersalin secara normal dan mengalami koyakan teruk hingga terpaksa dijahit dengan banyak.

Aduh, ngeri bunyinya, bukan?!

Pengalaman Mama Siti melahirkan anak pada tahun lalu juga tidak terkecuali apabila mengalami koyakan yang agak serius hinggakan doktor terpaksa menjahit kulit luar ke bahagian tepi lantaran kata mereka tekstur kulit Mama Siti yang fragile menyebabkan ianya pecah semasa proses kelahiran.

Akibatnya, dua minggu pertama berpantang dirasakan amat terseksa kerana sakit di bahagian luka jahitan.

Duduk terasa sakit, baring juga terseksa. Hanya berdiri je barulah luka jahitan tak terasa pressure. Dalam tempoh berkenaan pula Mama Siti alami masalah sembelit sehingga menyebabkan jahitan sedikit terbuka.

Maka, terpaksalah Mama Siti berhadapan dengan kesakitan yang sama apabila dijahit untuk kali kedua bagi memastikan koyakan bersalin dapat bercantum dengan baik.

Jika ditanya journey pantang Mama Siti, sehingga kini anak sulung dah nak masuk usia dua tahun pun masih rasa trauma jika dikenang semula pengalaman berpantang untuk kali pertama itu. Namun, atas pengalaman inilah Mama Siti banyak explore mengenai fasa sembelit ketika berpantang.

Jom kita ketahui punca sembelit selepas bersalin!

Punca Sembelit Selepas Bersalin

Banyak faktor yang dikaitkan dengan masalah selepas bersalin dan kebiasaannya ia berlaku kerana kegusaran ibu-ibu itu sendiri untuk buang air besar buat pertama kali selepas melahirkan anak.

1. Perasaan takut yang keterlaluan

Terlalu berasa risau untuk buang air besar khususnya selepas prosedur kelahiran bayi sebenarnya boleh memburukkan lagi situasi. Ia kerana perkara itu menyumbang kepada faktor sembelit lantaran Mama akan ‘takut-takut’ untuk meneran dan membuatkan Mama tidak tenang sekaligus mengetatkan saluran belakang.

2. Perubahan hormon

Sesetengah wnita akan menghadapi perubahan hormon ketika hamil dan ia berlarutan sehingga bersalin dimana hormon berkenaan beralih secara perlahan.

Adakalanya, perubahan hormon boleh mengakibatkan masalah sembelit berikutan perubahan gaya hidup, tabiat pemakanan dan pelbagai lagi faktor yang boleh dikaitkan.

3. Ubat selepas bersalin

Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan tekstur najis seseorang menjadi keras. Sebahagian doktor adakalanya membekalkan beberapa jenis ubat untuk dibawa pulang sebaik selesai proses melahirkan cahaya mata.

Bagaimanapun, Mama boleh menunjukkan ubat berkenaan kepada nurse atau doktor yang akan memantau perkembangan Mama sewaktu berpantang untuk mengetahui lebih lanjut tentang ubat-ubatan berkenaan.

4. Dehidrasi

Dehidrasi berlaku apabila kekurangan air dalam tubuh dan ia keadaan paling sinonim untuk Mama mengalami sembelit. Bagi mengatasi hal ini, Mama harus memperbanyakkan makan buah-buahan serta minum air kosong secukupnya bagi memastikan najis mudah dilawas.

Sesetengah amalan berpantang secara tradisional melarang para ibu untuk makan buah-buahan atau minum air kosong dengan banyak.

Tetapi di zaman era moden ketika ini, pakar perubatan telah menepis larangan itu. Sebaliknya, menyarankan ibu-ibu yang baru bersalin untuk makan buah-buahan dan minum air sebanyak yang boleh bagi mengatasi masalah sembelit.

Daripada sudut kesihatan, ia adalah baik bagi proses pemulihan luka jahitan, kesihatan tubuh, penghasilan susu badan berkualiti dan pelbagai lagi manfaat.

Tips Legakan Sembelit Selepas Bersalin

1. Pengambilan ubat diluluskan

Terdapat beberapa ubat yang berfungsi melembutkan najis dan ianya amat sesuai digunakan untuk Mama yang baru lepas bersalin.

Pengambilan ubat berkenaan membantu Mama membung air besar dengan lebih lancar tanpa perlu meneran. Maka, Mama tak perlulah risau kalau nak buang air besar ketika fasa awal berpantang.

Bagaimanapun, pastikan Mama rujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum consume ubat berkenaan!

2. Diet pemakanan yang sihat

Menurut laporan kesihatan oleh Hello Doktor, makanan berserat tinggi seperti bijirin penuh, roti gandum, beras perang, kekacang, buah-buahan dan sayuran adalah pilihan terbaik untuk melancarkan pergerakan sistem pencernaan.

Pengambilan 2-3 biji buah prun dikatakan sama seperti pengambilan julap. Selain kaya serat tinggi, ia juga mengandungi sugar alcohol yang mempunyai kesan julap semula jadi. 

3. Minum air secukupnya

Penyusuan badan boleh menjadi punca sembelit selepas bersalin lantaran sebahagian air yang masuk ke tubuh digantikan untuk memproses susu badan.

Tanpa air mencukupi, usus akan menyerap air daripada sisa makanan. Kesannya najis menjadi lebih keras dan tidak bergerak. Jika menyusukan si kecil, sasarkan 10-12 gelas air sehari.

4. Tidak tangguh untuk ke tandas

Menahan keinginan untuk membuang air besar akan membuatkan najis menjadi keras. Jangan lambat ke tandas dan elakkan meneran terlalu kuat atau ia boleh menyebabkan buasir.

5. Posisi membuang air yang betul

Elakkan tandas mencangkung, kerana ia boleh menyebabkan anda berasa lebih takut jahitan akan terbuka. Sebaliknya, pilih tandas duduk dan letakkan kaki di atas bangku kecil.

Memetik laporan sama daripada Hello Doktor, meninggikan kaki membolehkan lutut lebih tinggi daripada pelvis dan membantu mengendurkan otot puborectalis – sekali gus melancarkan pergerakan usus.

Simptom-simptom Bahaya Perlu Diperhatikan

  1. Darah atau lendir dalam najis
  2. Sembelit berselang-seli dengan cirit-birit
  3. Pendarahan rektum berlebihan
  4. Bonjolan teruk dan menyakitkan pada faraj, vulva atau perineum
  5. Kesakitan rektum yang teruk
  6. Sakit perut teruk
  7. Tidak membuang air besar pada hari ketiga selepas bersalin

Bagaimanapun, Mama dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor bagi sebarang keadaan mencurigakan atau jika ada kekeliruan yang Mama hadapi. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat Mama dalam melalui fasa berpantang yang baik.


Untuk lebih banyak perkongsian kesihatan daripada Mama Siti klik SINI.