KelabMama

Sawan Ketika Mengandung Disangkakan Gangguan Makhlus Halus

Mama pernah dengar bagaimana ibu mengandung boleh mengalami sawan atau eclampsia? Bahaya atau tidak sebenarnya perkara ini? Sering kali kita dengar sawan dialami oleh kanak-kanak, tapi kali ini doktor ini kongsikan bagaimana seorang ibu mengandung mengalami sawan.

Kisah ini dikongsikan oleh Dr Hana Hadzrami di status Facebook beliau:

‘Gangguan syaitan’ hingga tidak sedarkan diri.


Ada seorang ibu mengandung tiba-tiba mengalami sawan. Ahli keluarga yang panik terus bawa dia berjumpa ustaz untuk berubat. Ustaz kata ada gangguan dan buat rawatan menghalau hantu syaitan. Tapi sawan tak berhenti hinggakan ibu tak sedarkan diri.

Eclampsia – Komplikasi Darah Tinggi

Sampailah ada saudara mara lain campur tangan barulah dibawa ke hospital. Sebenarnya ibu tadi mengalami eclampsia iaitu komplikasi darah tinggi sewaktu mengandung. Ia adalah obstetric emergency yang sangat digeruni oleh para doktor.

Biasalah budaya masyarakat kita. Masalah kesihatan yang ‘lain daripada yang lain’ disangkakan gangguan syaitan atau makhluk halus. Dibawa berjumpa ustaz dan bukannya hospital. Kerana apa? Tidak percayakan proses perubatan dan rawatan zaman ini. Namun, hal yang lebih menyedihkan pula berlaku.

Anak dalam Kandungan Meninggal Dunia

Sampai saja dihospital anak dalam kandungan dah pun meninggal dunia. Ibu itu pula terpaksa distabilkan di ICU dan bengkak otaknya. Hampir saja dia meninggal dunia.

Kesian. Bukan gangguan syaitan tetapi gangguan fisiologi dan biokimia badan.

Allahu, semoga tabah keluarga si ibu.

Kes yang Lain: Pemuda Bercakap Sendirian


Ada lagi suatu kes, seorang pemuda yang mengalami perubahan perangai dan bercakap sendirian. Keluarga yang mensyaki dia disihir telah membawanya berubat dengan ahli perubatan islam.

Gangguan Mental, bukan Sihir

Apabila diperiksa oleh ustaz, dia kata ini gangguan mental, bukan sihir atau gangguan syaitan. Pergilah bawa berjumpa doktor psikiatri. Hasilnya pesakit tersebut semakin pulih setelah menerima rawatan. Syukur.

Itulah beza orang yang ahli dengan yang tidak. Dia arif tentang bidangnya dan tak memandai beri pendapat tentang perkara diluar bidang kepakarannya.

Nasihat Dr Hana: Jangan Main-main dengan Kesihatan & Nyawa

Perkara melibatkan kesihatan dan nyawa bukan perkara main-main. Ini bukan pendapat tentang resepi masakan atau cara lipat kain. Jika perkara biasa, ikut suka andalah nak buat macam mana.

Semoga kita semua berusaha untuk memberi manfaat kepada manusia dan dijauhkan membawa musibah dan malapetaka kepada orang lain.

Apa itu Eclampsia ketika Mengandung?

Mengikut Dr Muhammad Izzat, ianya merupakan satu keadaan yang berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang mendadak – disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan kehadiran protein dalam air kencing.

Kredit: preelampsia.org

Kesan Eclampsia Ibu terhadap Bayi

Dipetik dari status Dr Muhammad Izzat, eclampsia yang dialami si ibu boleh membahayakan bayi dalam kandungan. Tumbesaran bayi boleh terbbantut disebabkan kuantiti oksigen dan nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi.

Air ketuban ibu juga akan berkurang. Sekiranya tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut di dalam kandungan.

Risiko mendapat Eclampsia:

Rawatan untuk Eclampsia

Menurut Dr Muhammad Izzat, JIKA

  1. Tekanan darah naik secara sederhana;

Mama dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh atau Mama juga mungkin diminta pergi ke klinik kesihatan setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.

CARA: Berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke uri.

2. Tekanan darah naik secara mendadak;

Mama akan diminta masuk ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau dengan rapi. Kadar tumbesaran bayi akan diperiksa. CTG (cardiotocography) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum.

Kenapa? Ianya ialah untuk memanjangkan tempoh kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang kepada bayi supaya tidak dilahirkan secara pramatang.

Maka kehamilan dengan eclampsia perlu dipantau setiap hari, dari semasa ke semasa. Hal ini supaya doktor dapat mengesan bayi-bayi yang bakal mengalami komplikasi ini. Barulah doktor dapat mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan kandungan Mama dan juga Mama sendiri. Jangan mudah percaya dengan gangguan makhlus halus apabila ianya berkaitan dengan kesihatan. Lebih baik Mama pergi berjumpa doktor dahulu, baru Mama fikirkan cara lain jika tidak mendapat kata penyelesaian yang terbaik.