KelabMama

Top 26 Pulau Tercantik di Malaysia. Sekali Jejak Kaki, Meronta Tak Nak ‘Back to Reality’!

pulau di malaysia

Paparan di televisyen dan media sosial selalu buatkan kita rasa teringin melancong ke luar negara. Namun begitu, Mama Siti rasa kita wajar mempertimbangkan pulau-pulau yang ada di seluruh Malaysia.

Kalau pulau di Sabah terkenal dengan pasir memutih dan aktiviti menyelam, pulau di Semenanjung pula mendapat tarikan daripada terumbu karangnya.

Kali ini, Mama Siti kongsikan keunikkan setiap satu pulau-pulau yang terdapat di Malaysia ini. Jom kita lihat lebih dekat lagi tawaran yang disediakan di setiap lokasi.

25 Pulau Tercantik Di Malaysia Yang Harus Dikunjungi

#1 Pulau Mabul, Sabah

Salah satu lokasi muck diving terbaik di dunia ialah di Pulau Mabul. Perjalanan 15 minit menaiki bot laju dari Pulau Sipadan bakal menawarkan aktiviti menarik buat pengunjung yang datang. 

Menariknya, Seaventures Dive Resort menawarkan Kursus PADI iaitu kursus mendapatkan lesen menyelam. Sekain itu, jangan lepaskan peluang untuk menyertai pesta air Regatta Lepa yang memaparkan adat resam dan tradisi ‘Gipsi Laut‘

#2 Pulau Tioman, Pahang

Faktor utama kedatangan pelancong ke Pulau Tioman adalah kerana batu karangnya yang indah. Itulah sebabnya pulau ini terkenal dengan aktiviti menyelam skuba dan snorkeling. 

Selain aktiviti air, Mama boleh menerokai kepelbagaian flora dan fauna dengan aktiviti jungle trekking. Paling seronok, terdapat air terjun di hutan Pulau Tioman ini. 

#3 Pulau Bohey Dulang, Sabah

Dikatakan suhu air di pulau ini sentiasa suam disebabkan oleh keadaan iklim tropika di sana. Waktu terbaik datang ke Pulau Bohey Dulang ialah pada bulan Februari hingga April. Tempoh waktu tersebut terlindung dari hujan lebat atau ribut. 

Selain itu, Mama boleh melawat Taman Marin Tun Sakaran untuk melihat sendiri pembiakan spesies kerang gergasi dan rumpai laut.

#4 Pulau Lankayan, Sabah

Aktiviti tumpuan di Pulau Lankayan ialah skuba diving. Pelbagai hidupan laut boleh dilihat sendiri apabila menyelam di sini. Para penyelam sering datang ke sini untuk melihat sendiri Leopard Shark, Whale Shark dan Giant Grouper.

#5 Pulau Kapalai, Sabah

Tidak jauh dari Pulau Sipadan, terdapat resort terapung di Pulau Kapalai, Sabah. Resort yang dibina di atas laguna pasir yang dikelilingi batu karang. 

Bayangkan, Mama dapat melihat keindahan terumbu karang semula jadi dari atas balkoni resort sahaja di waktu siang. Ditambah pula dengan air jernih kebiruan pasti menjadikan pengalaman percutian yang tak dapat dilupakan. 

#6 Pulau Mamutik, Sabah

Sebuah pulau kecil yang menjadi sebahagian Taman Laut Tunku Abdul Rahman di Negeri Sabah. Seperti biasa, kalau datang ke pulau-pulau di Sabah, jangan lepaskan peluang melihat keindahan lantai laut yang memukau pandangan. 

Pulau ini juga merupakan satu-satunya pulau dalam Taman Negara yang dibenarkan untuk membina khemah sambil beristirehat.

#7 Pulau Carey, Selangor

“Selangor ada pulau? “

Eh, mestilah ada. Pulau Carey ialah destinasi santai dan rekreasi yang terletak di pantai barat Malaysia.

Aktiviti menarik disini termasuklah melawat Mah Meri Cultural Village iaitu sebuah perkampungan orang asli yang membolehkan Mama merasai suasana masyarakat orang asli, lengkap dengan pakaian, kraftangan, dan tariannya sekali. 

#8 Pulau Ketam, Selangor

Satu lagi pulau di Negeri Selangor yang terletak berdekatan dengan Pelabuhan Klang. Uniknya, pulau ini dihuni oleh ramai nelayan berbangsa Cina.

Lebih menarik, sebagai pulau yang telah lama diduduki, tiada satu pun kereta disini kerana pengangkutan darat utama di pulau ini ialah basikal. Menarik bukan?

#9 Pulau Dayang Bunting, Kedah

Ia terkenal dengan cerita rakyat tentang puteri kayangan bernama Mambang Sari yang pernah tinggal di Tasik Dayang Bunting.

Pengunjung yang datang ke tasik ini sebenarnya tertunggu-tunggu untuk melihat sendiri bukit-bukau yang membentuk wanita hamil sedang berbaring. 

#10 Pulau Bruit, Sarawak

Sebuah pulau terbesar di Sarawak yang mempunyai 13 buah kampung di sebelah pantai barat. Cara pengangkutannya sama seperti ke Pulau Langkawi iaitu dengan menaiki feri. Ya, Mama boleh bawa kereta sendiri ke pulau ini. 

Tanahnya yang subur menjadikan pulau ini rancak dengan tanaman sawah padi. Pertama kali dalam hidup Mama Siti teruja bila ada sawah di atas pulau.

Kalau Mama teringin nak beli ole-ole buat diri sendiri dan keluarga, jemput singgah di Pekan Daro.

#11 Pulau Besar, Johor

Di Negeri Johor juga ada satu lagi pulau yang menawarkan pakej berkanu di persisiran pantai. Kalau ada yang belum tahu, kanu lebih kurang sama seperti kayak, cumanya kali ini Mama dapat menghirup udara segar dikelilingi air laut. 

Namun jika Mama inginkan aktiviti yang lebih santai, berehatlah di pondok pantai sambil memesan minuman untuk menenangkan fikiran. 

#12 Pulau Jerejak, Pulau Pinang

Prison Trail ialah salah satu aktiviti di Pulau Jerejak. Ya, Mama tak salah baca. Pulau ini dahulunya ialah bekas penempatan banduan, disebabkan itulah banyak peninggalan sejarah seperti bangunan penjara, pusat tahanan bawah tanah dan jeti yang terbiar. 

Jangan bimbang, ada pemandu arah yang akan membantu dan Mama juga tidak berjalan kaki ke lokasi-lokasi tersebut, sebaliknya boleh menaiki basikal dan ATV.

Aktiviti dan lokasi lain termasuklah: 

#13 Pulau Perhentian, Terengganu

Aktiviti wajib apabila datang ke Pulau Perhentian ialah menyelam skuba dan snorkeling. Selain itu, Mama jangan lepaskan peluang untuk rentas hutan (jungle trekking) dan mendaki bukit yang terdapat kincir air di atasnya. 

Perjalanan untuk ke Pulau Perhentian memerlukan pelancong naik bot dari Jeti Kuala Besut dengan harga tiket bermula dari RM 40 dan RM 70. 

#14 Pulau Harimau, Johor

Pulau Harimau menawarkan lokasi percutian yang lebih privasi dan romantik.

Daya tarikan pulau ini ialah struktur pulaunya yang unik seakan-akan pulau-pulau di Caribbean. Pengalaman menyelam snorkeling dalam struktur gua disini sangat mengujakan para pelancong yang hadir.  

#15 Pulau Redang, Terengganu 

Pulau Redang sering menjadi sebutan pelancong disebabkan oleh air laut yang jernih serta persekitarannya yang bersih.

Pulau yang terletak di daerah Kuala Terengganu ini telah digazetkan sebagai salah satu pulau dilindungi dalam Taman Laut Terengganu. Disebabkan itulah Pulau Redang kaya dengan pelbagai flora dan fauna. 

#16 Pulau Pangkor, Perak

Sangat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Pulau Pangkor antaranya ialah sukan air seperti banana boat, outrigger, paparazzi, big mable, matrix, half pipe, super cube, high roller, water ski dan parasailing. 

Selain sukan air, terdapat juga aktiviti ATV Adventure yang memberi peluang Mama mendaki dan menuruni bukit, melalui persisir pantai dan hutan. 

Dua terminal yang disediakan untuk ke Pulau Pangkor terletak di Jeti Lumut dan Kompleks Jeti Marina Island. 

#17 Pulau Langkawi, Kedah

Walaupun nama tempat ini sudah tidak perlu diperkenalkan lagi, tetapi Mama Siti suka ingin berkongsi tentang keunikan yang ada disini. Kereta kabel dan kereta kabel antara kelebihan yang belum ada lagi di pulau-pulau yang lain. 

Tambahan pula, setiap dua tahun sekali Langkawi akan mengadakan pameran maritim dan aero angkasa (LIMA). Penganjuran yang seterusnya akan dilangsungkan pada bulan Mei 2023 tau.  

#15 Pulau Payar, Kedah

Lokasinya terletak hanya 30 km dari Pulau Langkawi juga sering didatangi oleh pelawat dari Kuah dan tanah besar Pulau Pinang. Pulau Payar ialah syurga menyelam di Langkawi.

Terdapat 15 lokasi menyelam yang mempunyai pelbagai jenis terumbu karang serta hidupan laut yang lain. 

Pelbagai jenis spesies ikan bersaiz besar yang tidak ditemui di perairan cetek boleh dijumpai di sini termasuklah mantel rays, seahorses, sweetlips, angelfishes, barracudas dan snappers.

#16 Pulau Tikus, Pulau Pinang

Pulau kecil ini terletak di George Town dan berada tidak jauh dari Tanjung Tokong.

Selain dilawati kerana kecantikannya, tarikan utama pengunjung datang ke pulau ini ialah kerana street food.

Makanan paling mendapat sambutan tak lain tak bukan ialah chee cheong fun, pasembor dan rojak.

#17 Pulau Lang Tengah, Terengganu

Antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian, terletaknya Pulau Lang. Pengunjung perlu menaiki bot laju dari Jeti Merang memandangkan tiada pengangkutan lain yang disediakan ke sana. 

Perjalanan 45 minit itu tidak sia-sia kerana Mama bakal menikmati percutian yang lebih privasi kerana Pulau Lang Tengah ialah pulau terpencil yang hanya mempunyai tiga buah hotel sahaja. 

#18 Pulau Sipadan, Sabah

Kredit gambar: I Love Borneo

Pulau yang terletak di Negeri Sabah ini mendapat pengiktirafan sebagai lokasi menyelam terbaik di dunia. Pulau Sipadan sangat mementingkan kelestarian ekologi. Sebab tu air lautnya sangat jernih, dan bersih!

#19 Pulau Rawa, Johor

Nama Rawa itu sendiri diambil dari istilah bahasa Melayu yang bermaksud burung merpati. Pemandangan di Pulau Rawa sungguh mempesonakan mata yang memandang. 

Oleh itu, jangan lepaskan peluang menjelajah hutan (jungle trekking) untuk menikmati keindahan dari atas puncak bukit. 

Hanya Pulau Rawa yang ada gelongsor air (waterslide) yang berpenghujungkan air laut. Tidak ada lagi pengalaman seumpama ini di tempat lain yang biasanya hanya ada gelongsor air di kolam renang sahaja. 

#20 Pulau Pemanggil, Johor

Datang ke Pulau Pemanggil, Mama dibenarkan melawat perkampungan tempatan yang ada disini. Kampung Buau dan Kampung Pak Leh memberi peluang kita merasai sendiri kehidupan masyarakat disini di samping mempelajari budaya hidup mereka. 

Namun begitu, perjalanan ke Pulau Pemanggil boleh memakan masa sehingga empat jam dengan menaiki bot dari Jeti Mersing.

#21 Pulau Gaya, Sabah

Perjalanan dengan hanya menaiki bot dari Kota Kinabalu sudah memadai untuk sampai ke Pulau Gaya. Hanya di Pulau Gaya, Mama boleh mencuba aktiviti flying fox antara pulau ke pulau sepanjang 250 m. 

Mama juga boleh menerokai kepelbagaian flora dan fauna dalam hutan hujan tropika yang masih terpelihara di pulau ini.  

#22 Pulau Mataking, Sabah

Kalau selalu hanya berkayak di sungai dan tasik, kali ini kita berkayak pulau di laut.

Terdapat pakej lengkap yang ditawarkan oleh pihak resort kepada yang berminat mencuba aktiviti ini. Kalau kena pada musimnya, Mama boleh melihat penyu naik ke pantai untuk bertelur dan menetas. 

#23 Pulau Aur, Johor

Mama boleh mengunjungi Teluk Berhala, sebuah perkampungan nelayan yang dilengkapi dengan sekolah, balai polis, masjid dan gerai makan. 

Tidak dilupakan aktiviti sukan air yang terdapat di pulau ini. Menyelam skuba, snorkeling dan mendaki bukit. jika berpeluang mendaki Bukit Letak Semalu, Mama dapat melihat pemandangan yang indah pulau-pulau berhampiran. 

#24 Pulau Rawa, Terengganu

Lokasinya terletak sangat hampir dengan Pulau Perhentian. Memandangkan tiada penginapan disediakan disini, pengunjung yang datang boleh menempah hotel atau resort di Pulau Perhentian. 

Pulau Rawa ialah salah satu lokasi island hopping yang ditawarkan bagi pelancong dari pulau-pulau berhampiran. 

#25 Pulau Gemia, Terengganu

Lokasinya yang terletak hanya 5 km dari semenanjung Terengganu menjadi salah satu perhatian pelancong ke pulau ini.

Berkayak, snorkeling, merentas hutan dan melihat penyu bertelur di waktu malam ialah aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini.  

Mendapat julukan permata Negeri Terengganu, Pulau Gemia hanya mempunyai sebuah resort sahaja. Pengunjung boleh datang ke pulau ini melalui Jeti Marang yang mengambil masa 15 minit sahaja. 

#26 Pulau Melaka, Melaka

Pulau buatan yang terdapat di Negeri Melaka ini mempunyai tawaran pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik. Tidak cuma itu, di pulau ini juga telah dibina sebuah masjid yang tersergam indah diberi nama Masjid Selat. 

Lokasinya yang terletak tidak jauh dari Bandaraya Melaka menjadi salah satu faktor kunjungan pelancong ke pulau buatan manusia ini. 

Pulau di Malaysia tidak kurang cantiknya seperti di luar negara. Selain melakukan aktiviti sukan air, kita juga boleh melakukan aktiviti berkaitan mendaki bukit dan menerokai hutan.

Sekarang, sedikit sebanyak kita sudah tahu kelebihan pulau-pulau di Malaysia. Apa lagi? Buat perancangan segera dan datanglah ke pulau-pulau menarik di Malaysia.


Jom ke pelbagai tempat menarik di Malaysia dengan klik SINI.