KelabMama

Pokok Susu Nabi: Tumbuhan Liar Bawa 18 Jenis Khasiat Melalui Minuman dan Sapuan!

Siapa sangka pokok yang tumbuh liar boleh memberi khasiat kepada kesihatan luaran dan dalaman seseorang. 

Pokok Susu Nabi mempunyai 18 jenis khasiat untuk orang dewasa, kanak-kanak bahkan untuk ibu mengandung juga. 

Apa Itu Pokok Susu Nabi? 

Kredit gambar: iStockPhoto

Pokok Susu Nabi ialah tumbuhan renek yang tumbuh di kawasan tanah terbuka seperti halaman rumah, semak-samun, pinggir jalan dan kawasan terbiar. 

Penampilan pokok ini ketara pada bunga dan buah yang yang ada pada batang pokok dan di antara daun-daunnya.  

Hampir keseluruhan bahagian pokok ini mempunyai khasiatnya tersendiri. Kaedah mendapatkan khasiat-khasiatnya adalah dengan minum air rebusan dan olesan daun pokok yang ditumbuk.

17 Khasiat Pokok Susu Nabi

Kredit gambar: PS Herbs

#1 Bronkitis

Daun pokok ini dikatakan mempunyai khasiat dalam rawatan bronkitis hanya dengan minum air dari pokok herba ini dua kali sehari. 

Pertama sekali, ambil kira-kira satu genggam daunnya yang telah pun dicuci dengan air bersih. Selepas itu, tumbuk halus dan tambahkan ¾ cawan air suam dan 1 sudu besar madu asli.  

#2 Banyakkan Susu Ibu

Pokok Susu Nabi berkhasiat dalam menambah kuantiti susu badan Mama yang sedang menyusukan anak. 

Hanya dengan minum air rebusan akar Pokok Susu Nabi sebanyak dua kali setiap hari. 

#3 Kegatalan Kaki

Kredit gambar: Yesdok

Pokok ini juga berkhasiat dalam melegakan kegatalan kaki. Kaedah yang digunakan adalah dengan gosok bahagian kaki yang gatal dengan daun pokok yang ditumbuk bersama-sama dengan kunyit hidup dan minyak kelapa. 

#4 Hentikan Pendarahan dan Kulit Berlebam

Pertama sekali, pastikan pokok dicabut bersama-sama dengan akarnya. Selepas itu, cuci dengan air bersih dan tumbuk kasar. 

Kemudian, lumur ke permukaan kulit yang terjejas luka yang masih berdarah dan juga pada kulit yang lebam. 

#5 Bisul

Cabut pokok hingga ke akarnya. Selepas itu, cuci dengan air bersih dan tumbuk sehingga halus. Kemudian, boleh terus disapukan ke bahagian yang terkena bisul.

#6 Demam Denggi

Kredit gambar: mediviron-puchongavenue.com

Pokok Susu Nabi juga boleh digunakan untuk meningkatkan bilangan platelet dalam darah yang sangat diperlukan untuk individu yang menghidap penyakit demam denggi.

Banyakkan minum air teh daun Pokok Susu Nabi supaya demam denggi cepat sembuh. 

#7 Gout

Selain itu, air rebusan Pokok Susu Nabi juga mempunyai khasiat merawat penyakit gout melalui pengambilan air rebusan pada setiap pagi dan petang. 

#8 Asma

Jangan tak percaya kalau air rebusan Pokok Susu Nabi ini boleh menjadi rawatan alternatif untuk penyakit asma. Caranya adalah dengan minum air rebusan pokok herba sebanyak dua kali sehari.  

#9 Kecacingan

Kredit gambar: Enfagrow A+ Malaysia

Dapatkan 15g hingga 30g Pokok Susu Nabi dan buangkan akarnya. Selepas itu, rebus daun pokok ini bersama-sama beberapa helai daun betik. Kuantiti air untuk rebusan pula ialah pada kadar 1 liter. 

#10 Penyakit Kulit (kudis, kurap, kayap dan panau)

Penyakit kulit boleh dikurangkan melalui aplikasi getah Pokok Susu Nabi pada kawasan yang dijangkiti. Tetapi jika keadaan bertambah buruk, segera hentikan dan berjumpa dengan doktor. 

#11 Sakit Mata

Getah pokok diambil sedikit, kemudian disapukan pada kelopak mata dan bahagian bawah mata. Namun begitu, sila berhati-hati dan pastikan getah pokok tidak masuk ke dalam bola mata. 

#12 Bayi Kuning

Kredit gambar: lampujaundice.my

Ternyata khasiat pokok ini boleh dikembangkan lagi kepada bayi baru lahir yang mendapat penyakit kuning (jaundice)

Caranya adalah dengan memandikan bayi dengan air perahan Pokok Susu Nabi. 

#13 Tekanan dan Kegelisahan (stress dan anxiety)

Timbang 50g daun Pokok Susu Nabi dan masukkan ke dalam periuk dengan sukatan sebanyak 4 cawan air. Kemudian, rebus selama 3 hingga 4 minit. 

Minum air rebusan ini sebanyak 3 hingga 4 kali sehari untuk mengurangkan tekanan dan mencegah kegelisahan. 

#14 Sakit Puan

Khasiat yang seterusnya dikhususkan untuk golongan perempuan yang sering mengalami sakit senggugut ketika datang haid. 

Begitu juga dengan situasi di mana kitaran haid yang tidak teratur juga boleh mengamalkan minum air rebusan pokok ini.

#15 Luka dan Ruam

Kredit gambar: Pngtree

Bahan-bahan dalam getah Pokok Susu Nabi membantu menyelesaikan masalah luka dan ruam pada kulit seseorang. Ia boleh diamalkan dari awal seseorang mendapat luka dan ruam sehinggalah kedua-duanya kering. 

#16 Cirit-birit

Letakkan daun pokok tersebut di bawah cahaya matahari atau di dalam oven sehingga kering. Tanda-tanda daun sudah sedia untuk diproses ialah apabila sudah menjadi agak rapuh atau warna hijau bertukar menjadi coklat. 

Selepas itu, ceduk satu sudu daun tersebut dan rendam dalam air panas selama 5 hingga 10 minit. Jadikan rutin minum airnya sebanyak dua hingga tiga kali setiap hari.  

#17 Ketuat

Mula-mula, Mama perlu patahkan bahagian batang Pokok Susu Nabi untuk mendapatkan getahnya. Selepas itu, oleskan getah pokok pada kawasan kulit yang terdapat ketuat. Ulang langkah ini, setiap hari hingga ketuat kering dan tanggal daripada kulit. 

#18 Sakit Tekak dan Ulser 

Ambil beberapa ranting pokok ini yang segar atau lebih baik lagi jika ianya baru dicabut. Kemudian, masukkan pokok dalam periuk berisi air dan jerang hingga air menggelegak.    

Kredit gambar: eBay

Ayuh kita manfaatkan kelebihan yang terkandung dalam Pokok Susu Nabi sebagai rawatan alternatif bagi penyakit-penyakit yang Mama Siti sebutkan. 


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk pelbagai info kesihatan menarik, Mama dan Papa boleh rujuk di SINI!