KelabMama

Ketahui Jenis, Kebaikan dan Tips Memilih Pokok Hiasan Dalam Rumah Khas Buat Mama

Kredit: waseemaina.blogspot.com

Pokok dan tumbuhan hijau adalah makhluk Tuhan yang sering kita terlepas pandang akan khidmatnya kepada manusia. 

Mungkin anda seperti Mama Siti yang berasa kurang yakin dan tidak begitu serasi untuk ‘bersahabat’ dengan pokok. Banyak kali cubaan untuk menanam dan menjaga pokok hiasan dalam rumah yang telah Mama Siti lakukan, tetapi gagal.

Sebenarnya, bermesra dengan pokok-pokok ini adalah satu proses berterusan dan jangan mudah putus harapan jika seringkali gagal. Yang pastinya, apabila anda berjaya mencari formula yang sesuai, hasilnya pasti berbaloi. 

Ada banyak kebaikan menghias rumah dan bilik tidur dengan pokok hiasan dalam rumah dan antaranya ialah:

Kebaikan Menghias Rumah dengan Pokok Hiasan

#1 Menenangkan dan mengurangkan tekanan diri

Pokok sentiasa dikaitkan dengan sumber kedamaian dan ketenangan. Warna hijau daunnya menghidupkan suasana damai dan harmoni serta memberikan kesegaran. Ianya adalah salah satu cara terapi yang mungkin diperlukan oleh seisi keluarga tanpa kita sedari. 

#2 Menyegarkan udara sekeliling

Pokok juga adalah sumber semulajadi gas oksigen yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik. Selain itu, ada juga sesetengah pokok hiasan dalam rumah yang boleh berfungsi sebagai penapis udara dengan menyerap gas-gas toksik di persekitarannya.

#3 Menjadi lebih fokus

Menanam dan menghias pokok di dalam rumah juga membantu menajamkan perhatian ahli rumah dan menjadikan seseorang itu lebih fokus. Jadi, jika Mama mempunyai anak-anak yang sukar untuk menumpukan perhatian dalam sesuatu perkara, mungkin pokok hiasan di dalam rumah dapat membantu. 

#4 Menyembuhkan penyakit

Ada beberapa jenis pokok terutamanya pokok herba yang boleh ditanam dan dijadikan pokok hiasan dalam rumah, yang dapat membantu dalam penyembuhan penyakit. Contohnya, pokok seperti aloe vera dapat mencepatkan proses penyembuhan luka-luka kecil secara semulajadi. 

#5 Menghiasi dan mengindahkan rumah

Anda tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak atau mendapatkan khidmat pereka dan penghias dalaman untuk mengindahkan suasana di dalam rumah. Cukup dengan menghiasi pokok-pokok yang mudah ditanam dan tidak memerlukan belanja dan tenaga yang banyak untuk memeliharanya. 

Antara pokok-pokok hiasan yang mudah dijaga yang boleh anda cuba tanam dan hiasi di dalam rumah termasuklah:

Pokok Hiasan di Dalam Rumah Yang Senang Dijaga

#1 Pokok Lidah Buaya 

Pokok lidah buaya ini juga lebih dikenali sebagai pokok aloe vera. Ianya mudah dijaga, serta dapat menjadi filter yang menapis udara toksik dan memberikan kesegaran di kawasan persekitarannya. Daun pokok ini sering digunakan oleh mereka yang berpengalaman untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka-luka kecil.

#2 Pokok Lidah Jin

Kredit: Harian Metro

Pokok lidah jin atau snake plant ini juga mudah untuk dipelihara dan menjadi pokok hiasan yang indah di rumah. Berbeza dengan dengan pokok aloe vera yang mempunyai hanyai warna hijau, pokok ini mempunyai campuran hijau tua, hijau muda dan tipe daun yang berwarna kuning cair. Warna-warna ini pastinya membangkitkan deko rumah anda. 

#3 Pokok labah-labah

Spider plant atau pokok labah-labah sangat sesuai menjadi pokok hiasan di balkoni atau pun rak kasut atau buku. Pokok ini hanya memerlukan sinaran matahari yang sederahana dan elakkan daripada meletakkannya terus di bawah sinar mentari. Siram pokok in sekali atau dua kali di dalam seminggu.

#4 Pokok Monstera

Peminat pokok pasti dapat mengenal terus jenis pokok ini kerana daunnya yang unik dan berlubang-lubang. Di negara barat, pokok ini juga dikenali sebagai Swiss Cheese Plant kerana bentuk daun yang berlubang-lubang itu. Jika anda ingin menghias rumah dengan pokok ini, sentiasa pastikan tanah di dalam pasu sentiasa lembap dan tidak terlalu kering. 

#5 Pokok Getah

Pokok getah juga boleh dijadikan pokok hiasan yang indah. Daunnya yang hijau berkilat dan pokoknya yang renek memberi karektor di ruang rumah anda. Seperti pokok Mostera, anda juga hendaklah memastikan yang pokok ini tidak terlalu kering dan tanahnya sentiasa lembab.

#6 Pokok Philodendron

Di dalam bahasa Greek, philo bermakna cinta dan dendron ialah pokok. Pokok ini antara pokok hiasan yang paling senang dijaga kerana ia boleh hidup tanpa sinaran matahari. Malah, anda juga boleh meletakkannya di dalam bekas berisi air semata-mata dan sangat cantik jika diletakkan sebagai hiasan di dalam bilik air. Tetapi awas, pastikan air yang merendam pokok ini sentiasa diperiksa dan ditukar untuk memastikan tiada nyamuk aedes membiak di dalamnya.

#7 Pokok Pakis Pedang

Pokok pakis sangat bagus dalam mengekalkan kelembapan yang tinggi di persekitarannya. Ini sekaligus membantu menyegarkan kulit anda dan mengelakkan ia daripada menjadi terlalu kering. Jika anda ingin memelihara pokok pakis ini, pastikan anda menyiramnya seminggu sekali supaya tanahnya tidak terlalu kering.

Tiada yang tidak mengasyikkan jika kita memandang persekitaran hijau yang indah. Tambahan pula apabila ianya ada di ruang rumah kita sendiri. Jom, kita mula hiasi rumah kita dengan pokok hiasan sambil berbudi pada tanah dan persekitaran.