KelabMama

Mak Kita Memang Kuat, Tapi Ini Perkara Yang Boleh ‘Trigger’ Kesihatan Mental Mereka

Semua ibu di dunia ini hebat! Apa sahaja cabaran dan kepayahan jika melibatkan anak-anaknya pasti mampu digalas.

Bagi seorang wanita, sebaik disahkan hamil, tugas hakiki sebagai ibu bermula. Daripada cabaran mengandung, disusuli dengan kesakitan melahirkan anak, melayani ragam menyusukan si kecil hinggalah cabaran membesarkan anak. Pendek kata, ia suatu kerja berat yang tak akan pernah selesai.

Bukan suatu yang mudah, namun itulah tanggungjawab terpaksa ditempuh seorang ibu dalam memastikan anaknya membesar sempurna. Dek kerana itulah pepatah menyebut syurga di bawah telapak kaki ibu.

Maka tak hairanlah kalau ditanya siapa wanita hebat di mata anda, Mama Siti percaya ramai anak-anak akan meletakkan ibu mereka sebagai jawapannya. Dialah role model di hati anak-anakkan?

Ibu Mudah Terguris Dengan Sikap Anak

Walaupun terlihat kuat, namun anak-anak jangan menganggap ibu ini tak koyak mentalnya. Cabaran fizikal boleh digalas, namun emosi seorang ibu sangat rapuh sekiranya melibatkan sikap si anak.

Tahukah kita, seseorang wanita yang terlalu cinta dan sanggup berkorban demi anaknya, maka perasaan sensitif juga akan lebih kuat lagi-lagi apabila anak yang dia kasihi mengabaikan perasaannya.

Berhati-hatilah ye semua bagi mengelakkan ibu kita berasa kecil hati dengan kita.

Terdapat beberapa tingkah laku yang boleh memberikan kesan emosi kepada si ibu. Ini antara yang Mama Siti kongsikan sikap si anak hingga menyebabkan si ibu berkecil hati seterusnya trigger kesihatan mereka:

1. Anak Mengeluarkan Kata Kesat

Awas ya anak-anak, pertuturan antara yang paling mudah mengguriskan hati orang. Kerana itu perumpamaan menyebut lidah lebih tajam daripada pedang.

Sebagai anak, awasilah tutur bicara kita setiap kali berkomuniksi dengan ibu dan ayah. Jangan berborak seperti rakan-rakan hingga tak sedar kita membuat gurauan kasar.

Jika silap kata, si ibu boleh kecil hati dan seterusnya memendam perasaan dengan bersedih.

Mungkin ada anak-anak yang pandang remeh dengan sikap kecil hati si ibu, tapi bagi seorang ibu apabila termakan hati dengan kelakuan anaknya, macam-macam perkara buruk berlaku.

Si ibu hilang selera makan, tak lena tidur dan tidak ceria. Semua ini boleh menyumbang kepada kesihatan mereka lebih-lebih lagi jika ibu menghidap sakit kronik seperti jantung, darah tinggi dan sebagainya.

Warga emas yang menghidap sakit demikian sangat perlu menjaga emosi dan rohani mereka. Kalau berkecil hati, bimbang kesihatan mereka makin parah.

2. Jarang Hubungi Ibu dan Ayah

Sikap anak-anak yang jarang call ibu dan ayah ini sebenarnya boleh menyebabkan ‘syurga’ kita terasa hati kerana menganggap anak-anak tak rindu pada mereka, tak ambil berat sehinggakan anak tak terfikir nak tanya khabar.

Ya, mungkin kita rasa jarang call mak dan ayah ini bukan isu besar, tapi bila mereka tinggal berdua, perasaan sunyi tak boleh lari hingga menyebabkan orang tua kita sentiasa menagih perhatian anak cucu.

Apabila terlalu lama kita tak hubungi mereka, macam-macam andaian ibu ayah mula fikir sampai boleh jejas kesihatan mereka.

Anak-anak kena sentiasa aware bahawa ibu dan ayah ini mempunyai hati sangat sensitif, mungkin isu kecil pada kita tapi besar pada mereka.

Dah puas biasa melihat anak-anak membesar depan mata dengan keriuhan saban hari, apabila semua telah berdikari, rumah ibu ayah itu rasa terlalu sunyi sehinggakan mereka asyik teringat pada anak-anak.

Justeru, hubungilah sekerap mana yang boleh sebab ibu dan ayah tak akan jemu dengan panggilan kita. Mereka kesunyian di rumah setelah anak-anak yang selalu bermain di depan mata dah tiada.

Jadi, boleh fahamkan kenapa isu jarang call ini boleh trigger kesihatan mereka?

3. Jarang Pulang Ke Kampung Ziarah Ibu Ayah

Mama Siti faham ada antara kita yang begitu sibuk sehinggakan nak pulang ke kampung pun tak sempat. Tapi bagi mereka, dapat jumpa anak-anak adalah kebahagiaan buat sang ibu.

Cuba curi sedikit masa dan luangkan tempoh itu untuk pulang jumpa orang tua kita.

Kalau tak sempat tidur kerana komitmen kerja tak dapat dielakkan, apa kata balik sekejap untuk jenguk keadaan ibu ayah.

Anda boleh bawa mereka keluar makan di sekitar kawasan berhampiran, buat aktiviti riadah di luar sama-sama dan pulang semula pada sebelah malam.

Letih sudah pasti sebab tak sempat rehatkan. Tapi percayalah, membahagiakan ibu bapa boleh buat kita sebagai anak-anak ikut bahagia. Itulah dinamakan keberkatan.

Atau mungkin jika tiada masa nak pulang ke kampung, ajak pula ibu ayah berkunjung ke rumah kita. Kalau menetap di rumah sewa dengan rakan-rakan, boleh book homestay atau hotel sepanjang ibu dan ayah di sana.

Sekurang-kurangnya dapat luangkan masa dengan mereka walaupun ketika anda busy bekerja. Namun Mama Siti faham pasti ada antara orang tua yang berat hati nak meninggalkan rumah sendiri.

Tak mengapalah, mungkin boleh cuba adjust masa kerja di lain hari untuk pulang bercuti dan ziarah mereka di kampung.

Idea yang Mama Siti berikan tadi boleh dibuat untuk berbincang dengan ibu ayah dahulu.

Mama Siti percaya walaupun anda tak dapat pulang, tapi apabila ibu ayah nampak usaha anak bersungguh-sungguh nak luangkan masa dengan mereka, at least dapat hilangkan rasa sedih mereka pada anak-anak kan?

4. Ibu Terlampau Letih Namun Anak-Anak Tidak Peduli

Selain daripada faktor di atas, antara lain menyebabkan kesihatan ibu terjejas adalah apabila anak-anak seperti tak concern dengan perasaan mereka.

Mama Siti faham mungkin ada antara kita balik kampung, letih menghadap perjalanan, nak loading bag daripada boot kereta lagi, jadi kita fikir kita dah sangat penat.

Plan nak balik kampung pun untuk rehat dan santai-santai saja sehingga kita tak perasan ibu keletihan. Kita pula mengaharapkan ibu sediakan macam-macam daripada soal makan minum, cuci pakaian dan macam-macam lagi sebab kita fikir ibu dah seronok kita balik kampung.

Jangan begitu ya anak-anak. Meskipun ibu tak merungut dan sedia bantu kita, tetapi kena tengok tahap daya si ibu.

Anak-anak yang masih kuat dan bertenaga pun letih dengan kerja apatah lagi ibu yang usianya semakin senja. Jangan harapkan semua itu disediakan oleh ibu.

Apabila balik kampung, anak-anak duduklah sekali di dapur tolong ibu sediakan apa yang patut. Kalau tiada kerja nak buat, sekurang-kurangnya teman mereka di dapur sambil berborak.

Cara ini dapat mengurangkan kesunyian ibu di dapur sekaligus menenangkan hati mereka.

Apa kata bila pulang, kita korbankan hari cuti di kampung itu dengan menggantikan tugas ibu pula. Suruh ibu berehat dan anak-anak sediakan keperluan ibu. Pasti ibu senyum gembira.

Meskipun mulut ibu akan berkata “tak apa”, tetapi anak-anak jangan abaikan emosi mereka sebab fikir si ibu tadi kuat.

Ibu boleh jadi memendam rasa dengan sikap anak yang tak peduli ini. Kalau nampak ibu dah letih, anak cuba happykan ibu ya contoh offer urut mereka. Mesti ibu seronok bila anak concern dengan pengorbanan si ibu.

Dan yang paling penting, ucapkan terima kasih kepada ibu seikhlas hati. Pasti segala penat-lelah mereka hilang apabila anak-anak tahu menghargai.

5. Sering Biarkan Ibu Terlalu Berdikari

Semuanya ibu buat, ibu sediakan? Awas ya anak-anak, kalau segala perkara ibu lakukan sendiri, risau lama-kelamaan ibu jadi makan hati.

Jangan ingat ibu yang serba boleh itu tak mendambakan perhatian anak-anak. Walaupun mereka boleh buat semuanya sendiri, tetapi adakalanya mereka nak perhatian anak-anak untuk hargai mereka sebagai ibu.

Jika ibu insist nak buat semuanya sendiri, sebagai anak-anak kita reward mereka dengan benda lain. Contohnya ajak ibu ke spa sebab ibu dah penat sediakan macam-macam.

Belikan kek atau kuih-muih sebagai cara buat mereka gembira. Sekarang pun dah banyak perniagaan kek dan kuih yang dibungkus cantik sesuai untuk hadiah.

Bolehlah anda survey di internet package menarik untuk buat kejutan pada ibu kerana kerja keras beliau yang tak pernah habis itu. Mama Siti percaya pasti ibu anda gembira dan bangga dengan anak mereka.