KelabMama

Ketahui Tiga Peringkat Peranakan Jatuh, Punca & Rawatan Untuk Mengatasinya

Peranakan jatuh merupakan keadaan dimana ligamen dan otot yang mencengkam bahagian pelvis menjadi lemah atau gagal berfungsi dengan baik, yang mengakibatkan rahim terkeluar dari faraj.

Selain itu pundi kencing mereka yang mengalami masalah ini akan tertonjol ke bahagian dinding faraj, menjadi lemah dan menyebabkan pesakit kerap kencing, manakala usus besar pula tersasar ke belakang faraj.

Tiga Peringkat Peranakan Jatuh

1) Pada peringkat awal ramai wanita yang tidak perasan mereka mengalami rahim jatuh kerana pada masa ini rahim jatuh atau tersasar sedikit sahaja dari kedudukan asal. Mereka akan mengetahuinya setelah melakukan ujian kesihatan contohnya pemeriksaan pap smear.

2) Pada peringkat kedua, pesakit mulai merasai simptom-simptom seperti sakit tumit, rasa nyeri atau sakit pada bahagian ari-ari, sakit pinggang dan banyak lagi. Waktu ini, rahim akan berada lebih ke bawah dan pangkal rahim boleh kelihatan pada pintu faraj.

3) Peringkat paling teruk adalah apabila hampir keseluruhan rahim atau peranakan pesakit sudah tersembol keluar daripada faraj atau vagina pesakit. Keadaan rahim yang sudah berada diluar faraj ini juga dipanggil sebagai ‘tombong’.

Bahagian badan yang terlibat dalam peranakan jatuh ialah serviks, uretra, pundi kencing, rahim, rektum, dan faraj. Bahagian organ yang sering terlibat dalam peranakan jatuh ialah pundi kencing.

Tujuh Punca Peranakan Jatuh

Kredit gambar : thediagnosa.com

Berikut merupakan beberapa punca peranakan seorang wanita jatuh iaitu:

1) Peningkatan usia dan putus haid

Peningkatan usia wanita menyebabkan mereka putus haid atau disebut juga sebagai monopaus.

Kesan daipada putus haid atau monopaus ini menyebabkan hormon estrogen dalam tubuh semakin kurang dan gagal membantu kologen dalam tisu penghubung dan otot-otot yang menyokong pelvis.

2) Bersalin secara normal

Semasa proses melahirkan bayi, otot-otot di bahagian pelvis bekerja keras dan ini menyebabkan ia menjadi longgar, jika tidak mengamalkan pantang dan pemakanan yang baik, tidak mustahil peranakan akan jatuh kesan daripada proses bersalin tersebut.

3) Bayi dan instrumensi

Masalah peranakan jatuh ini juga berkemungkian besar terjadi akibat daripada penggunaan alat khusus yang digunakan sewaktu proses melahirkan bayi seperti vakum atau forsep.

Selain alat yang digunakan, saiz bayi turut memberi kesan kepada vagina.

4) Obesiti

Berat badan yang berlebihan membuatkan abdomen pada bahagian bawah perut tertekan kerana terpaksa menanggung beban. Jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan peranakan wanita jatuh.

5) Pembedahan pelvis

Kita sudah maklum bahawa pembedahan pada ruang pelvis mempunyai peratusan yang tinggi untuk seseorang wanita mengalami peranakan jatuh.

Ini kerana pembedahan tersebut akan menyebabkan otot atau tisu yang menjadi penghubung lantai pelvis cedera.

6) Sembelit

Pembuangan air besar yang tidak lancar memaksa kita menerannya. Ini boleh menyebabkan otot-otot di bahagian pelvis cedera.

7) Mengangkat berat

Kekerapan mengangkat sesuatu yang berat boleh menjadi penyebab rahim atau peranakan anda jatuh. Apatah lagi jika anda tidak mengamalkan langkah-langkah yang betul semasa mahu mengangkat barangan tersebut.

Cara Untuk Merawat

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk merawatnya adalah seperti:

#1. Senaman kagel

Senaman ini boleh dilakukan semasa berdiri, duduk mahupun ketika anda baring. Lakukan mengikut keselesaan anda.

i) Caranya ialah dengan merapatkan paha dan kaki, kemudian kemut otot faraj dan pelvik lebih kuarang 20 kali atau mengikut kemampuan anda.

ii) Tahan nafas anda selama lima saat semasa membuat mengemut dan lepaskan secara perlahan-lahan serentak semasa melepaskan kemutan. Ulangi untuk beberapa kali. Jangan lupa rehatkan otot anda sebelum mengulang proses mengemut.

#2. Vaginal pessary

Alat yang berbentuk bulat seakan-akan kuih donut ini digunakan untuk membantu mengecutkan rahim yang kembang. Pasangkan alat ini pada bahagian servik bagi menghalang organ peranakan dari terjatuh atau keluar daripada faraj.

#3. Pembedahan

Rawatan paling berkesan adalah pembedahan histerektomi.

  1. Mula-mula doktor bedah akan membuat Insisi di sekeliling pangkal rahim (serviks).
  2. Seterusnya, doktor akan menolak usus dan pundi kencing supaya berada jauh dari rahim.
  3. Semua salur darah yang membekalkan darah kepada rahim dan tisu di sekelilingnya, diapit dan diikat ketat.
  4. Selepas memastikan tiada sebarang pendarahan berlaku, akan membuang rahim dan menutup bahagian atas faraj, yang kini dikenali sebagai bumbung faraj (vault).

Anda boleh menghalang dari masalah peranakan jatuh ini menjadi lebih teruk dengan mengesan keadaan serviks anda sendiri.

Caranya adalah memasukkan satu atau dua jari anda yang telah dicuci bersih ke dalam lubang faraj. Jika anda mendapati rahim anda telah jatuh, segeralah merawatnya ataupun berjumpa doktor.

Sebagai wanita, peranakan atau rahim merupakan aset yang amat berharga. Oleh itu sentiasa ambil perhatian sebarang gejala atau perubahan yang berlaku kepada anda.

Diharap artikel ini dapat memberi pengetahuan kepada semua wanita berkaitan peranakan jatuh.


Dapatkan pelbagai tips kesihatan untuk wanita DI SINI.