KelabMama

PENYEBAB PENDARAHAN FARAJ BERLEBIHAN DAN BERPANJANGAN

Ini antara sebab kenapa haid anda berlebihan dan berpanjangan setiap bulan. Jika anda mempunyai gejala haid berlebihan dan berpanjangan saban bulan, rujuklah kepada doktor atau hospital terdekat.

Wanita yang mengalami keluaran darah haid yang berlebihan atau berpanjangan daripada biasa, tandanya ada penyakit, khususnya jika keluaran darah haid yang banyak disertai dengan senggugut. Gangguan haid seperti ini jika melibatkan wanita dalam usia 30 tahun hingga 50 tahun keatas, mungkin menandakan sesuatu penyakit tumbuhan bukan kanser pada pangkal rahim seperti ‘cervical polyp’ atau dalam rahim seperti ‘fibroid’ atau ‘Adenomyosis’. Cervical polyp adalah daging sangat kecil berwarna merah berbentuk bulat yang tumbuh di merata-rata tempat.  Fibroid ialah ketumbuhan yang teksturnya kelihatan seperti sabut kelapa apabila dikupas. Ia boleh membesar dengan banyak jika dibiarkan.

Apa yang lebih menakutkan lagi ialah tumbuhan kanser rahim atau pangkal rahim. Ia boleh menyebabkan pendarahn berpanjangan keluar dari faraj.

Wanita yang menggunakan alat dalam rahim (IUD-Intra-Uterine Device) juga boleh mengalami masalah pendarahan yang berpanjangan dan berlebihan. Mereka yang menggunakan kaedah suntikan atau ‘implant’ hormon sebagai cara mencegah kehamilan kadang-kala mengalami maslah perdarahan bersifat sedikit demi sedikit tetapi berpanjangan.

Keadaan ini mungkin juga menandakan kandungan yang terancam nak gugur (Threatened abortion), keguguran, kandungan anggur (molar pregnancy), kehamilan di luar rahim.

Jenis-Jenis Pendarahan Luarbiasa

1.Pendarahan boleh berlaku pada pertengahan pusingan haid (intermenstrual bleeding), sebelum haid(premenstrual staining) atau selepas haid(postmenstrual staining)dan ini mungkin sedikit sahaja dan tidak memerlukan tuala wanita.  Keadaan ini mungkin disebabkan oleh masalah ketidak-seimbangan hormon atau mungkin juga disebabkan oleh tekanan jiwa atau emosi. Wanita yang mengamalkan kaedah cegah hamil yang mengandungi hormon seperti pil perancang boleh mengalami masalah seperti ini. Begitu juga dengan penggunaan ubat hormon untuk rawatan penyakit pada anggota peranakan.  Ia juga mungkin menandakan sejenis ketumbuhan atau jangkitan kuman pada kemaluan dan anggota peranakan. Setiap wanita yang mengalami pendarahan yang luar biasa dan tidak tentu masa perlu mendapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor.

2.Perdarahan selepas persetubuhan.  Ini adalah satu tanda yang merbahaya kerana ia mungkin menandakan penyakit kanser pangkal rahim khususnya jika ia berlaku pada wanita dalam lingkungan umur 30 puluhan dan telah berkahwin dan telah pun mendapat anak.  Pendarahan selepas persetubuhan juga mungkin disebabkan oleh penyakit lain yang bukan kanser seperti luka pada pangkal rahim (cervical erosion), ketumbuhan bukan kanser atau jangkitan kuman. Pemeriksaan daripada doktor khususnya ujian ‘pap smear’ adalah sangat penting.

3.Perdarahan lepas putus haid. Tidak semua pendarahan seperti ini disebabkan oleh kanser. Pendarahan ini mungkin disebabkan oleh suatu keadaan dalam faraj yang kekeringan iaitu “atrophic vaginitis” iaitu satu keadaan yang disebabkan oleh kekurangan hormon oestrogen. Ia tidak merbahaya dan boleh dirawat dengan ubat hormon oestrogen.

Sumber: Pak Bidan