KelabMama

“Rasa macam ada ulat dalam hidung!” Pakar Jelaskan + Cara Mencegah Resdung Yang Mengganggu Kehidupan Seharian

Penyakit seperti resdung ini adalah penyakit alahan. Ia sering mengganggu kehidupan seharian kita. Kadang-kadang ia boleh menyebabkan demam, muka naik jerawat dan macam-macam masalah kesihatan yang lain.

Masalah resdung ni memang tidak dapat dielak terutamanya jika Mama tidak melakukan apa-apa untuk mencegahnya.

Memang sengsara kena penyakit macam ni, tapi jangan sengsara seorang diri! Ikuti penjelasan daripada Dr Samhan tentang apa sebenarnya resdung ini, dan cara-cara untuk elak dan merawatnya dengan betul.

Jom kita baca!

Resdung Ni Keluar Ulat Ke?

“Doktor, saya ini ada penyakit resdung dah lama. Sekali datang memang gatal hidung rasa macam nak cabut hidung. Rasa macam ada ulat tengah merayap-rayap dalam hidung”

“Itu memang simptom resdung”

Semua Tentang Resdung

Kredit gambar: Twitter Dr Samhan

Resdung dalam istilah perubatan dipanggil sebagai Allergic rhinitis.

Jadi, ia adalah penyakit alahan. Kalau salah makan, hidung beringus, tersumbat, selalu bersin dan juga hidung gatal. Ini disebabkan bila tersalah makan, makan makanan yang sesorang itu alah padanya, badan akan menghasilkan satu kompaun bernama histamin.

Histamin inilah yang akan menyebabkan simptom resdung berlaku.

Apakah Komplikasi Penyakit Ini?

Kebiasaannya sinusitis bermula dengan ‘allaergic rhinitis’ sebelum menjadi ‘acute atau chronic sinusitis’. Sinusitis adalah bilamana pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, selsema yang kuat, hingus yang pekat bewarna kuning atau hijau atau bercampur darah.

Mulut juga berbau busuk. Sakit kepala yang sangat teruk, di dahi atau muka terutamanya di tengah hidung atau pipi adalah tanda utama bagi sinusitis.

Penyakit ini boleh terjadi sekali, atau berulang kali dan berlanjutan beberapa minggu. Jika melebihi 12 minggu, ia dinamakan kronik sinusitis.

Selain itu, pesakit juga boleh komplikasi seperti otitis media (Jangkitan kuman di bahagian tengah saluran telinga iaitu dibelakang gegendang telinga) dan Sleep Apnea(Berhenti bernafas terutamanya ketika waktu tidur).

Take Note! Ini Rawatan Yang Mujarab Untuk Mencegah Penyakit Ini

Rawatan paling mujarab adalah dengan MENCEGAH. Mencegah dari histamin keluar! Dah tahu ada allergik dengan makanan laut, janganlah makan.

Jika berlaku serangan resdung, ambil ubat anti-histamin.Ia melawan kesan histamin yang menyebabkan simptom resdung.

Loratadine ini adalah generasi kedua antihistamin yang boleh mengelakkan beberapa kesan sampingan ubat histamin generasi pertama yang selalunya menyebabkan rasa mengantuk seperti chlorpheniramine(piriton).

Selain itu, nasal spray(decongestants) juga digunakan untuk mengecutkan salur darah pada lubang hidung supaya kurang hingus dihasilkan.

Jika anda mengalami resdung yang melampau, adalah lebih baik berada di bawah pantauan doktor.

Mana Ulat Masa Rawatan Resdung Tu?

Kredit gambar: Harian Metro

Kesemua ulat-ulat yang dilihat semasa prosedur dijalankan ialah berasal daripada lipas tanah yang digunakan sebagai proses rawatan. Kenapa ulat daripada lipas?

Lipas merupakan salah satu serangga yang membawa pelbagai jenis parasit seperti virus, bakteria dan kulat. Kajian telah pun dilakukan di Afrika yang melibatkan 6000 ekor lipas.

Pemeriksaan pada semua organ serta sistem pencernaan lipas mendapati terdapat banyaknya parasit seperti cacing Trichuris trichiura, Taenia spp. dan Ascaris lumbricoides serta banyak lagi parasit lain.

Jadi apabila bahagian tengah lipas ini dipotong dan dilumur pada wajah pesakit, cacing-cacing ini masih boleh dilihat semasa prosedur rawatan resdung dilakukan.

Ulat-ulat itu memang datang dari lipan tanah bukan dari hidung!

Kredit gambar: Facebook

“Jadi memang tiada ulat dari hidung la doktor?”

“Kalau betul ulat itu dari hidung, kenapa ulat resdung ini hanya muncul ketika rawatan itu sahaja? Tak keluar masa kita tengah basuh muka ke,tengah tidur ke, tengah makan nasi tiba-tiba jatuh ulat atas nasi. Betul tak?”

Gatal ini bukan sebab ulat ya.

Mama Siti pun ingat ulat tu dalam hidung kita, rupanya bukan! Mujur la ada Dr Samhan yang baik hati berkongsi tentang semua yang Mama harus tahu tentang resdung – daripada apa sebenarnya resdung dan apa rawatan yang sewajarnya untuk Mama lakukan apabila ada penyakit resdung ini.

Kredit: Dr Samhan


Dapatkan tips dan panduan kesihatan Mama dan Papa yang lain DISINI.