KelabMama

PENDARAHAN HAID BANYAK KETAHUI RAWATAN DIPERLUKAN

Masalah haid yang berpanjangan atau berlanjutan turut membimbangkan. Wanita yang pertama kali atau tidak pernah mengalami yang sebegini, mungkin tertanya-tanya apakah punca atau faktor sebenar yang menyebabkan berlakunya pendarahan haid yang banyak? Kerisauan terus membelenggu diri kerana sesetengah wanita menganggap isu pendarahan haid ini sensitif untuk dibincangkan. Tambahan pula persepsi masyarakat sering mengaitkan bahawa pendarahan yang banyak disebabkan masalah kanser.

 

Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana pendarahan yang banyak dan berpanjangan dan ianya tidak harus disembunyikan. Jika dibiarkan berterusan akibat sikap tidak mengambil berat boleh membawa kemudaratan kepada wanita itu sendiri. Wanita yang mengalami masalah pendarahan haid atau menoragia yang banyak dinasihatkan agar berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan penyiasatan awal. Antara pemeriksaan tersebut termasuklah ujian darah untuk mengenal pasti aras sel darah merah dan pelbagai hormon lain yang berkaitan, ujian fungsi tiroid serta prolaktin juga patut diambil.

Kesemua ujian ini penting untuk mendapat diagnosis yang tepat dan rawatan yang sepatutnya dapat diberikan. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan imbasan ultrabunyi untuk mengimbas sistem reproduksi wanita sama ada mengalami masalah atau tidak. Tujuannya adalah untuk meneliti persekitaran rahim bagi mengenal pasti masalah fibroid, mengukur ketebalan dinding rahim dan kemungkinan wujudnya sista dalam ovari.

Bagi wanita yang berumur lebih daripada 40 tahun, mereka disyorkan agar menjalani ujian histeroskopi dan pensampelan tisu dalam rahim untuk mencari punca dalam rongga rahim. Sampel tisu ini akan dihantar bagi tujuan histologi dan yang penting adalah untuk melihat jika wujudnya masalah kanser rahim. Pendarahan haid banyak berlaku kepada wanita yang berumur melebihi 40-an kerana gangguan kitaran pengovulan pada ovari

Apabila umur melebihi 40 tahun, ovum tidak dapat membesar dengan baik sehingga ke peringkat pengovulan. Ketiadaan pengovulan menyebabkan dinding rahim dirangsang terlalu lama sehingga ke tahap maksimum kerana ovum akan menghasilkan hormon estrogen yang berlebihan. Apabila terlalu tebal, dinding rahim akan luruh dengan banyak dan mengakibatkan pendarahan yang banyak. Selain itu, wanita yang mengalami masalah fibroid juga boleh mengganggu pendarahan haid jika saiznya sudah terlalu besar atau kedudukannya dalam rongga rahim yang besar.

Kaedah rawatan untuk golongan remaja pula adalah melalui pengambilan pil perancang keluarga atau dikenal juga sebagai pil pencegah kehamilan. Pengambilan pil adalah selama 21 hari dan remaja berkenaan akan mendapati kitaran haidnya beransur-ansur baik dan jumlah haid juga berkurangan. Malahan, jika mengalami senggugut, masalah berkenaan juga akan berkurangan dan ada yang hilang terus. Pil perancang keluarga ini juga boleh diambil dalam masa yang agak lama dan berisiko rendah pada remaja.

 

Secara realiti, ianya sukar menentukan keberkesanan kaedah rawatan yang sempurna bagi seseorang wanita untuk mengatasi masalah haid yang banyak. Lazimnya, doktor akan memberikan rawatan yang dirasakan terbaik. Namun demikian, rawatan tersebut tidak menjamin masalah ini dapat dipulihkan sepenuhnya. Sekiranya, rawatan yang diberikan gagal memberikan keputusan yang memuaskan, doktor akan memulakan langkah kedua untuk rawatan yang lebih efektif. Untuk itu, terdapat wanita yang dinasihatkan oleh doktor untuk menjalani pembedahan pembuangan rahim sebagai rawatan terakhir untuk merawat.

 

 

 

Sumber: Internet