KelabMama

Pelakon Taiwan, Benjamin Wong Sediakan Resepi Uri ‘Istimewa’ Untuk Isteri Yang Sedang Berpantang

uri bayi (placenta) by benjamin wong

Baru-baru ini, seorang pelakon lelaki Taiwan, Benjamin Wong mengejutkan ramai pihak apabila memuat naik hidangan bersaskan uri (placenta) yang dimasak beliau sendiri!

Menurut pelakon berkenaan, uri hasil kelahiran puteri sulungnya itu disajikan secara istimewa buat isterinya yang baru sahaja beberapa hari berpantang. Err okay…

Melalui video yang dimuat naik Benjamin Wong di laman Instagram-nya, masakan uri dianggap hidangan baik oleh masyarakat terdahulu dan sesuai untuk wanita berpantang bagi mencegah daripada meroyan.

Tapi, persoalannya sekarang, BOLEH KE MAKAN URI??

Mama Siti percaya, pasti ramai antara anda terkejut apabila mengetahui terdapat budaya sesetengah individu di dunia yang menganggap uri manusia sebagai makanan berkhasiat. Tentu ramai tertanya-tanya apakah benar perkara itu sehingga manusia sanggup makan organ manusia?

Fakta Atau Mitos Makan Uri?

Menurut laporan daripada laman web Hello Doktor, penjelasan makan uri daripada sudut kesihatan masih tidak dapat dibuktikan. Budaya menganggap organ berkenaan adalah menu sihat kerana terdapat sesetengah golongan individu percaya fungsi uri membekalkan vitamin, mineral, dan nutrien yang diberikan kepada bayi semasa dalam kandungan.

Secara teori, uri mengandungi zat besi dan vitamin B6 dan B12, serta estrogen dan progesteron, kedua-duanya hormon postpartum penting. Hormon-hormon ini boleh bantu melawan kemurungan selepas bersalin dan insomnia pada ibu baharu, di samping meningkatkan kuantiti susu dan melegakan kesakitan selepas melahirkan bayi.

Bagaimanapun, ini tidak bermaksud uri selamat dimakan kerana ia tetap berisiko apabila fungsinya terhenti (dikeluarkan daripada tubuh).

Menurut portal Hello Doktor, uri itu berkemungkinan besar mengandungi bakteria berikutan peranannya ketika di dalam rahim adalah melindungi bayi daripada serangan itu, yang mana secara logiknya boleh menjadi tempat pengumpulan bakteria pada uri berkenaan.

Menurut laporan yang sama, kandungan nutrien uri juga boleh terjejas sekiranya ia dimasak. Bagaimanapun, ada sesetengah negara menggunakan uri untuk diproses menjadi kapsul bagi tujuan sama kepada wanita berpantang.

Namun, kesegaran uri itu tidak menjamin ianya selamat kerana sebaik sahaja bayi dilahirkan, ia akan terdedah dengan suhu normal yang berkemungkinan mengakibatkan kandungan nutrisinya terjejas.

Ini sekaligus menyebabkan anda tidak memperoleh sebarang manfaat dengan makanan berasaskan organ manusia itu.

Bolehkah Makan Uri Daripada Sudut Agama Islam?

Bagi masyarakat Melayu, kesucian uri terus dipelihara dengan menanamnya ke dalam tanah bagi mengelakkan ia dimakan haiwan liar berikutan organ itu terhasil kerana kewujudan bayi dalam rahim.

Itu pandangan daripada segi kesihatan, namun bagaimana pula daripada sudut Islam? Adakah makan uri dibenarkan berikutan kandungan nutrisi yang ada dalam ‘tempat tinggal sementara’ seorang bayi? Pihak Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa hukum makan uri adalah HARAM berikutan ia melibatkan kemuliaan di antara manusia.

Beberapa firman Allah serta hadis Rasulullah S.A.W jelas melarang makan sesuatu daripada tubuh manusia kerana manusia itu dimuliakan Syarak daripada dimakan.

Firman Allah Taala dalam Surah al-Isra’: 70,

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami muliakan keturunan Adam dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan kami telah berikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan.”

Allah berfirman lagi Surah al-Hujurat : 12,

أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ

Maksudnya: “Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”

Namun, pengecualian diberi bagi tujuan perubatan jika tiada alternatif lain dengan fungsi yang sama keberkesanannya. 

Mereka menuqilkan kenyataan Imam al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (6/160): “Bagi orang yang berada dalam keadaan darurat dibenarkan untuknya memakan bahagian manusia yang mati apabila tiada bangkai lain selainnya kerana kemuliaan orang yang hidup lebih besar berbanding kemuliaan mayat.” 

Ini selaras dengan keputusan Persidangan Majma` al-Fiqh al-Islami di bawah OIC atau Pertubuhan Kerjasama Islam yang bersidang pada muktamar kali ke-13 pada tahun 1992 bahawa penggunaan plasenta bagi tujuan perubatan adalah diharuskan.

Adapun jika sumber plasenta itu adalah daripada haiwan yang halal dan telah disembelih secara syarak, maka Lajnah al-Ifta’ Jordan dalam fatwa (no.2797) mengharuskannya bagi tujuan perubatan dan kecantikan. Namun mereka mensyaratkan jika sumber itu daripada sumber najis, maka ia hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan dan bukan kecantikan.

Jadi, Mama yang beragama Islam, pesan dekat encik suami jangan terfikir nak buat lauk pula uri tu seperti pelakon Taiwan tu pulak ye!


Dapatkan panduan kesihatan dan keagamaan yang lain di SINI.