Zaman moden yang dipenuhi dengan smart TV, aplikasi, tablet dan kecerdasan buatan (AI), membesarkan anak-anak terasa jauh perbezaannya dengan zaman kita membesar. Mereka sekarang membesar dengan teknologi sejak dari lahir dan itu bukan perkara buruk selagi ia diurus dengan bijak.
Persoalan bagi Mama Papa hari ini bukan sekadar “berapa lama anak boleh tengok skrin?”, tetapi bagaimana nak pastikan teknologi seperti AI tools, gajet dan internet menjadi alat perkembangan, bukan sebagai ancaman kepada mereka.
Parenting zaman AI sangat memerlukan keseimbangan antara pendedahan teknologi dan pengalaman dunia sebenar supaya anak Mama Papa tidak terlalu terpengaruh atau bergantung kepada AI sepenuhnya.
AI Tools? Membantu Anak atau Mengambil Alih Didikan?
AI kini semakin masuk dalam dunia pembelajaran daripada aplikasi membaca yang menyesuaikan tahap kesukaran, hingga program matematik yang memberi latihan personalised. Bila digunakan dengan betul, AI boleh membantu anak fokus, belajar lebih cepat dan faham sesuatu topik dengan visual yang menarik.
Namun, tetap ada risikonya apabila terlalu banyak kebergantungan diberikan kepada teknologi ini. Ada aplikasi yang mengumpul data, ada yang menghasilkan kandungan automatik tanpa kawalan, dan ada yang terlalu menyediakan jawapan sehingga mengurangkan kemahiran berfikir anak-anak.
Mama Papa perlu memilih aplikasi yang mempunyai tujuan pendidikan sahaja, menawarkan kawalan ibu bapa, serta menyekat aplikasi atau laman web yang tidak sesuai dengan umur anak-anak.
Gajet Menjadi Kawan Atau Punca Masalah?
Gajet seperti tablet dan telefon bukanlah musuh utama dalam parenting, tetapi ia boleh menjadi masalah jika digunakan tanpa kawalan.
Anak-anak yang dibiarkan menggunakan gajet sebagai alat menenangkan diri cenderung mengalami kesukaran mengawal emosi dan fokus.
Kandungan yang terlalu laju, terlalu bising dan terlalu berwarna boleh overstimulate otak anak, menyebabkan mereka tidak berminat dengan aktiviti dunia sebenar seperti membaca, bermain blok atau bersembang.
Namun, apabila gajet digunakan dengan kandungan berkualiti dan bersama Mama Papa, ia boleh menjadi alat pembelajaran yang kuat. Gajet boleh membuka dunia sains, muzik dan kreativiti dengan syarat ia bukan babysitter.
Lebih Penting Tentang “Bagaimana”, Bukan Sekadar “Berapa Lama”
Mama Papa cuba ikut garis panduan AAP tentang screen time, tetapi realitinya kehidupan moden tak semudah itu. Screen time tidak semuanya sama. Video perlahan dan educational membantu perkembangan bahasa, manakala video berkelajuan tinggi boleh menjejaskan tumpuan.
Kesan screen time banyak bergantung kepada kualiti kandungan, konteks penggunaan dan keadaan emosi anak selepas menonton. Jika anak boleh berhenti tanpa marah, tidur tetap teratur dan masih aktif bermain di luar, itu petanda penggunaan skrin berada pada tahap sihat.
Tetapi jika anak mengamuk apabila diminta berhenti atau hanya mahu skrin setiap masa, itu tanda screen time sudah memberi kesan negatif.
Co-viewing Ini Kunci Kawalan Kandungan Tanpa Stres
Menonton bersama anak adalah strategi paling mudah tetapi paling berkesan untuk mengawal kandungan. Dengan co-viewing, Mama Papa boleh jelaskan apa yang anak tengok, bantu mereka faham mesej sebenar, dan elakkan anak daripada kandungan tidak sesuai yang mungkin muncul secara automatik.
Utamakan Aktiviti Dunia Sebenar Terlebih Dahulu
Sebelum skrin diberikan, pastikan aktiviti utama seperti tidur, bermain fizikal, bersembang, makan dan membaca tetap diutamakan. Bila rutin anak seimbang, teknologi tidak akan mengambil alih kehidupan mereka.
Parenting pada zaman AI memerlukan Mama dan Papa jadi lebih bijak. Teknologi tidak perlu dijauhi, tetapi perlu diperkenalkan dengan cara yang terkawal. Bila anak belajar menggunakan AI, gajet dan skrin sebagai alat pembelajaran, bukan pengganti dunia sebenar, mereka membesar dengan keseimbangan yang sihat.
Kunci utamanya ialah pantau dan menjadi contoh dalam penggunaan teknologi harian. Dengan panduan yang betul, anak-anak bukan saja selamat malah lebih bersedia menghadapi masa depan digital mereka.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Mama buntu nak masak apa untuk lunch? Jom tengok resipi-resipi yang menarik di SINI.
