KelabMama

Pakar OBGYN Kongsikan Persediaan Ke Arah Kehamilan Yang Sihat: Permulaan Terbaik Buat Si Manja

Artikel Dr. Sharmina, Pakar OBGYN Sunway Medical Centre

Asas kesihatan sepanjang hayat seorang anak bermula daripada saat mereka dikandung sehinggalah ke hari-hari pertama selepas dilahirkan.

Bagi Dr Sharmina Kamal Binti Shamsul Kamal, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), persediaan bermula lebih awal, bahkan sebelum ujian kehamilan menunjukkan keputusan positif.

“Kesihatan yang baik, idealnya bermula sebelum hamil. Adalah penting agar bakal ibu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu untuk mengenal pasti sebarang keadaan sedia ada seperti diabetes atau hipertensi. Jika ada, ia perlu diberi perhatian yang sewajarnya dengan lebih awal,” jelas beliau.

Dr Sharmina Kamal Binti Shamsul Kamal, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC)

Memandangkan kadar diabetes dan hipertensi semakin meningkat dalam golongan muda di Malaysia, saringan pra-kehamilan kini menjadi satu keperluan.

Keadaan kesihatan yang tidak didiagnosis atau tidak terkawal boleh menjejaskan ibu dan bayi.

Dr. Sharmina turut menekankan pentingnya untuk menyemak ubat-ubatan yang diambil bagi memastikan ia selamat digunakan semasa hamil.

Jangan abaikan asid folik. “Memandangkan perkembangan tiub saraf bayi berlaku pada peringkat awal, pengambilannya perlu dimulakan sebelum keputusan ujian kehamilan positif, Pengambilan asid folik lebih awal memberi perlindungan optimum kepada ibu dan bayi terhadap risiko kecacatan tiub saraf yang serius.”

Membina Asas Kukuh Semasa Hamil

Setiap trimester membawa perkembangan yang unik. Trimester pertama adalah fasa yang sangat sensitif kerana organ bayi sedang terbentuk.

Memasuki trimester kedua dan ketiga, bayi anda mula membesar dan semakin matang, malah sudah mula memberikan tindak balas apabila mendengar suara atau merasai pergerakan anda.

“Aspek pemakanan sering dipandang remeh. Jika ibu kekurangan nutrien penting, bayi juga mungkin terjejas,” kata Dr Sharmina.

Mengelakkan merokok dan alkohol, mengehadkan kafein, serta mengutamakan pemakanan seimbang adalah sangat penting. Di Malaysia, kekurangan zat besi, kalsium, dan vitamin D sering dilihat dalam kalangan ibu hamil.

Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia, membuatkan ibu berasa sangat letih dan berisiko menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan. “Sementara itu, kekurangan kalsium dan vitamin D boleh melemahkan tulang ibu semasa dan selepas kehamilan,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, suplemen hanya perlu diambil mengikut nasihat perubatan. Diet seimbang yang kaya dengan protein, sayuran hijau, bijirin penuh, dan produk tenusu atau alternatif yang diperkaya kekal menjadi kunci utama kesihatan.

Pemeriksaan Awal, Kehamilan Sihat

Pemeriksaan antenatal kadangkala dianggap sebagai rutin biasa, namun ia jauh lebih penting daripada itu. “Pemeriksaan ini membantu kami memastikan kehamilan berjalan lancar, mengesan masalah lebih awal, dan memastikan bayi anda membesar dengan sihat,” kata Dr Sharmina.

Imbasan awal dilakukan untuk mengesahkan daya hidup janin (fetal viability) dan menentukan usia kehamilan dengan tepat.

Kebanyakan wanita akan menjalani pemeriksaan bulanan sehingga minggu ke-28, melainkan pemantauan lebih rapi diperlukan. Keadaan seperti preeklampsia atau diabetes gestasi (kencing manis semasa hamil) sering kali dapat dikesan sebelum simptom menjadi lebih teruk.

“Pada setiap pemeriksaan, kami akan memantau bayi, uri, dan air ketuban bagi memastikan segalanya berada di landasan yang betul,” katanya.

Tetap Beraya, Tetapi Secara Sederhana

Sambutlah musim perayaan dengan gembira, namun amalkan kesederhanaan demi kesihatan. “Utamakanlah hidangan seimbang. Elakkan alkohol, pastikan makanan dimasak dengan sempurna, dan dapatkan rehat yang mencukupi,” nasihat Dr Sharmina.

Tidur selama lapan hingga sepuluh jam, penghidratan yang cukup, dan menyusun aktiviti mengikut kemampuan dapat membantu ibu kekal sihat sambil menyertai perayaan.

Pemulihan dan Mengeratkan Ikatan Selepas Kelahiran

Beberapa jam pertama selepas kelahiran adalah saat yang sangat kritikal. Dr Sharmina menggalakkan sentuhan kulit-ke-kulit dengan segera kerana boleh membantu menstabilkan paras gula dalam darah bayi, menyokong penyusuan susu ibu, dan menguatkan ikatan.

Dari segi emosi, ramai ibu mengalami “postpartum blues” secara sementara. Sekitar 60% hingga 80% ibu mungkin merasa sebak atau sensitif emosi dalam dua minggu pertama selepas bersalin.

Walau bagaimanapun, kesedihan yang berlarutan, memencilkan diri, atau simptom yang semakin teruk mungkin menandakan kemurungan postpartum dan memerlukan perhatian perubatan dengan segera.

Pemulihan fizikal juga perlu dipantau. Sila dapatkan pemeriksaan segera sekiranya anda mengalami kesakitan yang bertambah, demam, luka yang lambat sembuh, atau terdapat discaj yang berbau busuk.

Semasa tempoh berpantang, khasiat adalah sangat penting. Protein, zat besi, dan cecair yang mencukupi menyokong penyembuhan dan penghasilan susu. Menyekat pengambilan air boleh meningkatkan risiko dehidrasi dan darah beku, di samping mengurangkan bekalan susu ibu.

“Ibu harus digalakkan untuk bergerak secara perlahan-lahan. Peredaran darah bertambah baik dengan pergerakan, cuma elakkan daripada tidak bergerak dalam tempoh yang lama,” tambahnya. Sokongan keluarga paling berkesan apabila beban kerja rumah dikurangkan, agar ibu bapa dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengeratkan ikatan dengan bayi.

Menyokong Ibu dan Bayi Selepas Kelahiran

Susu ibu menawarkan perlindungan kesihatan yang hebat. Namun, ramai ibu bergelut akibat kurang sokongan dan salah maklumat. Penghasilan susu pada mulanya adalah sedikit secara semula jadi, dan penyusuan yang kerap diperlukan untuk meningkatkan pengeluaran. Pendidikan, sokongan tempat kerja, serta dorongan keluarga adalah kunci utama.

Apabila keluarga berkumpul, langkah mudah seperti mencuci tangan dan mengehadkan sentuhan rapat semasa bayi masih kecil dapat mengurangkan risiko jangkitan sambil mengekalkan hubungan yang bermakna.

“Pilihan tepat, rawatan perubatan, dan sokongan keluarga adalah kunci untuk ibu menikmati pengalaman ini dan memastikan permulaan hidup yang sihat bagi bayi,” kata Dr Sharmina.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!