KelabMama

‘Tackle’ Inflasi: Pakar Berikan Pandangan Dan Tips Untuk ‘Handle’ Inflasi Dengan Bijak

Kebanyakan keluarga sangat terkesan dengan kenaikan harga barang yang melampau. Mereka juga belum bersedia untuk menghadapinya. Simpanan juga mungkin semakin berkurangan kerana ia mungkin digunakan untuk tampung kegunaan harian. Walau bagaimanapun, Mama Siti pasti kita tak ingin teruskan gaya pembelanjaan yang begini walaupun dalam keadaan ekonomi sekarang bukan?

Mama Siti berjaya mendapatkan temu bual eksklusif bersama Puan Helwa Sofni, yang merupakan seorang ibu kepada tiga orang anak dan juga Perancang Kewangan Berlesen di Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd untuk kongsikan pengalaman dan ilmu beliau dalam hal kewangan bagi keluarga.

Jom lihat apakah pandangan Puan Helwa dan juga tips yang dikongsikan beliau yang dapat membantu Mama dan Papa untuk tackle inflasi sekarang dengan bijak.

1. Sebagai seorang ibu, apa pendapat Puan mengenai harga kenaikan
barangan dan kos sara hidup sekarang?

Sebenarnya, kenaikan harga barang atau inflasi adalah sesuatu yang boleh dijangka (expected) akan berlaku. Cuma kadar kenaikan itu sendiri adalah subjektif. Walaupun kenaikan ini telah dapat dijangka, namun apa yg saya dan ibu bapa lain rasakan apabila berlaku kenaikan harga barang yang tidak selari, iaitu lebih tinggi daripada kadar peningkatan pendapatan.

Jika ini berlaku, sebagai pengguna kita akan terkesan apabila ingin membuat keputusan berbelanja dan mengekalkan gaya hidup. Maka kita perlu untuk menilai semula corak perbelanjaan keluarga.

2. Bagaimana keadaan ekonomi sekarang memberi kesan kepada perbelanjaan harian Puan sekeluarga?

Aspek perancangan perbelanjaan menjadi semakin penting dan perlu diberi perhatian. Contohnya adalah:

  1. Memilih tempat bagi membeli barang keperluan.
  2. Mempunyai senarai pembelian mengikut keperluan dan kepentingan.
  3. Lebih berhati-hati ketika membeli barangan mudah rosak (perishable) agar tidak membazir.
  4. Membuat perbandingan harga yang munasabah, sesuai dengan masa yg perlu dan keselesaan. Adalah penting untuk mengetahui bahawa jangan memilih kerana ia lebih murah kerana aspek kualiti juga perlu dititik beratkan untuk mengelakkan pembaziran.
  5. Berhati-hati dengan medium pembelian atas talian (online), kerana ada risiko rosak atau salah spesifikasi dan sebagainya.

3. Puan ada terasa perbezaan perbelanjaan sekarang berbanding sebelum ini?

Semestinya. Harga barang-barang keperluan harian meningkat dengan mendadak. Contohnya harga minyak masak dan harga bahan mentah seperti ayam, ikan dan sebagainya. Secara tidak langsung harga barang-barang keperluan yang lain juga turut terkesan dengan rantaian peningkatan ini.

4. Adakah anak-anak juga terkesan dengan kenaikan harga barang dan jika ya, bagaimana Puan jelaskan pada mereka mengenai hal ini?

Untuk anak yang lebih dewasa, adalah lebih mudah untuk mereka memahami situasi ini kerana duit belanja yang diberi kadang kala tidak lagi mencukupi. Ia kerana walaupun harga makanan di kantin sekolah masih sama, tetapi saiz dan kandungan nya sudah tidak sama seperti sebelum ini.

Untuk anak yang lebih kecil, mereka masih tidak memahami istilah lebih mahal atau telah berlaku kenaikkan harga. Namun, sebagai ibu saya selalu menerangkan situasi ini, agar mereka sedar bahawa untuk mengekalkan gaya hidup atau perbelanjaan asas, nilai yang di bayar telah bertambah. Saya cuba terapkan aspek ‘financial literacy’ atau kesedaran kewangan dalam perbualan seharian.

5. Boleh Puan kongsikan cara untuk mak ayah sekarang ‘tackle’ perbelanjaan mereka akibat kenaikan harga baru-baru ini?

Sebagai ibu bapa kami melihat aspek kenaikan harga dengan lebih menyeluruh, meliputi setiap jenis perbelanjaan. Ia meliputi dari segi perbelanjaan keperluan dan perbelanjaan kehendak. Iaitu mana yang utama dan mana yang bersifat pilihan. Perbelanjaan bersifat keperluan adalah lebih utama.

Walau bagaimanapun, perbelanjaan bersifat pilihan perlu diteliti mengikut kesesuaian. Saya ambil contoh pilihan untuk percutian keluarga, semestinya destinasi pilihan dan kekerapan menjadi aspek yang sangat penting ketika membuat bajet yang bersesuaian.

Pembelian secara mengejut seharusnya dielakkan agar nilai yang dibayar adalah lebih berpatutan. Dalam kehidupan seharian, apa yang paling penting saya sentiasa ingatkan anak-anak agar mengelakkan pembaziran (penggunaan pendingin hawa, air, elektrik, menghabiskan makanan yang dibeli dan lain-lain).

6. Dalam bahasa mudah, apa yang ibu bapa harus tahu mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang yang diumumkan Bank Negara baru-baru ini, dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada setiap keluarga?

Kadar kenaikkan OPR akan memberi kesan kepada keluarga jika mempunyai pinjaman dengan institusi kewangan pada kadar terapung (floating rate). Contohnya, jika anda mempunyai pinjaman perumahan dengan pihak bank, jumlah bayaran bulanan anda akan naik seiring dengan kenaikkan OPR itu sendiri. Samada nilai itu besar atau tidak, terpulang kepada kadar komitmen bulanan masing-masing berbanding pendapatan yang diterima.

Walau bagaimanapun, jika anda adalah seorang penyimpan di Fixed deposit atau Money market instrumen, kenaikkan OPR sebaliknya memberi kesan yang positif untuk nilai simpanan anda, dimana pulangannya juga dijangka akan menjadi lebih tinggi.

7. Sebagai seorang ibu dan Financial Planner, bagaimana Puan mengajar anak-anak atau ahli keluarga mengenai pengurusan kewangan mereka?

Ada beberapa kaedah yang saya amalkan untuk menerapkan konsep pengurusan kewangan yang betul kepada anak-anak saya. Ia lebih menjurus kepada membina tabiat yang baik semasa menguruskan wang.

  1. Komunikasi atau ‘lead by example’ – contohnya jika saya memilih untuk membeli sesuatu atau tidak membeli sesuatu, saya akan terangkan mengapa membuat pilihan sedemikian.
  2. Perancangan perbelanjaan duit poket – bajet. Contohnya dengan membawa bekal makanan atau air minuman, wang saku yang diberi dapat disimpan untuk kegunaan lain.
  3. Peruntukan untuk perbelanjaan atau simpanan atau perlaburan wang yang dikumpul (wang saku/duit raya/hadiah). Semua tujuan ini adalah penting dan perlu ada supaya seimbang.
  4. Menerapkan pengetahuan asas dengan menerangkan bagaimana pendapatan keluarga dapat di jana. Asasnya adalah pada sikap yang betul sejak kecil, iaitu mencari ilmu dan berusaha meningkatkan kemahiran dan mempunyai sikap yang positif seperti rajin berusaha, jujur, amanah dan lain-lain lagi.
  5. Konsep menggunakan rezeki untuk membantu orang lain yang memerlukan – derma wang atau barang-barang yang masih dalam keadaan baik.

8. Ketika umur anak-anak berapakah ibu bapa boleh mula mengajar mereka mengenai pengurusan kewangan untuk masa hadapan mereka?

Pada pendapat saya apa yang lebih utama ialah pendekatan (approach) yang digunakan bagi setiap peringkat umur.

Ia kerana kaedah yang berkesan membolehkan anak-anak memahami konsep ini dari segi praktikal, bukan teori, dan semestinya sebagai ibu bapa, matlamat kita supaya mereka mempunyai tabiat yang betul dalam menguruskan wang. Secara umumnya, untuk anak-anak yang masih kecil, perlakuan adalah sangat penting.

Maka penggunaan tabung untuk menyimpan duit dilihat sangat penting. Untuk anak-anak yang sudah bersekolah, pendedahan kepada konsep membuat bajet, fikir sebelum berbelanja, apa yang boleh dibuat dengan duit lebihan atau hadiah (duit raya atau angpau) yang mereka terima.

Paling penting adalah menerapkan nilai dan etika yang baik semasa menguruskan wang. Kita tidak mahu anak kita menjadi tamak dan menolong golongan yang memerlukan. Bersyukur dengan rezeki yang dibawa oleh ibu bapa, tanpa mengira nilainya.

9. Salah satu cara menyimpan duit yang sering dilakukan orang ramai adalah dengan menyimpan duit di bank. Adakah ia dikira masih ‘valid’ atau adalah lebih baik untuk orang ramai lebih aktif melabur di ‘unit trust’, emas, dan sebagainya?

Semestinya institusi perbankan adalah sangat penting dan sah kini. Hampir setiap orang memerlukan atau bergantung kepada kemajuan teknologi kewangan (Fintech) untuk memudahkan urusan seharian dari aspek aliran tunai mahupun untuk tujuan kecemasan.

Apa yang penting adalah untuk kita memahami perbezaan antara simpanan dan pelaburan. Simpanan di bank terjamin daripada segi keselamatan. Walaubagaimanapun, simpanan di bank tidak memberi pulangan yang mampu menampung peningkatan kos hidup dari segi inflasi.

Maka apa yang perlu di lakukan oleh setiap ibu bapa atau mereka yang bekerja adalah mempunyai peruntukan yang bersesuaian untuk kedua-duanya sekali. Setiap instrumen pelaburan mempunyai risiko-risiko yang tersendiri, maka adalah penting untuk memahami perkara yang ditawarkan oleh setiap instrumen tersebut.

Lazimnya kesesuaian instrumen pelaburan bergantung kepada matlamat kewangan (financial goals) dan tempoh masa yang diperlukan untuk setiap matlamat.

Penting juga untuk memastikan di mana sahaja anda ingin menyimpan atau melabur, ia haruslah melalui platform yang sahih dan diluluskan oleh pihak berkuasa di negara kita (Bank Negara Malaysia & Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).

10. Tips yang Puan boleh kongsikan dengan ibu bapa lain mengenai cara
perbelanjaan untuk diri sendiri dan anak-anak.

  1. Rancang perbelanjaan – bulanan atau tahunan, perbelanjaan tetap (seperti komitmen pinjaman dengan bank) dan peruntukkan perbelanjaan berubah-ubah (perbelanjaan runcit, perbelanjaan kesihatan dan lain-lain).
  2. Kesan dan semak corak perbelanjaan – untuk menilai tahap kepentingan. Kehendak atau keperluan.
  3. Komunikasi – ambil kira pilihan ahli anak-anak supaya tidak membazir. Bagi pilihan untuk mereka buat keputusan. Ia secara tidak langsung menambah motivasi & keyakinan untuk membuat keputusan yang bijak dengan bantuan ibu bapa.
  4. Buat sasaran contohnya berapa banyak yang boleh disimpan dan beri saguhati (sebagai galakan jika berjaya mencapai sasaran.

11. Apakah nasihat utama atau tips mengenai kewangan yang Puan ingin
sarankan pada ibu bapa dan orang ramai di luar sana?

Pengurusan aliran tunai adalah asas kepada pengurusan kewangan yang baik. Ia kerana pengurusan tunai yang cekap membolehkan ibu bapa tidak terjerat dengan masalah hutang yang tidak sihat, dan dengan mempunyai lebihan wang maka pilihan untuk simpanan atau perlaburan adalah lebih tinggi.

Berikut adalah 7 tips sebagai panduan:

  1. Fahami sumber pendapatan anda.
  2. Jejaki (track) perbelanjaan anda.
  3. Kenal pasti perbelanjaan yang keluar.
  4. Hapuskan perbelanjaan yang tidak perlu.
  5. Tingkatkan pendapatan anda.
  6. Rancang aliran tunai yang anda ingini.
  7. Dapatkan khidmat rundingan daripada perancang kewangan.

Mengenali Puan Helwa Sofni

Helwa Sofni merupakan seorang ibu kepada 3 orang anak dan menetap di Negeri Sembilan. Beliau sudah berkhidmat dalam bidang kewangan sebagai Akauntan di sektor korporat kira-kira 10 tahun sebelum menjadi Perancang Kewangan Berlesen di Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd. Helwa percaya bahawa literasi kewangan amat penting untuk semua supaya dapat menjalani kehidupan dengan yakin dan tenang semasa mencapai cita-cita yang diingini.