KelabMama

PAKAI KANTA LENGKAP, SILAP LANGKAH BERI MASALAH

Memakai kanta lekap bukan sahaja memudahkan rutin harian dilakukan tanpa gangguan, malah ia juga memberikan keselesaan kepada pengguna kerana tidak perlu lagi mengenakan kaca mata. Sebab itu kanta lekap menjadi kegemaran bagi menggantikan pemakaian kaca mata. Terdapat pelbagai jenis dan warna yang menjadi pilihan terutama bagi remaja dan dewasa. Namun, secara realitinya tidak ramai yang peka dan mempunyai pengetahuan tentang penjagaan dan cara-cara memakai kanta lekap yang betul.

 

RISIKO JANGKITAN KUMAN

Pengguna yang tidak menjaga kebersihan ketika memakai kanta lekap dan mengambil sambil lewa rutin harian tersebut berkemungkinan berhadapan dengan risiko jangkitan pada bahagian kornea mata. Antara yang perlu diberi perhatian ialah jika mata merah, sensitif, kabur atau sakit. Jika keadaan ini berlaku segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan

Individu yang tidur dengan kanta lekap berisiko lebih tinggi mendapat ulser kornea kerana mata lebih mudah tercedera, kurang oksigen dan memerangkap bakteria. Kanta lekap yang dipakai dalam tempoh lama menyebabkan mata menjadi bukan toleransi kepada kanta lekap. Jika berlaku keadaan sedemikian, mereka dinasihatkan berhenti dahulu selama beberapa bulan sebelum kembali memakainya kembali apabila keadaan sudah baik. Kebanyakan individu yang berdepan masalah ini ialah mereka yang tidak mengikut cara penjagaan kanta lekap yang betul selain mungkin menggunakan cecair pencuci, rendaman atau bilasan yang tamat tempoh atau masih menggunakan bekas menyimpan atau merendam kanta lekap yang lama dan kotor.

Pemakaian kanta lekap untuk tujuan kosmetik juga tidak ada masalah melainkan pemakainya perlu menjaga kebersihan semasa memakainya. Penggunaan kanta lekap kosmetik juga sama kaedahnya dengan pemakaian kanta lekap untuk tujuan rawatan.

 

JENIS KANTA LENGKAP

Kebanyakan kanta lekap kategori kosmetik adalah jenis lembut dan dijual dalam pelbagai warna pilihan. Terdapat dua jenis kanta lekap yang dijual di pasaran untuk tujuan rawatan iaitu jenis lembut dan keras. Kanta lekap paling digemari pelanggan adalah jenis lembut kerana lebih selesa dan mudah untuk menyerap cecair dalam mata.

 

RUJUK DOKTOR & PAKAR

Terdapat beberapa sebab yang menghalang individu berkaitan menggunakan kanta lekap sebagai alternatif menggantikan kaca mata biasa. Mereka yang mempunyai masalah jangkitan kuman pada mata, mata kering dan alergi mata tidak digalakkan untuk memakai kanta lekap. Individu yang sentiasa berada dalam persekitaran yang tidak bersih dan kotor seperti debu perlu mengelakkan daripada memakai kanta lekap kerana ditakuti memberi kesan kepada kesihatan mata. Seeloknya pengguna dinasihatkan berjumpa pakar di klinik sebelum mengambil keputusan menggunakan kanta lekap supaya kanta yang akan dipakai sesuai dengan lengkungan kornea mata iaitu tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar. Kanta lekap yang dibeli di kedai Optometri yang diluluskan dan mempunyai pengesahan lebih selamat digunakan berbanding hanya membelinya di kedai-kedai biasa.

 

 

 

 

 

 

Sumber: Perunding Ophthalmologist, Dr. Saira Fairma Ismail Mokhtar & Utusan