KelabMama

Awas Mama! NPRA Melaporkan Pengambilan Produk Jus Aloe Vera Boleh Memberi Tindak Balas Buruk Kepada Buah Pinggang

Aloe vera atau lendir pokok lidah buaya sememangnya terbukti berkesan bagi tujuan kecantikan dan kesihatan.

Bermula sebagai bahan untuk menyuburkan rambut, memulihkan luka terbakar, ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai cooling agent bagi naba-mana kecederaan tubuh.

Bahan semula jadi ini telah diamalkan sejak turun temurun dan kebiasaannya dipakai secara luaran.

Namun kini, produk aloe vera semakin luas ditransformasikan oleh pihak pengilang termasuklah menjadikannya sebagai jus minuman kesihatan. Bagaimanapun, persoalannya, adakah aloe vera ini turut diyakini selamat untuk kegunaan dalaman?

Kalau lihat di pasaran, pelbagai jenama jus minuman berasaskan aloe vera boleh ditemui.

Bagaimanapun, tahukah Mama, kajian terbaharu oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa terdapat masalah kesihatan buah pinggang berkemungkinan hasil daripada pengambilan produk oral berasaskan aloe vera?

Memetik leporan berkenaan, sebanyak lima kes direkodkan bermula Februari 2020 sehingga kini berhubung pengambilan jus aloe vera yang berkemungkinan cenderung mengakibatkan masalah buah pinggang ekoran terdapat hanya satu bahan aktif.

Berdasarkan pemerhatian tersebut, reaksi yang dilaporkan termasuklah peningkatan tahap kreatinin dan urea dalam darah (kehilangan fungsi buah pinggang), kecederaan buah pinggang akut (kerosakan pada buah pinggang yang berlaku secara tiba-tiba), dan masalah buah pinggang semakin teruk.

Reaksi negatif ini dilihat bermula seawal sehari hingga ke lima bulan selepas pesakit consume produk oral yang mengandungi Aloe vera ini.

Jelas NPRA lagi, kesemua pesakit berumur lingkungan 35 hingga 65 tahun yang mana kebanyakkan daripada mereka turut mengambil ubat lain secara serentak selain mempunyai sejarah penyakit lain antaranya kekurangan fungsi buah pinggang, tekanan darah tinggi, paras kolesterol darah yang tidak normal, penyakit jantung, diabetes atau gout.

“Kesemua pesakit ini telah dinasihati untuk menghentikan serta-merta pengambilan jus minuman berkenaan yang mana dua daripada mereka dilaporkan pulih selepas menerima rawatan di hospital. Manakala yang lain masih menerima rawatan,” ujarnya.

Langkah Pencegahan

Meskipun tidak mengandungi data saintifik lengkap dalam mengaitkan pengambilan jus aloe vera semata-mata sebagai punca penyakit buah pinggang, namun NPRA turut menasihati pengguna agar berhati-hati dengan mempertimbangkan penggunaan produk oral yang mengandungi aloe vera.

Ini amat penting khususnya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain termasuklah kumpulan pesakit buah pinggang.

Jelas NPRA, pihaknya akan terus memantau dengan teliti isu keselamatan ini dan bersedia mengwar-warkan sebarang dapatan yang diperoleh hasil kajian tersebut.

Berikut adalah panduan untuk Mama meneliti keselamatan produk yang berasaskan aloe vera:

  1. Berhati-hati dengan pengambilan produk yang mengandungi aloe vera secara oral. Risiko ini mungkin lebih tinggi pada mereka yang mempunyai sejarah masalah kesihatan perubatan termasuklah pesakit buah pinggang.
  2. Rujuk dengan pembekal penjagaan kesihatan sebelum menggunakan produk oral mengandungi aloe vera atau terus hubungi mereka sekiranya anda telah menggunakan produk berkenaan sebelum ini.
  3. Wanita hamil atau sedang merancang untuk hamil perlu mengelakkan sebarang penggunaan produk yang diragui.
  4. Kumpulan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun perlu menghindarkan sebarang produk supplemen orang dewasa.
  5. Rujuk pembekal penjagaan kesihatan jika anda mengalami sebarang gejala luar biasa selepas mengambil sebarang produk oral yang mengandungi aloe vera, terutamanya yang berkaitan dengan buah pinggang anda seperti masalah air kencing, bengkak, sesak nafas, loya atau keletihan.
  6. Laporkan semua kesan sampingan yang disyaki berkaitan dengan produk oral yang mengandungi aloe vera kepada NPRA di sini.

Makanan Yang Harus Dielakkan Untuk Kesihatan Buah Pinggang

Menurut laporan Harian Metro, di Malaysia setiap hari sekurang-kurangnya 10 penduduk didiagnos mengalami kerosakan buah pinggang yang kronik atau berada pada peringkat lima (teruk) dan memerlukan rawatan dialisis.

Lebih menggerunkan, pembunuh senyap yang tidak mempunyai penawar ini tidak menunjukkan simptom yang jelas sehingga dianggap masalah kesihatan biasa dalam kalangan masyarakat sebelum ia dikesan sudah berada di peringkat serius.

Laporan ini juga sekaligus menunjukkan bahawa kesedaran orang ramai dalam menitikberatkan penjagaan buah pinggang masih rendah.

Selain supplemen dan produk kesihatan yang diragui, berikut antara makanan dan minuman yang harus dielakkan secara berlebihan bagi menjamin kesihatan buah pinggang:

1. Garam

Diet yang sihat perlu mengandungi jumlah maksimum garam sebanyak 2300 miligram sehari.

Jika badan anda mengandungi garam yang berlebihan, buah pinggang anda perlu bekerja lebih keras untuk menghilangkan natrium, jadi ia akan mula mengekalkan air yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi.

2. Pisang

Orang dewasa yang sihat harus mempunyai kira-kira 3,500 hingga 4,700 miligram kalium setiap hari dari makanan dan pisang bersaiz sederhana yang sudah mengandungi 537 miligram.

Tetapi jika anda menderita penyakit buah pinggang, pengambilan kalium perlu lebih rendah kerana tubuh badan anda tiedak dapat menguruskan penapis yang berlebihan, yang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius. Buah pisang mempunyai kadar kalium yang sangat tinggi, yang boleh membahayakan pesakit buah pinggang.

3. Daging

Dari segi nutrisi, tidak boleh dinafikan bahawa daging adalah antara makanan yang paling sempurna. Tetapi jika, makan dengan jumlah yang berlebihan ia boleh menyebabkan masalah kepada buah pinggang.

Diet yang kaya dengan protein haiwan boleh menyebabkan berlakunya batu karang. Daging juga mempunyai jumlah purin yang tinggi yang merangsang penghasilan asid urik, salah satu punca penyebab batu ginjal.

4. Produk Tenusu

Sememangnya produk tenusu ini kaya dengan vitamin dan nuteirn, tetapi pengambilan susu, yougurt dan keju yang terlampau banyak mungkin akan membawa lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.

Jumlah fosforus yang terkandung dalam makanan ini mungkin menyebabkan tekanan kepada buah pinggang anda.

Jika buah pinggang anda tidak berfungsi dengan sepenuhnya, organ ini tidak boleh menyahkan fosforus tambahan dari darah anda dan boleh menyebabkan tulang menjadi nipis dan lemah serta meningkatkan risiko patah tulang.

5. Buah oren

Buah dan jus oren mengandungi kalori yang rendah dan ia juga kaya dengan vitamin C, kedua-dua ini juga mengandungi kadar kalium yang tinggi.

Jika organ ini tidak dapat menyahkan kalium yang berlebihan dalam darah, tubuh badan anda boleh berada dalam keadaan yang bahaya.

Jus Yang Sesuai Untuk Pesakit Buah Pinggang

Sebaiknya jus yang paling selamat untuk kesihatan buah pinggang tentulah jus buah-buahan asli kan Mama. Pentingnya dalam menjaga organ ini adalah kerana buah pinggang sangat penting dalam peranannya mencuci darah daripada sisa buangan serta lebihan air yang diperlukan tubuh.

Di sini, Mama Siti sertakan antara jus daripada bahan semulajadi yang semestinya baik untuk kesihatan organ tersebut.

1. Air rebusan halia

Air rebusan halia dapat menghilangkan radikal bebas dan mengurangkan peradangan ginjal. Caranya mudah, parutkan halia dan rendam di dalam air panas selama lima minit. Madu juga boleh ditambah sebagai pengganti gula.

2. Jus lemon

Selain dapat membersihkan lemak dan hati, jus lemon juga berupaya membersihkan ginjal. Kandungan asid sitrik dalam lemon dapat membersihkan sisa-sisa kalsium pada buah pinggang.

Kalsium yang membentuk itu boleh menjadi bahaya kerana a adalah permulaan kepada masalah batu karang. Jadi, apa kata kalau nak minum air sejuk lepas ni, sesekali Mama boleh perahkan buah lemon untuk hasil berganda.

3. Air rebusan kunyit

Kunyit mengandungi antioksidan yang dapat melawan inflamasi. Kajian menunjukkan ia dapat menghentikan peradangan terhadap penyakit berkaitan buah pinggang kronik.

la juga menurunkan tekanan darah yang menjadi penyebab atau faktor risiko penyakit gingal. Bagi memberikan rasa enak kepada air rebusan kunyit, Mama juga boleh perah lemon atau limau.

4. Air rebusan daun jelatang

Daun jelatang terkenal sebagai bat herba yang mampu mengubati pelbagai penyakit termasuk buah pinggang. Daun jelatang mengandungi kebaikan bagi mengurangkan masalah peradangan. Antioksidan dalam daun jelatang juga dapat melindungi ginjal daripada radikal bebas. Hanya rebus daun jelatang dan minum airnya.

5. Teh dandeloin

Bunga dandelion kaya dengan vitamin A, B kompleks, C dan D serta zat besi dan zinc. Teh dandelion bersifat diuretik yang dapat membuatkan ginjal bekerja lebih baik ketika membuang racun dari badan.

la juga menggantikan kalium yang hilang di dalam air kencing.


Untuk pelbagai maklumat mengenai kesihatan, Papa dan Mama boleh rujuk di SINI!