KelabMama

Mimpi Mengandung : Bermaksud Baik Atau Buruk?

Betul ke ungkapan ‘mimpi hanya mainan tidur’ yang selalu kita dengar atau ia hanyalah sekadar kata-kata untuk menenangkan hati? Malah setiap mimpi yang hadir, pasti membawa makna-makna tertentu. Ada yang menakutkan, tak kurang juga yang membahagiakan. Tapi kalau mimpi mengandung macam mana pula? Apa maksudnya?

Ha..ni yang Mama Siti nak kongsi dengan anda. Dua hari lepas, Mama Siti mimpi sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan. Tak berhenti tersenyum bila mengenangkan mimpi tersebut. Bila Mama Siti baca sumber dari internet, tambah menyeringai dibuatnya.  

Sebenarnya, mimpi mengandung ini agak signifikan bukan di kalangan orang Melayu je. Malah, para orientalis juga percaya ada tafsiran di sebalik mimpi mengandung ini. Ia boleh terjadi pada sesiapa pun. Islam sendiri mengkategorikan mimpi kepada tiga kategori iaitu…

Jadi, apakah tanda-tanda yang dapat ditafsirkan jika mimpi yang mendatangi malam mama ada berkaitan dengan kehamilan? 

1. Mimpi diri sedang mengandung

Kebanyakan mimpi mengandung memberi tanda kegembiraan dan rezeki yang akan diterima. Untuk wanita yang memang dah lama mendirikan rumahtangga dan masih belum mendapat cahaya mata, mimpi mengandung ini pasti dapat memberi harapan kepada segala penantian anda. Ada kemungkinan besar anda dan pasangan akan menimang cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini. 

2. Mimpi mengandung di usia muda

Trend terkini, ramai anak muda yang mendirikan rumahtangga walaupun masih lagi belajar di kolej. Bagi anda yang didatangi mimpi mengandung di usia muda, ia menjadi tanda kejayaan akan anda miliki suatu hari nanti, walau apapun ujian yang mendatang. Jadi kuatkan semangat dan tabahlah menghadapinya, kerana dipenghujungnya nanti sesuatu yang indah menanti anda.

3. Mimpi mengandung anak kembar

Ada juga yang bermimpi mengandungkan anak kembar. Tambah pelik lagilah jika memang keturunan kita dan suami tiada yang mempunyai genetik kembar. Mimpi mengandung anak kembar ini menandakan mama akan mendapat keuntungan atau kesenangan besar berlipat-ganda. Pastinya sesuatu yang menggembirakan jika mimpi ini menjadi kenyataan dan mama memang melahirkan sepasang anak kembar. Semuanya itu kuasa dan takdir Tuhan.

4. Mimpi melihat kawan hamil 

Kadang-kadang, bila kita dah terlalu rapat dengan seseorang dan mengharapkan kawan baik kita itu juga mendapat perkhabaran gembira sehingga termasuk dalam mimpi kita. Dalam mimpi tu kita sendiri menyaksikan kawan kita hamil, bermakna kita akan mendapat untung yang besar yang akan dikongsikan dari sumber yang tak disangka-sangka. Bersyukurlah atas segala nikmat yang diberi. 

5. Mimpi mengandung sebelum berkahwin 

Bagi anak dara yang sedang asyik dilamun cinta, mungkin mimpi sebegini sesuatu yang sukar untuk difahami. Kalau mengikut kebanyakkan tafsir mimpi, sesiapa yang mimpi hamil sebelum berkahwin adalah petanda ujian yang sangat besar menanti. Sentiasalah mengingatkan diri kita untuk sentiasa bersabar dan bertabah dalam setiap ujian yang mendatang. Dan mungkin, ini juga satu petanda untuk kita beringat akan batas-batas dalam perhubungan. 

6. Mimpi melihat binatang hamil 

Bagi pencinta haiwan dan ditambah pula dengan mempunyai binatang peliharaan sendiri, bermimpi melihat binatang hamil mungkin sesuatu yang dapat membuat anda tersenyum. Bermimpi binatang hamil adalah petanda anda dan seisi keluarga akan mendapat manfaat dan kebaikan di masa akan datang. 

7. Mimpi keguguran

Bagi mama-mama yang sedang hamil dan didatangi mimpi keguguran, janganlah terus patah semangat atau risau tak bertempat ya. Sesungguhnya mimpi itu memang mainan tidur. Tetapi, jika anda bermimpi yang anda keguguran, itu bermakna anda berada di dalam keadaan cemas dan tak tenang dan terlalu memikirkan sesuatu dengan terlalu mendalam. Banyakkan berzikir dan tenangkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dapat melegakan dan menggembirakan hati. 

8. Mimpi membuang kandungan atau melakukan abortion 

Bermimpi menjalani proses pengguguran atau pembuangan bayi adalah tanda yang anda sedang di dalam suatu krisis dan teragak-agak untuk membuat keputusan dalam hidup. Masalah akan mendatangi kita tak kira masa, tempat dan apapun alasannya. Kita haruslah bijak dalam menyelesaikan segala masalah kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. 

9. Suami bermimpi isterinya hamil 

Jika suami yang bermimpi melihat isteri tercinta hamil, itu petanda yang si suami mengharapkan sesuatu perkara duniawi. Mungkinkah kerja idaman, kereta impian atau apa-apa pun perkara material yang memang sudah lama yang diinginkannya.  

10. Lelaki bermimpi dirinya hamil 

Fitrah sejak dari dulu hinggalah tinggi manapun teknologi sains, lelaki memang dizahirkan untuk tak melahirkan anak secara fizikal. Berbeza dengan mimpi perempuan hamil, lelaki yang bermimpi dirinya hamil ditafsirkan sebagai satu tanda kesedihan. Mungkin lelaki itu sedang dalam masalah atau kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidupnya.

Walaupun kebanyakan mimpi yang kita alami seakan-akan benar, kebanyakan mimpi, terutamanya berkenaan kehamilan jarang menjadi kenyataan. Malah, jika anda sedang hamil, anda akan lebih kerap bermimpi kerana anda akan tidur lebih lama dan nyenyak disebabkan keletihan.

Mimpi boleh menjadi peluang cetusan idea untuk anda yang berfikiran kreatif. Selalunya, lebih ramai antara kita yang akan terlupa tentang mimpi yang kita alami semasa tidur. Mimpi itu adalah permainan perasaan dan minda anda dan tak perlu difikirkan terlalu lama jika ia hanya membuatkan anda tak tenteram dan sedih. Kongsikanlah dengan orang yang anda percaya jika anda benar-benar perlu untuk meluahkan apa yang anda rasa.

Semoga bermanfaat!

BACA JUGA IBU MENGANDUNG – TIPS UNTUK ‘FIRST TIMER’

Pesan Mama Siti

Meskipun ramai menganggap ia hanyalah sekadar ‘mainan’ tidur, tetapi ada juga yang percaya bahawa setiap mimpi itu membawa petanda. Tapi janganlah kita percaya bulat-bulat ya.