KelabMama

Meroyan Selepas Bersalin, Ibu Kongsi Tips Lawan Postpartum Depression

Meroyan Selepas Bersalin, Ibu Kongsi Tips Lawan Postpartum Depression

Meroyan atau gangguan perasaan selepas bersalin selalu dialami oleh ramai wanita terutama dalam tempoh berpantang. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, lebih 600,000 wanita mengalami masalah meroyan atau lebih dikenali sebagai postpartum depression (PPD). 

Ramai sangat yang ambil mudah kes PPD ni sedangkan ianya sangat wajar diberi perhatian. Postpartum depression berlaku akibat keletihan yang melampau dalam melahirkan anak. Mana taknya sesetengah ibu ambil masa sampai 8 jam-11 jam semata-mata nak melahirkan si manja.

Lepas si manja lahir, si manja perlu dijaga dengan rapi. Membuatkan tanggungjawab seorang mama sangat besar hingga menyebabkan mama STRES! So, macam mana mama nak tangani masalah postpartum depression ni?

Bagi sesetengah wanita perubahan hormon yang mendadak selepas bersalin boleh membuatkan mereka murung dan akhirnya meroyan.

Perkongsian daripada Puan Nad Masrom melalui pengalamannya sendiri yang pernah mengalami fasa meroyan ni mungkin dapat membantu ibu-ibu di luar sana.

Tak sanggup rasanya nak baca tentang bayi 3 bulan yang meninggal dunia di tangan ibu sendiri.

Ibu baru pertama kali melahirkan anak, mengalami perubahan hormon yang mendadak selepas kelahiran kemudian mengalami kecelaruan emosi yang tak disedari.

Saya bersyukur ketika saya melalui fasa meroyan 8 tahun yang lalu, suami, keluarga, mak mertua, ayah mertua dan sahabat handai sentiasa di sisi, beri sokongan emosi dan sediakan bahu untuk saya bersandar.

Banyak faktor meroyan ni boleh berlaku; kelahiran pramatang, ibu bersalin kali pertama, ibu alami komplikasi kelahiran, anak sakit dan lain-lain.

Sedikit tips yang saya boleh kongsikan bersama ibu-ibu yang mungkin alami situasi seperti ini berdasarkan pengalaman saya sebelum ini:

1. Amalkan istighfar 1000x

Tips ni dulu sahabat saya FaaFalina Sanusi yang kongsikan. Alhamdulillah ia berkesan untuk rawat hati saya ketika itu. Tasbih digital sangat membantu. Bila jiwa celaru, cepat-cepat buat. Percayalah, ia dapat merawat hati yang lara.

2. Elakkan bersendirian

Bersendirian ni bukan maksudnya duduk seorang diri. Kadang-kadang kita dengan anak-anak tapi fikiran melayang jauh. Pastikan kita ditemani orang yang lebih matang dan sedar perubahan diri kita.

3. Solat dhuha

Cuba amalkan setiap pagi. In shaa Allah solat dhuha dapat menjadikan hari kita bermula dengan lebih baik.

Wanita yang bersalin boleh lakukan solat dhuha secara berterusan mengikut kemampuan masing-masing.

4. Baca Surah Yasin

Setiap kali lepas solat fardu, amalkan baca surah yassin. Tak lama pun baca yassin ni. Dalam 10-15 minit macam tu. Lama-lama akan rasa keringanan pada beban yang dialami.

5. Solat tahajjud

Jika belum istiqamah untuk bangun tahajud, setiap kali terjaga malam, tadahlah tangan dan berdoa apa sahaja yang diinginkan. In shaa Allah, Allah akan kira usaha awal kita ini. Tahajud menjadikan jiwa kita lebih kuat.

6. Kurangkan media sosial

Kita kerap membandingkan diri dengan wanita lain. Kita akan rasa diri tak sempurna bila melihat perbandingan maya ini. Sebelum hati benar-benar kental, kurangkan interaksi mesia sosial ini untuk elakkan diri hilang motivasi dan merasakan kita banyak kekurangan.

7. Pilih kawan

Tak apa circle kita mengecil. Tapi kita kena pilih mereka yang betul-betul dipercayai dan bersedia ada di sisi kita bila kita benar-benar memerlukan. Jauhkan mereka yang boleh memberi aura negatif.

8. Cari jawapan daripada tafsir

Saya kerap lakukan ini. Dalam keadaan keliru, ambillah tafsir al-qur’an, pegang dan berdoa dalam hati dengan keadaan yakin (YAKIN tu macam kita order pizza dan dalam masa 15 minit pizza tu akan sampai pada kita).

Berdoalah minta Allah beri petunjuk dan bukalah mana-mana muka surat secara rawak. In shaa Allah dalam salah satu ayat di muka surat tersebut, ada jawapan untuk persoalan kita.

Mentadabbur Al-Quran mengajar manusia untuk mengambil pengajaran dan mematuhi arahan Allah SWT.

9. Luah perasaan

Kalau kita sukar nak percaya orang lain, luahkan perasaan melalui penulisan. Tulis di buku sebagai jurnal setiap hari. Kalau nak tulis di facebook tapi tak nak orang baca, set ONLY ME.

Tak yakin nak menulis? Contenglah apa-apa sahaja lakaran. Saya lebih suka buat seni terapi. Lukis apa sahaja yang mewakili perasaan saya ketika itu.

Luahkan dengan cara yang betul dan carilah bantuan bila diperlukan. In shaa Allah bila kita yakin yang kita akan dibantu, bantuan tu akan benar-benar tiba.

Jangan biarkan jiwa kita bergolak dan akhirnya memakan diri sendiri.

Sumber: Nad Masrom

BACA JUGA JENIS-JENIS MEROYAN YANG KERAP DIALAMI IBU SELEPAS BERSALIN

Pesan Mama Siti:

Dalam kes meroyan ni, peranan suami sangat penting bagi memastikan si isteri terhindar daripada risiko mengalami masalah kemurungan yang akhirnya memungkinkan mereka untuk lakukan pelbagai perkara di luar kawalan. Mama pula kena beri masa untuk mama sendiri. Rehat yang cukup itu penting!