KelabMama

Mengapa Rakyat Malaysia Tidak Boleh Normalisasi Masalah Saluran Sinus Tersumbat

Saluran Sinus Tersumbat

Bangun tidur dengan hidung tersumbat, sentiasa sediakan semburan hidung di sisi, atau menganggap masalah sinus yang berlarutan sebagai “sekadar alergi” merupakan realiti harian bagi ramai rakyat Malaysia.

Di negara yang mana penghawa dingin, pencemaran, dan cuaca yang tidak menentu merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian, masalah saluran hidung tersumbat sering dianggap remeh dan bukan petanda kepada isu kesihatan yang lebih mendalam.

Di Malaysia, sinusitis dianggarkan menjejaskan sekitar 12.8 peratus penduduk, bersamaan hampir tiga juta individu mengalami masalah sinus yang berterusan, menunjukkan betapa meluasnya masalah ini dalam kalangan masyarakat.

Pakar Telinga, Hidung, Tekak, Kepala dan Leher (ENT) di Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD), Dr. Natasha Ayla Binti Ahmad Zulkiflee dan Dr. Noor Liza Ishak, menegaskan bahawa simptom yang sering dianggap biasa ini boleh menjadi petunjuk kepada masalah ENT yang lebih serius.

Penilaian awal bukan sahaja membantu melegakan ketidakselesaan, malah boleh mengelekkan simptom daripada berlarutan sehingga menjadi kronik tanpa disedari.

Dr Natasha Ayla, Pakar Perunding Bedah Telinga, Hidung, Tekak, Kepala dan Leher di SMCD

Realiti Harian Saluran Sinus Tersumbat

Sinusitis, atau jangkitan sinus, berlaku apabila rongga sinus mengalami keradangan dan tersumbat oleh mukus.

Keadaan ini lazimnya berpunca daripada jangkitan virus, bakteria, atau alergi.

Menurut Dr Natasha Ayla, Pakar Perunding Bedah Telinga, Hidung, Tekak, Kepala dan Leher di SMCD, penting untuk mengenal pasti bila sesuatu simptom itu memerlukan perhatian perubatan:

“Jika hidung sentiasa terasa tersumbat atau berhingus selama lebih daripada dua hingga tiga minggu walaupun selepas mengambil ubat yang dibeli di farmasi, itu merupakan tanda untuk mendapatkan pemeriksaan pakar. Selsema biasa atau jangkitan virus biasanya pulih dalam tempoh tujuh hingga sepuluh hari. Jika simptom berlarutan lebih lama, ia mungkin menandakan keradangan sinus, alergi, atau masalah struktur seperti septum hidung yang bengkok.”

Antara tanda amaran bagi keadaan yang lebih serius termasuk hidung tersumbat yang berterusan atau perlu bernafas melalui mulut, mukus yang pekat dan berubah warna, rasa tekanan pada bahagian muka, serta deria bau yang semakin kurang sensitif.

“Sekiranya simptom ini disertai sakit kepala yang kerap, lelehan mukus ke bahagian belakang hidung, nafas berbau, atau dengkuran, pemeriksaan perubatan amat disarankan,” tambah Dr Natasha. Bagi kanak-kanak pula, tabiat bernafas melalui mulut secara kronik boleh menjejaskan pertumbuhan rahang, susunan gigi, serta kualiti tidur, menjadikan pengesanan dan rawatan awal amat penting.

Bagi ramai rakyat Malaysia, simptom sinus sering menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian tanpa disedari.

Waktu kerja yang panjang di persekitaran berhawa dingin, perjalanan harian yang sesak dengan trafik, serta pendedahan terhadap bahan pencemar menyebabkan ketidakselesaan hidung yang berterusan sering diabaikan.

Ramai yang bergantung kepada penyelesaian segera menerusi pengambilan ubatan seperti “decongestant” atau antihistamin, tanpa mempersoalkan sama ada simptom tersebut adalah normal atau petanda kepada masalah yang lebih serius. Hakikatnya, faktor gaya hidup dan persekitaran ini boleh memburukkan lagi simptom sinus.

“Pendedahan berterusan kepada penghawa dingin, habuk, jerebu, atau asap rokok boleh menyebabkan keradangan pada saluran hidung,” jelas Dr Natasha, sambil menambah bahawa pengambilan air yang tidak mencukupi serta corak tidur yang tidak teratur boleh memburukkan simptom.

Keradangan sinus kronik bukan sahaja menjejaskan kawasan hidung, malah boleh menyebabkan keletihan berpanjangan, dan rasa sukar fokus akibat akibat gangguan tidur serta aliran oksigen yang tidak optimum.

Dalam kes yang jarang berlaku, jangkitan sinus yang tidak dirawat boleh merebak ke struktur berdekatan seperti mata, mengakibatkan bengkak atau masalah penglihatan, dan dalam kes yang sangat jarang, ke otak.

Dr Natasha menambah, “Walaupun komplikasi serius ini jarang berlaku, kebimbangan utama adalah bagaimana saluran sinus tersumbat yang berterusan boleh menjejaskan kualiti hidup secara senyap, daripada keletihan yang berpanjangan hingga penurunan produktiviti.”

Dr Noor Liza Ishak, Pakar Perunding Bedah Telinga,
Hidung, Tekak, Kepala dan Leher di SMCD

Bahaya Tersembunyi dalam Penyelesaian Segera

Walaupun semburan hidung dan antihistamin yang dijual di kaunter farmasi boleh memberikan kelegaan segera, penggunaannya secara kerap boleh menyembunyikan masalah sebenar atau memburukkan simptom dalam jangka panjang.

Menurut Pakar Perunding Bedah Telinga, Hidung, Tekak, Kepala dan Leher di SMCD, Dr Noor Liza Ishak, penggunaan semburan hidung jenis “decongestant” untuk tempoh yang berpanjangan boleh menyebabkan rebound congestion (sumbatan berulang), iaitu keadaan yang mana hidung menjadi lebih tersumbat selepas kesan ubat berakhir.

Dr Noor Liza menambah, “Penggunaan jangka panjang boleh merengsakan lapisan dalam hidung dan menyebabkan keradangan kronik. Begitu juga dengan antihistamin, kebergantungan yang tinggi terhadap ubat ini boleh menyembunyikan simptom tanpa merawat punca sebenar, sekali gus melambatkan diagnosis keadaan seperti sinusitis kronik, polip hidung, atau sumbatan pada struktur hidung.”

Penggunaan berlebihan semburan “decongestant” juga boleh membawa kepada keadaan yang dikenali sebagai rhinitis medicamentosa (rinitis akibat ubat), iaitu apabila lapisan dalam hidung menjadi bengkak dan terlalu sensitif.

“Lama-kelamaan, tisu dalam hidung boleh menebal, menjadi kering, atau membentuk kerak kecil, sekali gus mengurangkan fungsi semula jadi lapisan dalam hidung. Dalam kes yang lebih teruk, bengkak yang berterusan boleh menyempitkan saluran hidung dan menyebabkan sumbatan jangka panjang,” jelas Dr Noor Liza.

Bagi mengelakkan risiko ini, penggunaan ubat yang selamat adalah amat penting. Dr Noor Liza menasihatkan agar penggunaan semburan hidung “decongestant” dihadkan kepada tiga hingga lima hari sahaja.

“Sekiranya seseorang perlu menggunakan semburan dengan lebih kerap, keadaan ini mungkin menandakan masalah sumbatan berulang,” katanya.

Bagi antihistamin pula, walaupun kebergantungan jarang berlaku, penggunaan jangka panjang masih boleh menyembunyikan simptom. Saluran hidung tersumbat yang berterusan melebihi dua hingga tiga minggu adalah tanda jelas untuk mendapatkan pemeriksaan pakar.

Mengawal Kesihatan Sinus

Konsultasi bersama pakar ENT pada peringkat awal boleh mencegah komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup dengan ketara.

Setelah punca sebenar dikenal pasti, rawatan boleh disesuaikan — sama ada melalui ubat-ubatan, prosedur invasif minimum, atau perubahan gaya hidup — bagi membantu pesakit bernafas dengan lebih lega, tidur dengan lebih nyenyak, dan mengurangkan risiko kesihatan jangka panjang.

Dr Natasha menjelaskan bahawa intervensi awal membolehkan doktor menangani punca utama sebelum komplikasi berlaku.

“Apabila dirawat lebih awal, keradangan lebih mudah dipulihkan, kualiti tidur bertambah baik, dan pesakit selalunya mendapati tenaga serta tumpuan mereka kembali. Rawatan awal bukan sekadar tentang bernafas dengan lebih mudah, tetapi memulihkan keselesaan harian dan kesejahteraan secara menyeluruh,” katanya.

Seiring dengan itu, Dr Noor Liza turut menjelaskan bahawa rawatan awal boleh memutuskan kitaran masalah sinus atau saluran hidung tersumbat yang berulang, serta mencegah kerosakan jangka panjang pada lapisan dalam hidung.

“Mengenal pasti masalah seperti alergi, keradangan sinus, atau sumbatan pada struktur hidung di peringkat awal membolehkan kami memulihkan fungsi hidung normal dan mengurangkan kebergantungan kepada pengambilan ubat berulang kali,” jelas beliau.

Walau bagaimanapun, rawatan yang dicadangkan bergantung pada punca sebenar masalah. Pendekatan perubatan boleh merangkumi cucian hidung dengan larutan garam, semburan steroid hidung, atau pengurusan alergi seperti imunoterapi, serta penggunaan antibiotik jangka pendek sekiranya terdapat jangkitan.

Bagi simptom yang berulang atau kronik, prosedur seperti pembedahan sinus endoskopik, septoplasti, atau turbinoplasti boleh membantu melancarkan saliran dan melegakan sumbatan dengan memulihkan aliran udara serta fungsi sinus yang normal.

Penentuan rawatan juga bergantung kepada tahap dan tempoh simptom. Petunjuk klinikal membantu bukan sahaja menentukan jenis rawatan, tetapi juga sejauh mana keperluan untuk memulakannya dengan segera.

Pakar akan melakukan penilaian klinikal seperti endoskopi hidung dan ujian alergi untuk memastikan rawatan paling efektif.

Menurut Dr Natasha, endoskopi hidung membantu mengenal pasti keradangan, polip, ketumbuhan, atau sebarang masalah struktur yang mungkin tidak kelihatan secara luaran.

“Jika kami mendapati terdapat polip, nanah, atau halangan berterusan yang disebabkan oleh turbinat yang membesar atau septum yang bengkok, keadaan ini biasanya menandakan keperluan untuk rawatan yang lebih intensif atau pembedahan,” jelas beliau.

Dr Noor Liza turut berkongsi bahawa ujian alergi juga sama penting dalam menentukan rawatan dan kawalan jangka panjang. “Reaksi yang kuat terhadap pencetus seperti hama debu atau debunga boleh mengesahkan rinitis alergi dan membantu kami memberikan rawatan yang lebih fokus, termasuk antihistamin, semburan steroid hidung, pengelakan alergen, atau imunoterapi,” ujar beliau.

Bertindak Awal, Bernafas Lebih Lega

Kesedaran dan tindakan awal boleh memberikan perbezaan yang besar. Apabila hidung tersumbat berlaku bukan sekadar sekali-sekala tetapi berlarutan, pemeriksaan awal oleh pakar boleh mencegah simptom ringan daripada berkembang menjadi masalah sinus kronik.

Saluran hidung tersumbat yang berterusan tidak perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian – jangan biarkan masalah ini menjadi risiko kesihatan dalam diam. Layari laman web Pusat Perubatan Sunway Damansara untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan sinus, penilaian ENT, serta pilihan rawatan yang menyeluruh.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak tips tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak DI SINI!