KelabMama

Sentuhan Kulit ke Kulit: Manfaat “Kangaroo Care” Kepada Bayi Baru Lahir

kangaroo care

Pernahkah Mama dengar tentang suatu terapi dikenali sebagai Kangaroo Care? Mungkin kedengaran asing kerana ia tidak begitu sinonim dilakukan dikalangan sebahagian besar parents.

Namun, Kangaroo Care adalah kaedah sangat berkesan dan menakjubkan bagi kumpulan bayi yang dilahirkan pramatang.

Ya, umum bagi Mama mengetahui bayi pramatang akan berdepan pelbagai risiko melibatkan kesihatan serta saiz tubuh yang sangat kecil.

Namun, dengan kaedah ini, ia menjadi alternatif untuk si kecil diberikan perlindungan dan keselamatan sehingga mencapai perkembangan normal bagi seorang newborn.

Sama seperti skin to skin dimana bayi diletakkan di atas tubuh ibu sejurus dilahirkan, namun Kangaroo Care adalah sentuhan hangat dilakukan dengan sekerap yang boleh di atas dada si ibu.

Memetik laporan Bernama, Naib Presiden Kangaroo Mother Care Advocate Malaysia, Dr Hasmawati Hassan berkata, kelahiran bayi pramatang yang kurang berat badan iaitu kurang daripada 2.5 kilogram menyumbang kepada 60 peratus hingga 80 peratus kematian neonatal.

“Bagaimanapun, keadaan ini boleh dicegah dengan menggunakan langkah intervensi seperti kawalan infeksi dengan mengamalkan langkah kebersihan yang betul, menyusu badan dan kangaroo care antara ibu dan bayi.

Sementara itu, menurut Dr Nur Diana Ahmad Takri, terapi ini telah diperkenalkan pertama kalinya di Central Hospital of Maputo pada tahun 1984 dan konsep ini kemudian mendapat sambutan memberangsangkan di Amerika Selatan dan negara Eropah.

Tidak terhenti setakat itu, teknik ini kemudiannya terus diyakini selamat dan berkesan apabila Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberikan perhatian pada tahun 1993 sebelum pihaknya mencadangkan agar ia dijadikan sebagai salah satu cara ideal untuk mengekalkan suhu badan bayi pada julat yang normal ketika tahun 2003.

Kangaroo Care ini tercetus melalui satu kajian ilmiah dijalankan oleh sekumpulan doktor di Jabatan Pediatrik Bangalore India ekoran masalah kadar kematian tinggi bagi bayi yang dilahirkan akibat pramatang.

Hal ini berlaku akibat keadaan negara seperti di India, Afrika Selatan dan Brazil mempunyai penduduk sangat ramai sehingga menyebabkan jumlah alatan canggih di hospital tidak mampu menampung jumlah pesakitnya termasuklah kekurangan pakar kesihatan selain ubat-ubatan juga terhad.

Justeru, bagi menangani masalah ini, Kangaroo Care dilihat mampu menjadi sebuah alternatif memastikan keadaan si kecil tadi kembali normal. Malah, ia dianggap paling terbaik dalam menggantikan penggunaan alatan perubatan berkenaan.

Di negara-negara berkenaan, bayi yang belum mencapai berat ideal iaitu di bawah 2.5 kg juga tidak akan dibenarkan pulang. Justeru, petugas kesihatan di sana akan menggalakkan si ibu untuk melakukan kaedah ini sehingga berat bayi mereka kembali normal.

Berbanding di Malaysia sebelum ini, kes bayi pramatang hanya dikendalikan oleh kakitangan hospital di NICU.

Namun, pada hari ini, beberapa hospital telah mulai menggalakkan amalan Kangaroo Mother Care khususnya bagi kes bayi premature.

Faedah Kangaroo Care Untuk Semua Parents

Namun, meskipun anak Mama lahir cukup bulan dan sihat, boleh je nak buat kaedah ini di rumah. Ia adalah kerana ia mempunyai banyak manfaat untuk semua ibu dan bayi!

Antara kelebihan Kangaroo Care adalah:

1. Suhu badan

Kajian menunjukkan ibu mempunyai aliran udara hangat yang boleh diselaraskan dengan bayi. Apabila bayi kesejukan, suhu badan ibu boleh menghangatkan bayi.

2. Penyusuan

Penjagaan ini membenarkan bayi mudah mendekati payu dara dan sentuhan kulit ke kulit meningkatkan pengeluaran susu. Penyusuan menguatkan sistem imun bayi dan merapatkan hubungan ibu dan anak.

3. Meningkatkan berat badan

Ini paling penting bagi bayi yang kurang berat badan. Ia membantu bayi mendapat tidur lena yang cukup bagi memberi tenaga kepada mereka.

Ini sekaligus membantu meningkatkan berat dan ketinggian bayi Mama. Jika di negara yang mengamalkan kaedah ini, peningkatan berat badan bermakna singkatlah masa mereka tinggal di hospital.

Jauh hebat kesannya berbanding jika bayi dibiarkan dalam inkubator sahaja. Bagi bayi yang cukup bulan pun, Kangaroo Care memberi kesan ajaib yang sama.

Manfaat Kangaroo Care Kepada Bayi Pramatang

  1. Alternatif selamat yang boleh menggantikan inkubator bagi bayi pramatang dan juga disyorkan oleh WHO di semua negara sebaik sahaja bayi pramatang distabilkan selepas dilahirkan.
  2. Meningkatkan perkembangan saraf bayi yang baru dilahirkan.
  3. Menstabilkan fungsi fisiologi.
  4. Menurunkan tekanan yang dihadapi oleh para ibu selepas melahirkan bayi mereka.
  5. Memulakan proses jalinan hubungan antara ibu dan bayi.
  6. Meningkatkan daya tidur serta perkembangan otak.
  7. Berkesan untuk penyusuan badan.

Penyusuan badan menggunakan kaedah ini untuk bayi pramatang menyumbang kepada peningkatan sistem imun dalam kalangan bayi pramatang. Ini membantu mempercepatkan pertumbuhan bayi dan membolehkan bayi didiscaj dari NICU.

Posisi Untuk Melakukan Kangaroo Care

Seperti kangaroo yang sentiasa menghangat dan menenangkan seekor anaknya ketika di dalam poket comel, Mama pula meletakkan kepala si manja di atas dada bagi seorang ibu memastikan keselamatan dan kesihatan anaknya berada di tahap optimum.

Kedengaran mudah, namun Kangaroo Care menuntut kekuatan dan disiplin Mama sendiri. Untuk kes bayi pramatang di negara terbabit, mereka menetapkan ibu bapa yang melakukan Kangaroo Care ini agar mengikut beberapa peraturan seperti yang digariskan berikut:

  1. Kepala bayi perlu berpaling agar telinganya berada di atas jantung ibu atau bapa.
  2. Ibu bapa juga tidak dibenarkan menukar posisi kecuali untuk memberi makanan dan membersihkan bayi.
  3. Pada waktu malam, ibu bapa dilarang untuk baring kerana bayi perlu berada dalam posisi menegak selain mengekalkan sentuhan kulit antara kedua-duanya.
  4. Keadaan persekitaran bilik juga memainkan peranan. Jururawat akan memalapkan lampu dan peka terhadap bunyi persekitaran bertujuan mewujudkan ruang bilik seakan-akan rahim ibu.

Setelah Kangaroo Care diperkenalkan, rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia mendapati hanya seorang daripada 50 bayi yang dilahirkan pramatang meninggal dunia sebelum usia sebulan.

Malah, data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menunjukkan dalam tempoh 20 tahun, Brazil berjaya mengurangkan kadar kematian bayi kira-kira dua pertiga bagi usia bawah tiga tahun setelah menjalankan program usaha sama kangaroo care.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk mendapatkan pelbagai info dan tips mengenai kesihatan, Mama boleh klik di SINI!