KelabMama

Mama Yang Hamil, Papa Yang Mabuk. Kenali 5 Perkara Sindrom Couvade

“Mama yang hamil, papa pula yang beria mabuknya siap muntah.”

Mama pasti pernah dengarkan? Bunyi macam kelakar dan pelik tapi ada juga mama papa mengalaminya tau. Mama Siti salah satu dari mereka yang mengalaminya. Tapi normal ke kalau papa yang kena sindrom pembawakan budak ni?

Sindrom ini dikenali sebagai sindrom couvade (sympathetic pregnancy symptoms) dalam bahasa saintifiknya. Mungkin kita akan rasa kesian bila tengok si suami yang kena alahan tapi ada bagusnya juga. Barulah si suami tahu susah payah si isteri yang hamil ni. Tak gitu?

5 PERKARA TENTANG SIMPTOM COUVADE AKA SIMPTOM ‘PEMBAWAKAN BUDAK’ PADA SUAMI

#1 Ia normal

Sindrom couvade adalah keadaan di mana si suami mengalami tanda-tanda kehamilan, seperti mual, susah tidur, mengidam, naik berat badan atau perubahan mood.

Malah, ada suami yang mengalami tahap lebih serius turut merasakan senak perut macam nak bersalin!

Pelikkan? Tapi ia benar…

Fenonema ini telah pun dikaji dan didapati ianya dialami oleh ramai suami. Laporan sebuah penelitian tahun 2005 menyatakan bahawa 90% lelaki yang isterinya sedang mengandung akan mengalami sekurang-kurangnya salah satu daripada gejala-gejala ini pada awal kehamilan.

#2 Psikologi

Sebahagian para pengkaji percaya bahawa tanda-tanda sindrom couvade seperti mengidam dan mual-mual yang dirasakan tersebut berpunca daripada masalah psikologi lelaki yang jealous dengan bayi yang dikandungkan dan terpaksa bersaing untuk mendapatkan perhatian daripada isterinya.

Namun mungkin ramai yang kurang bersetuju dengan teori ini dan ia memerlukan lebih bukti saintifik.

#3 Perasaan bercampur baur

Selain dari itu, sindrom couvade terjadi bila bakal ayah dilanda rasa excited, dan pada masa yang sama turut bimbang dan nervous terhadap perubahan hidup yang akan dialaminya nanti.

Rasa cemas ini membuatkan mereka membuat sesuatu yang dapat melegakan stres, contohnya dengan makan lebih banyak sehingga berat badan bertambah.

Menurut pakar perbidanan pula, dengan bertambahnya berat badan, jaringan lemak semakin banyak yang akan mengubah testosteron menjadi estrogen. Peningkatan tahap estrogen ini boleh membuatkan mood jadi swing dan rasa mual.

#4 Rasa kesian kat isteri

Ada juga gejala yang dikaitkan dengan pengaruh terhadap perubahan yang berlaku pada si isteri.

Contohnya mungkin suami mengalami perasaan simpati terhadap isteri kerana isteri yang mengandung susah tidur malam. Jadi, waktu tidur suami juga berkurang kerana menemani isteri.

Menurut kajian, pasangan suami yang mengalami kesukaran untuk hamil atau menjadi anak angkat lebih cenderung mengalami simptom ini.

Mungkin ada yang terasa kelakar, tapi sebenarnya isteri patut memahami bahawa sememangnya ada suami yang lebih sensitif dan secara emosinya begitu terikat dengan keadaan isteri ketika hamil.

#5 Bila akan berakhir?

Kajian menunjukkan sindrom couvade ini biasanya bermula pada akhir trimester pertama dan boleh menjadi berterusan hingga trimester ketiga.

Banyak langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan rasa ini, contohnya makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap.

Namun satu-satunya ‘penawar’ yang benar-benar berkesan adalah kelahiran bayi itu sendiri, di mana semua simptom akan hilang dengan sendirinya.

Ia tak merbahaya

Jangan risau sindrom ini tak membahayakan si suami. Sampai sekarang masih belum ada kajian lengkap tentang sindrom couvade ini secara terperinci. Simptom ini boleh diatasi dengan tips-tips biasa yang dilakukan oleh wanita yang mengalami morning sickness.

Kalau sindrom ini berlaku pada suami mama, janganlah gelakkan si suami pula. Apa kata mama beri ruang untuk suami relaks dan bantu suami atasi alahannya ya.

Sumber : independent.co.uk, siraplimau

BACA JUGA BILA HAMIL ASYIK NAK MUNTAH JE? 7 TIPS NI BOLEH HILANGKAN LOYA KETIKA MENGANDUNG

Pesanan Mama Siti

Dengar macam pelik tapi realitinya ia berlaku. Walaupun tak semua tapi pasti ada pasangan yang mengalaminya. Si isteri yang mengandung tapi si suami yang alahan teruk. Kesiankan? Tapi apa salahnya. Barulah si suami tahu pengorbanan kita sebagai isteri yang mengandungkan anaknya. Tak gitu? hehe