KelabMama

INI SEBAB KENAPA MAMA BERPANTANG KENA MINUM AIR SECUKUPNYA



“Bila menyusukan baby saya selalu rasa dahaga je. Tapi ada juga yang bagitahu saya tak boleh nak minum lebih-lebih dalam pantang. Ye ke? Kenapa ye?”

Memang banyak petua orang dulu-dulu yang masih diamalkan hingga ke hari ini, terutamanya dalam hal berpantang selepas bersalin ni. Antara larangan yang selalu kita dengar adalah petua yang mengatakan bahawa mama berpantang tak boleh banyak minum air kosong. Alasannya sebab takut nanti bentan, rahim ‘kembang’ dan buncit.

Sebenarnya, ini adalah mitos yang tidak benar dan telah banyak doktor yang telah menjelaskan tentang hal ini secara perubatan.

Sepatutnya, mama berpantang digalakkan minum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong sehari. Setakat ini, tiada bukti saintifik yang membuktikan minum air dapat menyebabkan masalah pada rahim. Sebaliknya, mama mungkin akan mengalami masalah kesihatan sekiranya mengalami dehidrasi.

Jom kita fahami lebih lanjut kepentingan minum air kosong ketika berpantang yang sering disalah anggap.

5 SEBAB MAMA BERPANTANG KENA MINUM AIR KOSONG SECUKUPNYA

1. MENYEGARKAN TUBUH

Seperti yang kita tahu, fungsi air sangat penting dalam tubuh seorang manusia. Begitu jugalah dengan tubuh mama bersalin, apatah lagi setelah mereka mengalami kehilangan darah yang banyak semasa bersalin.

Siapa yang pernah berpantang tentu tahu bagaimana rasa tubuh yang lesu, letih, dan sakit-sakit badan. Cuaca di Malaysia pula panas. Maka seharusnya mama berpantang diberi minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi. Memang ‘seksa’ bila pengambilan air terpaksa dicatu, sedangkan airlah yang dapat memberi kesegaran pada tubuh dan sedikit sebanyak membantu melegakan kesakitan.

2. MEMBANTU PENGHASILAN SUSU IBU

Salah satu tugas mama yang paling mencabar ketika berpantang adalah menyusukan bayi. Macam-macam masalah boleh berlaku berkait dengan penyusuan, contohnya kekurangan susu badan.

Sebenarnya, 90% daripada susu badan itu terdiri daripada air. Kalau mama perasan, masa menyusukan bayi, mama akan berasa haus. Kehausan ini adalah salah satu cara otak memberitahu kita agar meminum air.

3. MENCEGAH SEMBELIT

Sembelit adalah masalah yang biasa dialami oleh mama yang mengandung dan selepas bersalin. Cara pemakanan yang betul merupakan cara terbaik mengatasi masalah ini secara semulajadi.

Kalau tak minum air, najis akan menjadi keras dan sukar disingkirkan. Memang makin payahlah nak membuang, apatah lagi jika mama mengalami luka jahitan episiotomi. Aduh!

4. MEMBANTU FUNGSI ORGAN & MENGELAK JANGKITAN

Mama berpantang juga perlu minum air secukupnya kerana air sangat penting bagi mempercepatkan proses penyembuhan.

Menurut Dr Zubaidi, mama berpantangboleh mengalami masalah jangkitan kuman pada pundi (kencing kotor) dan mungkin kerosakan ginjal sekiranya tidak minum air secukupnya.

5. BAHAYA DEHIDRASI

Jangan pandang mudah pada dehidrasi. Simptom-simptom yang menunjukkan mama kekurangan air termasuklah

Selain simptom ini, dehidrasi juga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius pada mama berpantang.

Pulmonaryembolism atau darah beku adalah salah satu punca kematian mama selepas bersalin yang majoritinya berlaku di kalangan orang Melayu. Menurut analisis oleh Dr Muhammad Izzat, selain disebabkan oleh masalah obesiti dan keengganan untuk mengambil suntikan Clexane, orang Melayu juga cenderung mengamalkan pantang larang yang menegah mama daripada minum air untuk mengelakkan bentan.

BERPANTANG DULU TAK SAMA DENGAN SEKARANG

Sebagai tambahan,Prof Dr Imelda juga pernah membincangkan bahawa amalan mengehadkan pengambilan air kosong ketika berpantang pada zaman dahulu mungkin ada relevannya pada waktu itu kerana orang dulu-dulu bersalin banyak kali dan mengambil masa yang lebih lama untuk melahirkan bayi tanpa bantuan doktor. Mereka takut minum air banyak-banyak sebab tak boleh bangun ke tandas cepat-cepat akibat badan yang terlalu lemah.

Namun kini, mama tak sepatutnya ‘diseksa’ sampai tak bagi minum kerana dah ada pelbagai cara pemulihan lain dan kemudahan perubatan yang moden. Bahkan, doktor akan memastikan mama-mama boleh kencing dengan betul sebelum pulang dari hospital. Jadi, tiada masalah untuk minum 2-3 liter air supaya badan boleh menghasilkan susu. Mama juga mesti minum lebih air dan bangun berjalan (bukan asyik berbaring) untuk mengelakkan darah beku (venous thromboembolism, atau VTE).

JADI, MINUMLAH AIR SECUKUPNYA KETIKA BERPANTANG YA!

Jadi, janganlah takut nak minum air kosong ketika berpantang. Kalau nak jaga badan, elakkanlah minuman yang manis dan ambil makanan berkhasiat. Amalkan cara hidup sihat dan teruskan rutin begini sepanjang hayat, bukan hanya semasa dalam pantang saja.