KelabMama

3 Kategori Makanan Tambah Darah Yang Harus Ada Dalam Pemakanan Seharian – Dari Sayur, Buah hingga Makanan Laut

Pada tahun 2019 satu kajian telah dijalankan oleh Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS). Hasil tinjauan mendapati 21.3% rakyat Malaysia menghidap penyakit anemia. Ini bermakna 1 daripada 5 orang daripada kita mungkin kekurangan sel darah merah. 

Darah merah penting untuk tubuh badan manusia. Sel ini mengangkut oksigen ke seluruh badan dengan bantuan hemoglobin(Hb). Kekurangan darah merah bermakna kekurangan Hb. Fungsi badan akan terganggu dan akhirnya mendorong kepada penyakit anemia.

Justeru, sebagai langkah pencegahan, Mama Siti nak kongsikan makanan tambah darah. Tapi sebelum itu, mari kita lihat apa simptom untuk kenal pasti seseorang itu kekurangan darah merah. 

Kredit gambar: Freepik

Simptom Darah Merah Rendah

  1. Cepat penat
  2. Badan lemah
  3. Kulit pucat
  4. Degupan jantung tidak normal
  5. Sukar bernafas
  6. Sakit dada
  7. Sakit kepala
  8. Tangan dan kaki sejuk

Bagaimanakah kita boleh kekurangan darah merah sedangkan ianya dihasilkan sendiri oleh badan kita?

Ada keadaan dimana badan tidak mampu menghasilkan sel darah merah pada kadar yang diperlukan. Berkemungkinan terdapat gangguan dalam proses biologi badan kita.

Selain itu, masalah yang sama mungkin berlaku apabila badan kehilangan banyak darah disebabkan haid dan kemalangan.

 3 Jenis Nutrien dan Makanan Tambah Darah

Zat Besi

Cara cepat tambah darah adalah dengan mengambil zat besi setiap hari. Lelaki berumur 19- 65 tahun perlukan 9-14 mg setiap hari manakala wanita dari usia 19-50 tahun ialah sebanyak 20-29 mg.

Anda boleh jadikan senarai di bawah sebagai pilihan menu makanan.

  1. Hati ayam
Kredit gambar: Freepik

Selain itu, kalorinya juga lebih rendah berbanding makanan berprotein yang lain. Zat besi dalam hati ayam lebih cepat diserap ke dalam sel badan. Ini bermakna ia mampu menghasilkan sel darah merah dengan lebih pantas.

  1. Ikan tenggiri
Kredit gambar: Freepik

Kandungan zat besinya ialah sebanyak 1.5 mg. Gabungan khasiat lain seperti vitamin B12 dan folat membantu mencegah penyakit anemia.

  1. Telur
Kredit gambar: PxHere

Mama Siti rasa ini antara makanan tambah darah paling mudah diperolehi. Olahan menunya juga senang di pelbagaikan. Tambahan pula, harganya juga murah.

  1. Kangkung 
Kredit gambar: Quora

Sayuran hijau seperti kangkung antara sumber untuk menstabilkan kadar hemoglobin dalam badan. Dalam setiap 100 g hidangan, terdapat 3.5- 4 g zat besi. Ianya 1.5 kali lebih banyak berbanding bayam. 

  1. Roti wholemeal

Zat besi dalam roti wholemeal diperolehi daripada bran pada biji gandum. Bran ialah lapisan paling luar bijian gandum. Pengambilan roti wholemeal boleh diambil ketika sarapan ataupun sebagai snek harian. 

VITAMIN B9

Bentuk folic acid dalam makanan dikenali sebagai folat. Vitamin tambah darah ini boleh diperolehi dalam beberapa jenis beras dan buah. Selain diperlukan dalam penghasilan darah merah di tulang sum-sum, vitamin B9 juga bermanfaat untuk mencegah penyakit jantung.

  1. Beras perang 
Kredit gambar: PxHere

Mengandungi 45 µg vitamin B9 dalam setiap 100 g hidangan. Sekali-sekala, Mama boleh tukar dari nasi putih kepada nasi perang kan. Lebih sihat, antioksidan pun tinggi. 

  1. Beras basmathi
Kredit gambar: Pixabay

Ada 25 µg vitamin B9 dalam beras basmathi. Selain itu, ianya juga berupaya menstabilkan tekanan darah dalam badan manusia. Mama boleh lah cuba masukkan beras basmathi dalam diet seharian.

  1. Buah oren

Kalau nak cari buah yang boleh tambah darah merah, oren lah jawapannya. Jangan silap ya, sel darah merah tidak diperoleh secara terus melalui buah ini. Tetapi ianya membantu sistem dalam badan kita menstabilkan paras hemoglobin melalui sel darah merah.

  1. Tempe

Makanan yang sinonim dengan tradisi orang jawa. Memandangkan Mama Siti memang berketurunan jawa jadi tempe ni memang selalu jadi lauk hidangan. Tempe boleh digoreng, ditambah dalam sup, ataupun masak sambal. 

  1. Daun kesum

Jarang sebenarnya Mama Siti dengar daun kesum dijadikan ulam. Selalunya ia hadir di dalam masakan berkuah seperti asam pedas, laksa dan tempoyak. Mama yang sukakan masakan berkuah, boleh cuba cari resepi berasaskan daun kesum ni ya. 

VITAMIN B12

Kredit gambar: Hellosehat.com

Untuk mengembalikan hemoglobin(Hb) ke tahap normal, alternatif lain adalah dengan mengambil vitamin B12. Vitamin ini diperoleh daripada makanan laut, daging merah dan produk olahan susu. 

  1. Hati lembu

Hati lembu mempunyai lebih banyak kalori berbanding hati ayam. Selain vitamin B12, ianya juga kaya dengan zat besi.

  1. Ikan 

Ikan tenggiri, ikan salmon dan ikan patin adalah antara makanan laut yang membantu tubuh badan menghasilkan sel darah merah yang baru. 

  1. Daging lembu

Walaupun daging lembu mampu mencegah anemia tetapi jangan pula makan secara berlebihan. Takut-takut mengundang penyakit jantung dan keradangan. 

  1. Tauhu

Makanan yang sering didapati di negara-negara asia tenggara. Seterusnya, ianya terdiri dari kalsium. Nutrien tambahan ini berperanan dalam pembentukan haemoglobin. 

  1. Keju parmesan 

Hasil produk tenusu yang kian populer di Malaysia. Selalunya boleh didapati sebagai topping dalam makanan. Antaranya adalah seperti pizza, kek keju, pasta dan lagna.  

Pilihan Makanan Terbaik Untuk Ibu Mengandung Dengan Bacaan Hemoglobin Rendah

Kadar haemoglobin bagi wanita hamil berbeza dengan wanita yang tidak hamil. Pembawaan anak menjadi faktor mengapa terdapatnya perubahan sel darah merah. 

Selain itu, perubahan hormon juga menyumbang kepada perubahan ini. Ibu hamil perlu sentiasa peka dengan keadaan diri mereka. Elakkan diri anda berada di tahap bahaya kerana ia bakal merisikokan kandungan. 

Wanita mengandung yang kurang darah merah cenderung untuk melahirkan anak pramatang dan berisiko mati ketika proses melahirkan bayi. 

Oleh itu, Mama Siti harap anda semua dapat buat persediaan yang sewajarnya. Makan makanan tambah darah dan selalulah dapatkan nasihat doktor agar ibu dan anak sihat.

  1. Tembikai
  2. Brokoli 
  3. Kerang 
  4. Roti dan bijirin
  5. Daging merah

Jika Mama tergolong dalam individu seperti di bawah, Mama Siti nasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor. Golongan ini mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidapi penyakit anemia jika;

  1. Haid tidak normal
  2. Mempunyai sejarah keluarga
  3. Minum alkohol berlebihan 
  4. Berumur 65 ke atas
  5. Sedang hamil

Kesimpulannya, penyakit anemia boleh dicegah. Pengambilan makanan tambah darah secara terkawal dan berkala sedikit sebanyak membantu menurunkan risiko kurang darah merah. Perhatikan juga simptom-simptomnya. Kalau tak sedap badan, teruk ke klinik. 

Zat besi, vitamin B9 dan vitamin B12 semuanya diperlukan dalam menghasilkan lebih banyak sel darah merah. Terutamanya untuk ibu hamil, sekurang-kurangnya ada 2 nyawa perlu dijaga. Mama semua dah boleh mula hidangkan lauk seperti di atas tu ya.