Selalunya bila kita dengar istilah narsistik, terus terbayang pasangan toksik, bos yang suka kawal orang, atau kawan yang asyik nak menang saja. Tapi tahu tak, ada juga mak yang mempunyai ciri narsistik?
Bila sebut pasal mak, kita selalu bayangkan kasih sayang tanpa syarat, penuh pengorbanan, dan menjadi tempat anak mencari perlindungan.
Tapi realitinya, tak semua anak membesar dengan pengalaman macam tu. Ada yang membesar dengan mak yang suka mengawal, suka membanding-bandingkan, malah ada masa buat anak rasa tak pernah cukup baik.
Waktu kita kecil dulu, apa saja yang kita buat tak pernah cukup. Bila dapat A, dia kata “orang lain dapat 10A.” Bila kita cuba jelaskan perasaan, terus ditolak dengan ayat “alah benda kecil pun nak terasa.”
Lama-lama, kita sebagai anak akan mula fikir diri sendiri memang tak berharga.
Apa Sebenarnya Narsistik Bila Kita Cakap Tentang Mak?
Ramai salah faham tentang perkataan narsistik. Orang ingat ia sekadar suka bergaya, suka tengok cermin, atau bangga dengan pencapaian diri. Hakikatnya, narsistik lebih mendalam daripada itu.
Ia berkaitan dengan cara seseorang melihat dirinya berbanding orang lain. Bagi seorang mak, ciri narsistik boleh muncul bila dia meletakkan kepentingan, imej dan perasaan dirinya melebihi anak.
Contohnya, bila anak cerita masalah, mak cepat-cepat tukar cerita kepada kisah dirinya. Atau bila anak buat silap kecil, mak anggap ia mencalar imej keluarganya, bukan sekadar kesilapan biasa.
Yang lebih menyedihkan, kasih sayang mak yang sepatutnya tanpa syarat jadi “bersyarat” anak hanya rasa disayangi bila berjaya, bila mengikut arahan, atau bila membuatkan mak nampak hebat di mata orang lain.
Contoh Situasi yang Nampak Biasa, Tapi Tinggalkan Luka
Kita cuba bayangkan beberapa situasi harian:
- Situasi 1: Anak bawa balik keputusan peperiksaan. Walaupun dapat nombor 2 dalam kelas, mak jawab: “Kenapa tak nombor 1? Malu mak kalau orang tanya.”
- Situasi 2: Anak cerita masalah dengan kawan. Tapi mak balas: “Hidup kau senang lagi, mak dulu lagi susah. Jangan manja sangat.”
- Situasi 3: Anak pilih jurusan universiti sendiri, tapi mak bantah habis-habisan: “Kalau kau tak ikut cakap mak, jangan harap mak nak bangga dengan kau.”
Nampak macam dialog biasa, tapi kesannya mendalam. Anak mula percaya bahawa kasih sayang hanya wujud bila dia jadi “sempurna” ikut standard mak.
Macam Mana Nak Tahu Kalau Mak Ada Ciri Narsistik?
Bukan semua mak yang tegas atau garang itu narsistik, ya Mama. Tapi ada beberapa ciri yang jelas menunjukkan corak narsistik dalam keibuan:
1. Suka mengawal & dominasi
Apa saja yang anak buat mesti kena ikut cara dia. Kalau ada pendapat sendiri, cepat-cepat dipatahkan. Lama-lama, anak pun tak berani nak bersuara.
2. Kurang empati
Susah nak dengar mak tanyakan “Kakak okay ke?” dengan sungguh-sungguh. Selalunya, keperluan dan perasaan dia lebih penting daripada apa yang anak rasa.
3. Suka dipuji & dihargai berlebihan
Anak seolah-olah kena sentiasa “angkat” dia sebagai mak terbaik. Kalau tak, anak dianggap tak tahu berterima kasih.
4. Banding-bandingkan anak
Sama ada dengan adik-beradik lain atau anak jiran sebelah. Ayat macam “Tengok anak Mak Long tu, belajar pandai. Kenapa kamu tak boleh jadi macam tu?” jadi perkara biasa.
5. Kasih sayang bersyarat
Perhatian, senyuman, atau pelukan hanya ada bila anak ikut kehendaknya. Kalau tak, anak rasa disisihkan atau dipandang sepi.
6. Manipulasi emosi
Gunakan ugutan, buat anak rasa bersalah, atau berikan silent treatment untuk kawal keadaan.
Bagaimana Anak-anak Boleh Terjejas?
Membesar dengan mak yang ada ciri narsistik bukan mudah. Anak sering hidup dalam dilema bagaimana nak kejar kasih sayang mak, tapi pada masa sama rasa diri tak pernah cukup baik.
Kesan paling ketara ialah rendah diri. Anak terbiasa dibandingkan, jadi keyakinan dirinya hilang. Anak juga sukar buat keputusan sebab dari kecil selalu ikut arahan mak, tak pernah betul-betul diberi ruang memilih.
Lebih berat lagi, anak jadi takut ditolak. Mereka rasa kasih sayang hanya wujud kalau memenuhi syarat tertentu.
Bayangkan, masa kecil anak sepatutnya penuh dengan sokongan dan pujian ikhlas. Tapi bila dibesarkan dalam suasana begini, mereka membesar dengan luka emosi yang sukar nampak dari luar.
Bila besar, kesannya terbawa ke dalam hubungan lain yang susah nak percaya kasih sayang orang tulus, atau sebaliknya, mereka jadi terlalu mengharap kasih sayang sampai sanggup berkorban berlebihan.
Mengaku bahawa mak sendiri ada ciri narsistik memang perit. Sebab imej mak sempurna sudah sebati dalam budaya kita. Tapi dengan kesedaran, kita mula sedar bahawa tak semua pengalaman anak dengan mak itu indah dan manis.
Memahami isu ini bukan untuk menyalahkan mak semata-mata. Ramai Mama yang ada ciri narsistik sebenarnya datang daripada luka masa kecil mereka sendiri. Mereka mungkin tak pernah dapat kasih sayang tanpa syarat, jadi mereka teruskan corak yang sama.
Tapi di sinilah kita boleh buat pilihan. Kita mungkin tak boleh ubah mak, tapi kita boleh pilih untuk tidak mengulangi corak yang sama. Kita boleh jadi ibu bapa yang memberi kasih sayang tanpa syarat, yang mendengar tanpa menghakimi, yang menghargai anak seadanya.
Akhirnya, luka emosi ini boleh berhenti pada kita. Dan anak-anak kita berhak membesar dengan penuh cinta yang tulus, ikhlas, dan memori yang bermakna untuk mereka.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Masih banyak lagi info kesihatan yang Mama Papa boleh explore, di SINI.