KelabMama

11 Khasiat Kacip Fatimah Untuk Kesihatan Wanita

Khasiat Kacip Fatimah

Penggunaan kacip fatimah dan manfaatnya untuk kaum wanita memang tidak boleh disangkal. Walaupun dunia kini semakin moden, ia tidaklah asing malah telah sebati dalam masyarakat kita terutamanya bagi orang-orang tua terdahulu.

Apa Itu Kacip Fatimah?

Dikenali sebagai kacip fatimah atau selusuh fatimah, menurut Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, nama saintifiknya adalah labisia pumila Benth.

Jika anda ingin mengenali tumbuhan ini, ia adalah sejenis pokok herba renek. Daunnya tumbuh keluar dan berwarna hijau tua tetapi di garisan tengah-tengah daun, berwarna hijau muda.

Tangkai daunnya agak pendek dan sedikit leper manakala batangnya tegak dan keperangan. Pada batangnya itu pula, ada bekas daun (parut) yang boleh mengeluarkan akar.

Ia hidup subur di tempat yang teduh dan tidak boleh menerima cahaya matahari yang berlebihan ketika ia masih kecil dan dalam proses untuk membesar.

Proses penumbuhannya pula agak lambat dan ia memerlukan kelembapan yang tinggi untuk tumbuh dengan sihat. Mungkin disebabkan itulah tumbuhan kacip fatimah ini hidup subur di dalam hutan kan?

11 Manfaat Kacip Fatimah Untuk Kesihatan

Dari zaman berzaman, khasiat kacip fatimah untuk kesihatan telah terbukti terutamanya untuk kaum wanita. Kadang tu apabila sakit, kita cenderung untuk mengambil ubat tahan sakit berbanding merawatnya.

Kacip fatimah adalah kurniaan alam yang dapat membantu pelbagai masalah kesihatan kita seperti:

1. Memudahkan proses kelahiran

Biasanya orang tua-tua dahulu merebus keseluruhan pokok kacip fatimah ini untuk diminum bagi memudahkan proses bersalin. Tapi kuantiti pengambilannya haruslah sesuai dan penyediaannya mesti mengikut tatacara yang betul.

Disebabkan itulah juga nama lainnya ialah selusuh fatimah kerana khasiatnya yang dipercayai dapat memudahkan urusan bersalin ibu-ibu.

2. Merawat tubuh wanita selepas bersalin

Bukan sahaja sebelum pada bersalin, kacip fatimah juga bagus untuk diambil selepas ibu-ibu sudah bersalin kerana antara khasiat padanya menurut Universiti Putra Malaysia, dapat merangsang hormon estrogen.

Maklumlah, selepas bersalin hormon estrogen dalam badan akan turun secara mendadak dan pengambilan kacip fatimah ini dapat membantu memulihkan dan menyeimbangkan hormon ibu-ibu.

3. Mengembalikan kekuatan tubuh

Sumber: istockphoto

Tenaga yang hilang selepas bersalin dapat dipulihkan juga dengan pengambilan kacip fatimah tau. Kalau menurut orang tua-tua, sebelum mereka melakukan kerja-kerja yang berat seperti berkebun, pengambilan kacip fatimah dapat membantu untuk meringankan dan mencergaskan badan mereka.

Barulah tak lesu menjalani kehidupan seharian.

4. Bersifat anti-kanser

Antara penemuan kajian Universiti Putra Malaysia, kacip fatimah juga bersifat anti-kanser. Kandungan sebatian dalam kacip fatimah dipercayai dapat melawan sel-sel kanser dalam badan.

5. Merawat dan mengawal kitaran haid

Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad, untuk wanita yang kitaran haidnya tidak teratur, khasiat kacip fatimah yang dapat merangsang pengeluaran hormon estrogen dan progestrone dengan seimbang dapat merawat masalah ini.

Tetapi sebaiknya, dapatkanlah nasihat dari doktor tentang cara dan dos pengambilan yang sesuai untuk anda ya.

6. Mengurangkan gejala menopaus

Sumber: istockphoto

Bukan itu je, untuk wanita yang sedang mengalami atau sudahpun menopaus, kacip fatimah juga dapat meningkatkan tahap kesihatan anda.

Hormon estrogen yang rendah dan tenaga yang makin berkurangan selepas menopaus dapat dipulihkan dengan pengambilan estrak kacip fatimah yang kaya dengan phytoestrogen.

7. Merawat masalah keputihan

Untuk anak gadis yang masih dara pun, kacip fatimah boleh membantu merawat masalah wanita seperti masalah keputihan. Hanya mereka yang mengalaminya faham macam mana mengganggunya masalah keputihan ni kan?

Dengan pengambilan kacip fatimah yang betul dan berterusan, insyaAllah masalah keputihan anda akan berkurangan.

8. Menambah seri kecantikan wanita

Kandungannya yang kaya dengan anti-oksidan dan anti-penuaan, pengambilan kacip fatimah dipercayai dapat mencantikkan kaum wanita kerana ia dapat merangsang pertumbuhan kolagen secara semula jadi.

Memang jika dirawat dari dalam, badan yang sihat akan menzahirkan kecantikan semula jadi kan?

9. Merawat masalah senggugut

Sudah namanya herba semula jadi untuk wanita, tentunya ia berkhasiat untuk sistem reproduktif wanita. Kacip fatimah dipercayai dapat merawat rahim dan mengurangkan sakit senggugut.

Betul ke ibu-ibu yang dah pernah cuba?

10. Meningkatkan libido wanita

Antara manfaatnya yang memang diketahui umum adalah, ia dapat meningkatkan syahwat wanita. Jika tongkat ali adalah herba untuk kaum lelaki, kacip fatimah pula untuk kaum wanita.

Di zaman kini, dengan gangguan kimia pada badan dan tekanan, ramai wanita yang tidak dapat menikmati hubungan intim bersama suami.

Akibat tuntutan hidup misalnya, kesibukan yang memanjang telah mengurangkan tahap libido wanita. Dengan pengambilan kacip fatimah, insyaAllah libido anda akan meningkat dan badan lebih cergas.

11. Membantu usaha untuk mendapat zuriat

Sumber: istockphoto

Antara produk kacip fatimah yang terkenal di pasaran adalah Ekstrak Kacip Fatimah yang dikeluarkan oleh UTM. Menurut Ila Saleh iaitu salah seorang pengamal dan penjual produk ini, sudah ramai pelanggannya yang masih tidak mempunyai anak walaupun bertahun telah berkahwin, dikurniakan anak setelah mengamalkan produk ekstrak kacip fatimah ini.

Tidak pelik lah kan? Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kacip fatimah memang bagus untuk sistem reproduktif dan menstabilkan hormon wanita.

Amalkanlah Pengambilan Kacip Fatimah Dengan Betul Dan Berterusan

Mana-mana makanan dan minuman pun, jika diambil secara berlebihan dan dengan cara yang salah boleh mengakibatkan pelbagai kesan sampingan. Dapatkanlah nasihat dari mereka yang pakar untuk benar-benar memahami dos dan cara pengambilan yang betul dan sesuai untuk anda.

Jika diamalkan pula secara berterusan, insyaAllah manfaat-manfaatnya boleh dirasai.