KelabMama

Idea Makanan Sihat untuk Kesihatan Mata Kanak-Kanak

Sedari kecil anak-anak dah mulai ada masalah penglihatan? Baru menginjak ke sekolah rendah dah terpaksa pakai cermin mata?Ish, bahaya tau Papa dan Mama!

Bukan apa, bimbang jika masalah penglihatan itu semakin terjejas daripada hari ke hari. Bermula dengan rabun ringan, lama-kelamaan ia berisiko untuk menjadi semakin kabur dan ada sesetengah kes serius pula sehingga menyebabkan buta.

Tak percaya? Jom tengok kata pakar dan statistik mengenai masalah penglihatan kanak-kanak.

Senarai Masalah Penglihatan Dalam Kalangan Kanak-kanak

Jangan anggap masalah penglihatan kanak-kanak ini isu remeh. Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Pusat Kecemerlangan untuk Penglihatan dan Penjagaan Mata (MSU-iCARE) Management & Science University (MSU), Prof Madya Dr Mohd Zaki Awang Isa berkata, kajian di Malaysia mendapati satu persepuluh (1/10) kanak-kanak mempunyai masalah penglihatan serius atau kebutaan dan sembilan persepuluh (9/10) membabitkan pelbagai faktor lain.

Katanya lagi, berdasarkan kajian di negara Asia serta Asia Tenggara menunjukkan bahawa kanak-kanak sangat terdedah kepada risiko rabun iaitu sehingga melebihi 60 peratus.

Dr Mohd Zaki berkata, rabun jauh tahap tinggi ini meningkatkan risiko untuk mendapatkan komplikasi lain seperti glaukoma, katarak, degenerasi macula dan penanggalan retina.

Beliau berkata, pendedahan terlalu lama di depan peranti digital sangat memberi kesan negatif kepada mata.

Tambahnya, kanak-kanak kini sangat rapat dengan penggunaan gajet.

Malah, peranti ini akan menjadi alat utama kepada generasi berkenaan untuk belajar, bekerja dan melaksanakan aktiviti harian.

Mesti Papa dan Mama runsing bukan? Alatan ini boleh menyumbang kepada kesihatan mata namun dalam masa sama, ia juga menjadi kaedah utama dalam mengejar kecanggihan digital ketika ini.

Justeru, apa langkah terbaik bagi membendung anak daripada berhadapan masalah sebegini? Mungkin Papa dan Mama boleh mulakan perlindungan terhadap kesihatan mata anak-anak melalui makanan berkhasiat.

Jom lihat makanan terbaik bagi menjaga kesihatan mata.

Makanan Yang Bagus Untuk Mata

1. Ikan

Kebanyakan ikan adalah sumber asid lemak omega-3 yang sangat baik. Memilih ikan berminyak boleh memberikan tahap nutrien yang lebih tinggi lagi. Ikan yang memiliki omega-3 tinggi termasuk salmon, trout, dan makarel.

Beberapa kajian mencadangkan asid lemak omega-3 boleh membantu melindungi mata dewasa daripada degenerasi makula dan sindrom mata kering.

Asid lemak juga boleh membantu pengaliran cecair intraokular yang betul dari mata, mengurangkan risiko tekanan mata tinggi dan glaukoma.

Minyak hati ikan kod juga sangat tinggi dalam vitamin A dan D. Vitamin A membantu melindungi permukaan mata (kornea) untuk mendapatkan penglihatan yang baik.

2. Sayur berdaun hijau

Sayur ini kaya dengan zeaxanthin, lutein, beta karotena dan juga vitamin C yang bermanfaat. Bayam, broccoli dan kangkung adalah pilihan yang sangat baik.

3. Kekacang

Makanan ringan yang sihat ini juga mengandungi paras omega-3 yang tinggi. Kacang, mengandungi banyak vitamin E yang boleh membantu melindungi mata anda daripada kerosakan akibat penuaan. Kacang terbaik termasuk walnut mentah, gajus dan lentil yang dimasak.

4. Lobak merah

Paling famous untuk kesihatan mata tentulah lobak merah! Lobak merah mengandungi beta-karotena yang bertukar kepada vitamin A dalam badan.

Vitamin A adalah penting untuk penglihatan kerana ia adalah komponen rhodopsin iaitu protein yang membantu retina anda menyerap cahaya. Beta-karotena diperlukan badan anda untuk menghasilkan vitamin A.

5. Keledek

Ubi keledek kaya dengan beta-karotena selain sumber vitamin E yang baik.

4 Tips Untuk Mengekalkan Kesihatan Mata

1. Limitkan masa menonton skrin

Jangan biarkan mata anak anda berterusan melihat skrin terlalu lama. Tetapkan tempoh masa sesuai kerana ia boleh memberi kesan kepada retina jika dibiarkan terlalu lama menghadap skrin sama ada televisyen atau gadget.

2. Beri ruang untuk mata berehat

Bila mata terasa letih, jangan paksa untuk terus-menerus melihat paparan skrin. Pastikan mata juga mempunyai masa rehatnya. Bukan setakat tidru, tapi alihkan perhatian mata daripada melihat skrin.

3. Banyakkan melihat kehijauan

Alam dan manusia saling berkait. Jadi jangan pernah abaikan sumber kehijauan di sekeliling kita. Bawa anak gaerthing di taman boleh menjadi terapi mata bagi memastikan penglihatan mereka terus sihat.

4. Amalan petua yang berkesan

Antara petua tradisional untuk menjaga kesihatan mata adalah meletakkan timun atau uncang teh di mata. Ambil uncang yang telah digunakan dalam minuman dan letak di dalam peti sejuk selama 10 hingga 20 minit. Seterusnya, letakkan uncang teh pada mata yang tertutup selama 15 hingga 30 minit.

Boleh juga gunakan hujung jari anda untuk memberi tekanan lembut pada mata anda atau mengurut perlahan kawasan sekitar mata anda. Sekiranya anda menggunakan uncang teh sejuk, cuba tutupnya dengan potongan timun sejuk untuk menambah kelegaan.

Bagaimanapun, bukan semua jenis uncang teh boleh digunakan untuk rawatan ini, hanya terdapat beberapa jenis teh yang boleh digunakan untuk merawat masalah mata. Sebaiknya gunakan teh organik untuk mengelakkan bahan kimia. Teh hitam, putih, dan hijau dapat membantu mengatasi masalah mata.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan tips pemakanan yang sihat untuk anak-anak Mama di SINI.