KelabMama

KESIAN! SI KECIL HARI INI RAMAI YANG OBESITI DISEBABKAN IBU BAPA SENDIRI

Sikap ibu bapa yang memandang remeh amalan pemakanan sihat seperti membiarkan anak-anak kerap menikmati sajian makanan segera yang banyak kalori didakwa punca utama masalah obesiti dalam kalangan si kecil meningkat hari ini. Obesiti merupakan faktor risiko kepada pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, hipertensi, strok, serangan jantung dan kanser. Jadi pencegahan awal perlu dilakukan dengan pengambilan pemakanan yang seimbang.

Setiap ibu bapa mahupun penjaga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kesihatan anak mereka terutama melalui penyediaan makanan berkhasiat. Ini kerana aspek pemakanan satu perkara asas dalam menentukan tahap kesihatan selain menjamin tumbesaran sihat. Penyediaan makanan berkhasiat sesuai dengan tahap usia anak tidak boleh dipandang remeh kerana hakikatnya, semua kanak-kanak mampu membesar dengan baik melalui pengambilan pemakanan yang sihat dan seimbang. Walaupun kebanyakan ibu bapa kini sentiasa sibuk dengan tuntutan tugas masing-masing, aspek penyediaan makanan sihat kepada anak perlu dijadikan keutamaan. Masakan yang disediakan di rumah kebiasaannya mengandungi khasiat yang diperlukan kanak-kanak terutama makanan disediakan sendiri ibunya selain tidak mengandungi bahan berbahaya.

 

 

Sumber:  Dr Zubaidi Ahmad & Harian Metro