KelabMama

5 Sebab Kenapa Kita Kena Ajar Anak-anak Kepentingan Menderma Darah

Kredit gambar: Shutterstock

Derma darah semestinya amalan yang mulia yang dapat menyelamatkan orang yang kekurangan darah di waktu-waktu gentar seperti kemalangan, kanser dan sebagainya.

Sebagai ibu bapa, kita seeloknya galakkan anak-anak kita ataupun didik mereka serba sedikit tentang menderma darah dan kenapa ia diperlukan oleh masyarakat kita.

Sempena Bulan Derma Darah Sedunia, jom kita tengok macam mana Mama dan Papa boleh didik anak-anak tentang derma darah ni.

Terangkan Pada Anak Tentang Derma Darah

Secara definisi, derma darah terjadi apabila seseorang pergi ke pusat menderma dan menderma secara sukarela.

Terdapat beberapa kriteria untuk menderma darah seperti berumur 17 hingga 60 tahun dan mempunyai berat badan yang khusus untuk menderma.

Menderma darah juga mempunyai 2 jenis derma iaitu, Pendermaan Darah Penuh dan Pendermaan Aferesis.

Pendermaan Darah Penuh

Kredit gambar: Shutterstock

Derma darah ni jenis yang biasa dilakukan oleh masyarakat kita. Menurut portal MyHealth, darah yang didermakan ini akan diproses di makmal. Isipadu darah bergantung kepada berat badan penderma.

Keseluruhan proses menderma darah mengambil masa lebih kurang 30 minit. Penderma darah penuh ini boleh menderma setiap 2-3 bulan sekali.

Pendermaan Aferesis

Kredit gambar: Shutterstock

Pendermaan aferesis pula ialah pendermaan plasma dan platelet. Masa yang diambil untuk menderma Plasma adalah di antara 30 minit hingga 45 minit dan bagi Platelet pula, 45 minit hingga 75 minit.

Mama boleh menderma aferesis lebih kerap daripada derma darah biasa. Tempoh antara pendermaan ialah setiap 2 minggu sekali.

Sekarang Mama dan anak-anak pun dah tahu perbezaan derma darah. Jom kita tengok pula apa kepentingannya!

Kenapa Kena Derma Darah & Kepentingannya

1. Membantu Orang Lain
Menderma darah adalah salah satu perkara yang paling mulia untuk kita lakukan. Darah yang didermakan berpotensi membantu menyelamatkan tiga nyawa.

2. Menjadi Minoriti Terpilih
Menderma darah juga perlu memenuhi beberapa kriteria. Kurang daripada 38% daripada populasi layak untuk menderma darah atau platelet. Jadi jika Mama salah seorang daripada yang terpilih, Mama sangat hebat!

3. Mendapat Pemeriksaan Kesihatan Percuma
Sebelum menderma darah, jururawat yang bertugas akan memeriksa tekanan darah, nadi, suhu dan paras hemoglobin Mama. Darah Mama juga mungkin diperiksa untuk HIV, hepatitis dan penyakit-penyakit lain. Jadi ia seperti mendapat pemeriksaan kesihatan yang kecil hanya sebab Mama menderma darah!

4. Derma Darah Akan Membakar Kalori
Betul Mama! Mama akan membakar kira-kira 650 kalori semasa menderma satu bag darah.

5. Badan Kita Akan Menghasilkan Darah Baru
Apabila Mama menderma darah, badan Mama menjana darah baru. Ia mengambil masa kira-kira 24 jam untuk menggantikan plasma dan 4-6 minggu untuk menggantikan sel darah merah daripada hari derma Mama.

‘Setitik’ Darah Mampu Menyelamatkan Nyawa

Kredit gambar: Shutterstock

Setiap hari darah diperlukan untuk menyelamatkan nyawa. 

Darah diperlukan untuk pembedahan, mangsa kemalangan atau untuk merawat pesakit leukemia, barah, penyakit jantung, penyakit hati dan hemophilia. Sumbangan Mama dan keluarga mungkin menyelamatkan nyawa.

Derma darah ini ibarat menjadi superhero dalam diam. Orang tidak akan tahu darah siapa yang akan digunakan tetapi ia dapat menyelamat kan ramai orang.

Tahukah Mama, setiap 1 unit darah dapat menyelamatkan 3 nyawa. Purata pemindahan sel darah merah ialah 3 pendermaan darah penuh. Lebih daripada 1 juta orang setiap tahun didiagnosis dengan kanser buat kali pertama.

Ramai daripada mereka memerlukan darah, kadangkala setiap hari semasa kemoterapi.

Oleh itu, sebagai ibu bapa kita harus didik anak-anak kita untuk mempunyai tahap empati yang tinggi dan wujudkan rasa ingin menolong orang walaupun kita tidak kenal akan orang tersebut.

Jom kita derma darah hari ini!


Belajar lebih banyak lagi tentang kesihatan di SINI!