Selepas bersalin, ramai Mama mungkin perasan badan sudah tidak sama seperti dulu. Ada yang masih bergelut dengan berat badan yang sukar turun walaupun sudah cuba jaga makan dan kembali aktif seperti biasa.
Kadang-kadang Mama fikir, “Biasalah, dah lepas bersalin kan,” tapi sebenarnya perubahan berat badan yang berpanjangan juga tidak boleh dipandang ringan. Ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan berat badan susah turun dan keadaan ini mungkin memerlukan perhatian dari sudut kesihatan.
Menurut Datuk Dr Noor Lita Adam, Timbalan Ketua Subkepakaran Endokrin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangkap Pakar Perunding Endokrinologi Kanan, Hospital Tuanku Ja’far, Seremban, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi obesiti dalam kalangan wanita.
Jadi, apakah punca berat badan Mama masih “melekat” selepas bersalin? Bilakah masa yang sesuai untuk mendapatkan bantuan pakar? Jom baca temubual bersama YBhg. Datuk Dr Noor Lita Adam untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai obesiti dalam kalangan wanita.
1. Obesiti kini diiktiraf sebagai penyakit kronik di Malaysia. Apakah maksud pengiktirafan ini khususnya untuk wanita dan Mama yang sering berdepan perubahan hormon, kehamilan, selepas bersalin dan menopaus?
Pengiktirafan ini bermaksud obesiti bukan lagi dianggap sekadar hanya masalah berat badan atau gaya hidup sahaja, tetapi satu penyakit kronik yang memerlukan pencegahan, penilaian dan rawatan berterusan. Di Malaysia, wanita mempunyai prevalens obesiti yang lebih tinggi berbanding lelaki (20.6% berbanding 15.0%, NHMS 2015).
Bagi wanita, perubahan hormon sepanjang kehidupan dari kanak-kanak, baligh, umur kesuburan dan menopause turut mempengaruhi berat badan, justeru mereka memerlukan sokongan dan rawatan yang sesuai, bukannya dipersalahkan.
2. Mengapa penting untuk masyarakat berhenti melihat obesiti dalam kalangan wanita sebagai isu penampilan semata-mata, dan mula melihatnya sebagai isu kesihatan yang memerlukan sokongan perubatan?
Obesiti meningkatkan risiko pelbagai penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan beberapa jenis kanser. Apabila obesiti dilihat sebagai isu kesihatan, wanita akan lebih berani mendapatkan bantuan awal tanpa rasa malu.
Kita perlu mengubah persepsi daripada “menurunkan berat badan untuk cantik” kepada “meningkatkan kesihatan untuk hidup lebih berkualiti”.
3. Dari sudut endokrinologi, bagaimana perubahan hormon sepanjang kehidupan wanita boleh mempengaruhi berat badan, metabolisme dan risiko obesiti?
Hormon memainkan peranan penting dalam mengawal selera makan, penggunaan tenaga dan penyimpanan lemak.
Kehamilan, Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) kini turut dikenali secara perubatan sebagai Polyendocrine Metabolic Ovarian Syndrome (PMOS) , selepas bersalin dan menopaus boleh menyebabkan perubahan hormon yang memudahkan pertambahan berat badan serta menjadikan penurunan berat badan lebih mencabar.
Sebab itu setiap fasa kehidupan wanita memerlukan pendekatan pengurusan yang berbeza.
4. Ramai Mama mengalami kenaikan berat badan selepas bersalin dan sukar menurunkannya semula. Bilakah keadaan ini sepatutnya dinilai secara perubatan, bukan sekadar dianggap sebagai “normal selepas bersalin”?
Pertambahan berat badan selepas bersalin memang biasa berlaku. Namun, jika berat badan terus meningkat atau sukar dikurangkan selepas 6 hingga 12 bulan walaupun mengamalkan gaya hidup sihat, atau disertai diabetes semasa hamil, tekanan darah tinggi, gangguan haid atau simptom gangguan hormon, wanita disarankan mendapatkan penilaian daripada doktor.
5. Bagaimana obesiti boleh meningkatkan risiko kesihatan wanita, termasuk diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung dan komplikasi berkaitan kehamilan?
Lemak berlebihan, khususnya di bahagian abdomen, boleh menyebabkan rintangan insulin dan keradangan kronik dalam badan. Ini meningkatkan risiko diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung dan strok.
Semasa kehamilan pula, obesiti meningkatkan risiko diabetes gestasi, preeklampsia, kelahiran secara pembedahan serta komplikasi kepada ibu dan bayi. Faktor genetic turut menambahkan risiko penyakit kronik tersebut dikalangan wanita obese.
6. Bagi wanita yang merancang kehamilan, apakah kepentingan menguruskan berat badan dan kesihatan metabolik sebelum hamil?
Tempoh sebelum kehamilan merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan kesihatan ibu dan bayi.
Penurunan berat badan walaupun sekitar 5–10% daripada berat asal bagi wanita yang mempunyai obesiti boleh memberi manfaat kepada kesihatan metabolik, meningkatkan peluang kehamilan yang sihat serta mengurangkan risiko komplikasi semasa mengandung.
7. Apakah pemeriksaan atau penilaian kesihatan yang wajar dipertimbangkan oleh wanita yang hidup dengan obesiti, selain daripada melihat berat badan dan BMI sahaja?
BMI hanyalah satu ukuran. Doktor juga akan menilai ukuran lilitan pinggang, tekanan darah, paras gula dan kolesterol, fungsi hati, serta mengenal pasti penyakit berkaitan seperti apnea tidur, PCOS atau masalah sendi.
Penilaian kesihatan mental, corak tidur dan kualiti hidup juga penting kerana obesiti memberi kesan kepada kesihatan secara menyeluruh.
8. Ramai wanita, terutama Mama, cenderung mengutamakan keluarga sehingga menangguhkan penjagaan kesihatan diri. Bagaimana kita boleh menggalakkan mereka mendapatkan bantuan lebih awal tanpa rasa bersalah atau malu?
Kita perlu mengubah cara berfikir bahawa menjaga kesihatan diri bukanlah sesuatu yang mementingkan diri sendiri.
Seorang Mama yang sihat lebih mampu menjaga keluarga. Kajian menunjukkan bahawa dalam kebanyakan keluarga di Malaysia, wanita, terutamanya Mama, memainkan peranan utama dalam memilih makanan, menyediakan hidangan harian dan membentuk amalan gaya hidup keluarga.
Oleh itu, apabila seorang wanita menjaga kesihatan dirinya, manfaatnya bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada seluruh keluarga. Anak-anak lebih cenderung mengamalkan tabiat pemakanan sihat dan gaya hidup aktif apabila melihat contoh yang baik daripada Mama Papa mereka.
Sebab itu, mendapatkan rawatan awal bukanlah sesuatu yang mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, ia adalah satu pelaburan untuk kesejahteraan seluruh keluarga. Mendapatkan rawatan awal juga dapat mengelakkan komplikasi pada masa hadapan. Sokongan daripada pasangan, keluarga dan petugas kesihatan yang tidak menghakimi amat penting.
9. Kempen Sayang, Kan? mengajak masyarakat bercakap tentang obesiti dengan lebih empati. Mengapa pendekatan ini penting, terutama bagi wanita yang sering berdepan tekanan sosial tentang tubuh badan?
Ramai wanita berasa malu atau dipersalahkan apabila bercakap tentang berat badan. Sedangkan obesiti ialah penyakit yang dipengaruhi oleh faktor genetik, hormon, psikologi, persekitaran dan gaya hidup.
Pendekatan yang penuh empati membantu mengurangkan stigma dan menggalakkan lebih ramai wanita mendapatkan rawatan lebih awal.
10. Apakah mesej utama Dato’ Dr ingin sampaikan kepada wanita dan Mama di Malaysia yang sedang bergelut dengan berat badan tetapi takut, malu atau tidak pasti di mana untuk mendapatkan bantuan?
Saya ingin mengingatkan bahawa anda tidak keseorangan. Ramai wanita di Malaysia berdepan cabaran yang sama. Obesiti bukan kegagalan diri dan bukan sekadar berpunca daripada kurang disiplin. Ia adalah penyakit kronik yang boleh dirawat.
Jangan tunggu sehingga timbul komplikasi seperti diabetes atau penyakit jantung. Dapatkan nasihat daripada doktor atau pasukan kesihatan supaya pelan rawatan dapat disesuaikan dengan keperluan anda. Setiap langkah kecil ke arah kesihatan adalah satu kejayaan yang patut dihargai.
Apabila kita menjaga kesihatan seorang wanita, kita sebenarnya sedang menjaga kesihatan sebuah keluarga. Seorang Mama yang sihat lebih berupaya membesarkan anak-anak yang sihat, membentuk tabiat pemakanan yang baik di rumah dan membantu mengurangkan risiko obesiti serta penyakit kronik dalam generasi akan datang.
Oleh itu, menjaga kesihatan diri bukanlah satu pilihan yang mementingkan diri sendiri, tetapi satu hadiah yang paling bermakna untuk keluarga
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.
