Penyakit Parkinson bukan sekadar masalah gegaran tubuh. Ia merupakan gangguan neurologi progresif yang menjejaskan pergerakan, kebebasan dan kehidupan seharian berjuta-juta individu di seluruh dunia, dan bukan sekadar sebahagian daripada proses penuaan.
Penyakit Parkinson ialah penyakit neurodegeneratif kedua yang paling lazim di dunia, dan kesannya dijangka meningkat dengan ketara dalam beberapa dekad akan datang.
Di Malaysia, kes dijangka meningkat lima kali ganda menjelang tahun 2040 daripada anggaran sebanyak 20,000 kes pada tahun 2018, sekali gus menunjukkan keperluan untuk kesedaran yang lebih tinggi, diagnosis awal dan penjagaan yang tepat pada masanya.
Sempena Hari Parkinson Sedunia, Dr Phua Chun Seng, Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan, serta Dr Kalai Arasu Muthusamy @ Dr Kamal Azrin Abdullah (Dr Kalai), Perunding Pakar Bedah Saraf, kedua-duanya dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), berkongsi pandangan mengenai perjalanan pesakit dalam pengurusan penyakit Parkinson dan peranan Rangsangan Otak Dalam – Deep Brain Stimulation (DBS) dalam meningkatkan kualiti kehidupan pesakit yang sesuai.
Mengenali Parkinson: Keperluan Untuk Mendapatkan Rawatan Perubatan
“Parkinson bukan sekadar keadaan tubuh yang bergetar,” jelas Dr Phua. “Ia adalah keadaan yang menjejaskan cara seseorang itu bergerak, berfikir dan berfungsi dalam kehidupan seharian.”
Walaupun keadaan tubuh yang bergetar itu merupakan tanda yang boleh dikenali, tidak semua pesakit menghadapi keadaan sedemikian. Keadaan berkenaan ditakrifkan oleh gejala motor seperti kekejangan otot dan pergerakan yang perlahan, dan sering bermula pada satu sisi tubuh.
Apabila penyakit ini berkembang, gejala mula mengganggu tugasan harian seperti berjalan atau berpakaian, manakala peringkat selanjutnya mungkin melibatkan masalah keseimbangan atau risiko jatuh. Parkinson juga boleh menjejaskan kesejahteraan mental, dengan gejala seperti keletihan, kebimbangan, kurang mood dan kesukaran memberi tumpuan.
Individu digalakkan untuk mendapatkan rawatan perubatan sekiranya gejala berterusan atau berubah dari semasa ke semasa. Penilaian awal membolehkan diagnosis yang lebih tepat dan pengurusan keadaan ini tepat pada masanya.
“Meningkatkan kesedaran adalah penting kerana ramai yang masih tidak memahami penyakit Parkinson sepenuhnya,” tambah Dr Phua. “Sesetengah pesakit menangguhkan usaha mendapatkan rawatan perubatan kerana stigma atau salah tanggapan. Diagnosis awal membolehkan kita menguruskan keadaan ini dengan lebih berkesan dan memberi sokongan kepada pesakit sepanjang perjalanan mereka.”
Apabila Ubat-ubatan Tidak Lagi Memadai
Meskipun ubat-ubatan kekal sebagai rawatan utama khususnya di peringkat awal, menguruskan penyakit Parkinson jarang dapat dilakukan dengan mudah. Dari semasa ke semasa, ramai pesakit mula mengalami turun naik dari segi keberkesanan ubatan mereka.
Salah satu pilihan ialah DBS, yang dipertimbangkan untuk pesakit yang mengalami gejala motor yang turun naik, yang ketara walaupun mengambil ubatan, namun masih memberikan tindak balas yang baik kepada levodopa, ubatan utama yang digunakan untuk merawat gejala Parkinson.
Pemilihan pesakit sememangnya penting, dengan faktor seperti kesihatan keseluruhan, fungsi kognitif dan umur yang dipertimbangkan dengan teliti.
Pesakit secara amnya dianggap lebih sesuai untuk menjalani DBS pada usia yang lebih muda (bawah 70 tahun) memandangkan hasilnya cenderung lebih konsisten, walaupun kesesuaian akhirnya bergantung kepada kesihatan keseluruhan, fungsi kognitif dan tindak balas kepada ubat-ubatan.
DBS ialah terapi lanjutan yang menggunakan rangsangan elektrik terkawal ke bahagian tertentu pada otak yang terlibat dalam pergerakan. Tidak seperti teknik pembedahan terdahulu, ia tidak memusnahkan tisu otak, dan tetapannya boleh dilaraskan atau diterbalikkan dari semasa ke semasa, sekali gus membolehkan rawatan ini disesuaikan mengikut perubahan gejala.
Untuk pesakit yang sesuai, DBS mampu mengubah kehidupan. Dr Phua mengimbas kembali kisah seorang pesakit lelaki dalam lingkungan usia lewat 50-an yang menghidap penyakit Parkinson lebih daripada sedekad lamanya.
Aktiviti harian, seperti berpakaian dan makan, menjadi semakin sukar, manakala gejala gegaran menjadikan tugasan mudah seperti menulis atau mengendalikan objek hampir mustahil dilakukan.
“Selepas menjalani DBS, beliau mampu berdikari semula dalam pelbagai aspek kehidupannya,” kongsi Dr Phua. “Beliau boleh makan dan berpakaian sendiri, kembali berkebun dan menikmati tidur yang lebih baik. Ia memberikan perbezaan yang bermakna dari segi keyakinan dan kualiti kehidupannya.”
“Kajian[i] menunjukkan bahawa DBS boleh meningkatkan kualiti kehidupan sehingga 70% dalam kalangan pesakit yang sesuai,” tambah Dr Phua.
Menangani Ketakutan Pembedahan Otak
Meskipun bermanfaat, pembedahan otak boleh menakutkan ramai pesakit. Kebimbangan tentang keselamatan, risiko dan kesan jangka panjang sering menimbulkan keraguan.
“Pendekatan neurosurgikal moden direka untuk menjadi sangat tepat dan invasif minimum. Prosedur berkenaan biasanya melibatkan hirisan kecil kira-kira 2cm, dengan elektrod diletakkan di kawasan otak yang disasarkan dengan sangat tepat, berukuran hanya beberapa milimeter,” jelas Dr Kalai.
“Ia bertujuan untuk menguruskan gejala, sambil membantu pesakit memperoleh semula kebebasan dan berfungsi dalam kehidupan seharian mereka.”
“Penting bagi pesakit untuk memahami bahawa DBS bukanlah ubat. Ia tidak menghalang penyakit daripada merebak, namun ia boleh mengurangkan gejala dengan ketara seperti getaran, kekakuan dan pergerakan yang perlahan,” tambah beliau.
Tidak seperti pendekatan pembedahan terdahulu, DBS tidak merosakkan dan boleh diterbalikkan. Rangsangan berkenaan boleh dilaraskan dari semasa ke semasa, dan perantinya boleh dimatikan atau dikeluarkan jika perlu.
“Apabila dilaksanakan oleh pasukan berpengalaman, DBS dianggap sebagai prosedur yang selamat dan standard dengan risiko komplikasi yang rendah. Kadar kematian untuk pembedahan otak elektif di hospital terkemuka adalah kurang daripada 1%,” kata Dr Kalai.
Daripada Keterbatasan Masa Lalu kepada Penjagaan yang Lebih Tepat dan Peribadi
Rawatan penyakit Parkinson telah mengalami perkembangan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beralih daripada pendekatan invasif kepada kaedah penjagaan yang semakin diperhalusi dan mengikut keperluan pesakit.
“Sebelum ini, pengurusan lebih banyak bergantung kepada ubat-ubatan,” jelas Dr Kalai. “Dalam kes tertentu, teknik pembedahan lama melibatkan perubahan kekal pada bahagian tertentu otak untuk mengawal gejala. Walaupun berkesan, ia tidak dapat dipulihkan dan membawa risiko kesan sampingan jangka panjang yang lebih tinggi.”
Kini, kemajuan teknologi perubatan telah mengubah cara penyakit ini diuruskan. Daripada bergantung kepada prosedur sekali sahaja yang merosakkan, kaedah moden ini kini memberi tumpuan kepada neuromodulasi serta strategi rawatan berasaskan ketepatan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pesakit dari semasa ke semasa.
“Teknik terkini membolehkan kami menyasarkan bahagian tertentu otak yang terlibat dalam mengawal pergerakan seperti nukleus subtalamik (STN) atau globus pallidus interna (GPi), dengan kadar ketepatan yang tinggi,” katanya.
“Dengan sokongan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan pengimejan Computed Tomography (CT) yang dipertingkatkan, serta kaedah pemantauan intraoperatif seperti rakaman mikroelektrod, kami dapat menyesuaikan rawatan dengan lebih tepat sementara mengurangkan risiko komplikasi.”
Satu lagi perubahan penting ialah fleksibiliti. Tidak seperti pendekatan pembedahan terdahulu, terapi moden boleh diubah suai dari semasa ke semasa mengikut perubahan keadaan pesakit.
“Tahap kebolehsuaian ini penting kerana penyakit Parkinson berkembang secara berbeza bagi setiap individu,” tambah Dr Kalai. “Keupayaan untuk memperhalusi rawatan membolehkan kami menguruskan gejala dengan lebih baik sambil menyokong kualiti kehidupan jangka panjang.”
Pendekatan Kolaboratif dalam Penjagaan
Pengurusan penyakit Parkinson yang berkesan memerlukan pendekatan pelbagai disiplin. Pakar neurologi, pakar bedah saraf dan profesional penjagaan kesihatan lain bekerjasama bagi memastikan pesakit menerima rawatan menyeluruh pada setiap tahap perjalanan mereka.
Pesakit yang dipertimbangkan untuk rawatan lanjutan menjalani penilaian teliti bagi menentukan kesesuaian mereka. Faktor seperti diagnosis, tindak balas kepada ubatan, kesihatan kognitif dan jangkaan keseluruhan kesemuanya memainkan peranan penting dalam membuat keputusan.
“Penting bagi pesakit untuk berbincang secara terbuka bersama pasukan penjagaan mereka,” kata Dr Kalai. “Memahami manfaat, risiko dan hasil yang dijangkakan membantu membuat keputusan yang tepat mengenai rawatan mereka.”
Walaupun selepas intervensi, penjagaan diteruskan melalui susulan jangka panjang bagi memastikan rawatan kekal berkesan dengan perkembangan pesakit.
Melangkah ke Hadapan dengan Lebih Keyakinan
Meskipun keadaan penyakit Parkinson kekal seumur hidup, kemajuan dalam penjagaan mengubah pengalaman perjalanan pesakit. Apa yang pernah dilihat sebagai kemerosotan beransur-ansur dan tidak dapat dielakkan kini berubah dengan pendekatan yang menawarkan kawalan, kebebasan dan kualiti kehidupan yang lebih baik.
SJMC telah berjaya melaksanakan pembedahan DBS pertamanya pada akhir Mac 2026, sekali gus menandakan satu langkah ke hadapan dalam memperluas akses kepada penjagaan neurologi di Malaysia.
Untuk maklumat lebih lanjut, layari https://subangjayamedicalcentre.com/.
[i] Starr PA, Shivacharan RS, Goldberg E, et al. Five-Year Outcomes from Deep Brain Stimulation of the Subthalamic Nucleus for Parkinson Disease. JAMA Neurol. 2025;82(11):1181–1190
