KelabMama

5 Kelebihan Berpantang Yang Mama Zaman Sekarang Harus Tahu

Setiap wanita yang melahirkan perlu melalui tempoh berpantang. Ada yang melalui tempoh 44 hari atau 40 hari, adakalanya sehingga 100 hari. Ramai wanita beranggapan tempoh ini memeritkan. Ketika berpantang, pelbagai perkara dan makanan yang tidak dapat makan dan macam-macam aktiviti tidak dapat dilakukan. Tetapi berpantang adalah sangat penting bagi ibu selepas bersalin. Sesungguhnya, amalan-amalan berpantang adalah satu proses menyeluruh, bertujuan untuk memeliharakan kesihatan dan kewanitaan perempuan. Rahim yang sihat menghasilkan ibu yang kelihatan berseri dan menarik pada pandangan. Tidak hairanlah jika ramai wanita masih lagi berpegang kepada amalan berpantang yang dikatakan kolot oleh setengah mereka yang dibuai arus kemodenan.

Kebaikan Berpantang

Antara Berpantang yang Diamalkan

#Urut

Urut merupakan salah satu kemestian. Ini biasanya disertai amalan mandi herba atau akar kayu, antaranya dipercayai bagi melancarkan peredaran darah, membuang angin dan melegakan sengal tulang dan otot akibat proses meneran semasa melahirkan.

#Bengkung

Pemakaian bengkung, biarpun tampak merenyahkan, antara lain sebagai langkah memberi keyakinan diri apabila perut yang menggelebeh lantaran pasca kehamilan dilindungi, sekaligus membantu mengembalikan bentuk tubuh. Masyarakat Jepun juga mempunyai seakan bengkung yang berupa seperti ikat pinggang bagi mengelak perut nampak
menggelebeh.

#Pemakanan

Sesetengah makanan yang disarankan diambil oleh ibu-ibu dalam pantang adalah baik. Contohnya, ikan haruan dipercayai dapat memulihkan luka dalaman, terutamanya jika bersalin secara pembedahan caesarean. Namun ikan berbisa seperti sembilang, bawal hitam dan pari dilarang dengan alasan boleh menyebabkan bentan pada pintu rahim. Buah-buahan yang berangin seperti nangka atau tajam seperti nenas juga disarankan supaya dielakkan kerana dipercayai boleh mendatangkan kesan kepada bayi yang disusui.

#Pakaian

Ibu berpantang dimestikan memakai stoking panjang sepanjang masa. Rambut juga perlu diikiat kemas dan ketat, selain memakai pakaian yang boleh menghangatkan badan. Ini semua bagi mengelak angin masuk ke badan sekaligus memberi ketidakselesaan kepada si ibu.

#Penjaga si ibu

Kehadiran seseorang yang boleh menjaga si ibu dapat memastikan si ibu dapat mendisiplinkan diri, terutama dalam membataskan pergerakan sekaligus memberi peluang kepadanya berehat dan menumpukan perhatian kepada penyusuan bayi. Suami juga perlu memainkan menjaga si isteri, agar keadaan emosinya lebih stabil dan tidak
meroyan.