KelabMama

KEGUNAAN PIL PERANCANG KELUARGA KAEDAH TERBAIK. SIAPA SETUJU?

Tidak dinafikan setiap pasangan yang berkahwin mahukan cahaya mata kerana mampu mengeratkan ikatan kasih sayang suami isteri. Namun, jika kelahiran berlaku terlalu rapat boleh mengundang pelbagai permasalahan. Ketiadaan perancangan keluarga yang baik akan mengundang bukan sahaja pada aspek kesihatan wanita tetapi juga psikologi dan bebanan kewangan kepada pasangan suami isteri. Dalam Islam sendiri ada mengatakan keperluan merancang keluarga dan penggunaan kontraseptif dibenarkan dalam konteks tertentu bertujuan untuk menjarangkan anak. Ini demi keselamatan dan kesihatan ibu serta merancang kelahiran apabila pasangan sudah cukup bersedia dari segi kewangan, fizikal dan mental untuk menyambut cahaya mata.

 

KEBERKESANANNYA 99%

 

Cara moden yang kita ada pada hari ini ialah kontraseptif oral atau pengambilan pil perancang. Kaedah ini merupakan kaedah pencegahan yang paling berkesan dan keberkesanan adalah 99 peratus jika digunakan dengan cara yang betul. Fungsi utama pil perancang kehamilan adalah untuk menjarakkan kehamilan. Ia bertindak menghalang proses ovulasi dan menjadikan seseorang wanita tidak subur.

Apabila seseorang wanita mengambil pil perancang kehamilan, aras hormon estrogen dan progesteron dalam tubuh berada pada tahap agak tinggi. Secara tidak langsung akan menyebabkan kelenjar pituitari di otak tidak dapat berfungsi secara normal. Dalam kitaran haid wanita yang biasa, kelenjar pituitari akan mengeluarkan hormon Perangsang Folikel (Follicle Stimulating Hormone- FSH) dan hormon Peluteinan (Luteinizing Hormone- LH) yang akan merangsangkan ovari (kilang telur) menghasilkan folikel yang mengandungi ovum (benih wanita).

Folikel yang membesar ini akan mengeluarkan hormon estrogen. Apabila folikel ini matang dan pecah, ia mengeluarkan ovum. Pada masa inilah (biasanya pada pertengahan kitaran haid atau hari ke 14 kitaran haid) dinamakan ovulasi dan hormon progesteron dikeluarkan. Apabila seseorang wanita mengamalkan pengambilan pil perancang kehamilan yang mengandungi hormon estrogen dan progesteron, kedua-dua hormon ini akan berada dalam tubuh pada aras yang tinggi. Kenaikan hormon ini akan memberikan tindak balas negatif apabila kelenjar pituitari merasakan bahawa estrogen dan progesteron cukup dalam badan. Maka kelenjar pituitari tidak mengeluarkan hormon FSH dan LH yang secara tidak langsung, menghalang ovulasi berlaku. Ini akan mencegah daripada ovum dikeluarkan dan wanita itu tidak akan hamil.

 

FAKTA PENGGUNAAN PIL SEBAGAI PERANCANG

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan