KelabMama

Dua daripada Tiga Pesakit Kanser Payudara Peringkat Awal Bimbang Kanser Berulang, Namun Tanggapan Mereka Berisiko Rendah Menghalang Perbincangan

Kanser payudara masih merupakan kanser paling kerap menyerang wanita di Malaysia, merangkumi 30% daripada kes kanser dalam kalangan wanita dan meragut sembilan nyawa setiap hari. Realiti pahit ini membawa beban sosial dan ekonomi yang besar, sekali gus menjadi isu kritikal yang membimbangkan negara3.

Bagi kebanyakan pesakit, cabaran ini tidak terhenti selepas rawatan awal, apabila satu daripada enam pesakit kanser payudara peringkat awal dengan subjenis HR+/HER2- (Tahap II & III) berdepan dengan risiko kanser berulang dalam tempoh tiga tahun.1

Sewaktu sesi perbincangan bertajuk ‘Living Well, Living Longer: The Hidden Risk of Breast Cancer Recurrence’ baru-baru ini, Novartis Malaysia berkongsi dapatan tinjauan yang dijalankan melalui IQVIA, yang menunjukkan dua daripada tiga pesakit kanser payudara (69%) berasa bimbang atau sangat bimbang tentang risiko kanser berulang, dengan 41% sering memikirkannya.2

Walaupun tahap kebimbangan ini tinggi, 45% berkata mereka jarang memikirkan tentang kanser berulang kerana ia tidak dibincangkan secara berkala ketika berjumpa doktor, bahkan pesakit sering dianggap sebagai “berisiko rendah”.

Tambahan pula, 78% pesakit berpendapat kesedaran masyarakat mengenai risiko kanser payudara peringkat awal berulang masih tidak mencukupi, dengan lebih kurang separuh (53%) menyatakan mereka memahami faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada pengulangan penyakit ini.2

Keadaan ini menegaskan lagi betapa perlunya perbincangan yang lebih proaktif dan konsisten mengenai risiko kanser berulang antara pesakit dan pakar kesihatan, selain memastikan setiap pesakit memahami risiko masing-masing serta dapat menguruskan rawatan dengan lebih yakin.

Profesor Emeritus Dato’ Dr Yip Cheng Har, Pakar Bedah Payudara, berkata:

Profesor Emeritus Dato’ Dr Yip Cheng Har, Pakar Bedah Payudara

“Hakikatnya, meskipun rawatan awal berjaya, kemungkinan masih terdapat sel tumor yang tidak dapat dikesan. Tumor sekecil satu milimeter padu boleh mengandungi sehingga 100,000 sel, dan satu sel kanser sahaja sudah memadai untuk menyebabkan penyakit ini berulang4. Walaupun risiko kanser berulang berbeza bagi setiap individu, membiasakan perbincangan terbuka mengenai perkara ini akan membolehkan doktor memberi sokongan yang lebih baik kepada pesakit dalam memahami risiko masing-masing dan keperluan mereka untuk penjagaan jangka panjang.”

Selain itu, tinjauan tersebut mendapati bahawa 57% pesakit benar-benar memahami kepentingan terapi tambahan/adjuvan seperti terapi hormon, kemoterapi, dan terapi bersasaran bagi mengurangkan risiko penyakit berulang dalam kalangan pesakit kanser payudara peringkat awal.

Nasihat keluarga dan doktor turut memainkan peranan besar yang menjadi pendorong utama kepada pematuhan pesakit terhadap rawatan.

Malah, persepsi pesakit terhadap kualiti hidup mereka juga didapati mempengaruhi pendekatan terhadap rawatan berterusan, sekaligus menonjolkan aspek penting yang perlu diambil kira dalam penjagaan.2

Dr Kua Voon Fong, Pakar Onkologi Klinikal, menjelaskan:  

Dr Kua Voon Fong, Pakar Onkologi Klinikal

“Pesakit kami sering menyatakan mereka mahu lebih banyak masa – masa dengan keluarga dan masa untuk menjalani kehidupan tanpa dirundung kebimbangan tentang risiko kanser berulang. Kemajuan memberangsangkan dalam penjagaan pascarawatan kini membantu menangani kebimbangan ini. Hari ini, terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh terus memberi kesan positif selepas terapi utama dan membantu memanjangkan tempoh bebas kanser berulang bagi pesakit kanser payudara peringkat awal yang berisiko tinggi. Bagaimanapun, manfaat ini sangat berkait rapat dengan kepatuhan pesakit terhadap rawatan. Apabila pesakit disokong untuk mengekalkan kualiti hidup yang baik, mereka lebih cenderung untuk meneruskan terapi tambahan/adjuvan yang disyorkan, seterusnya membawa kepada hasil rawatan yang lebih baik.” 

Berdasarkan dapatan daripada tinjauan persepsi tersebut dan doktor pula dikenalpasti sebagai sumber maklumat yang paling dipercayai, ahli panel menggalakkan pesakit kanser payudara peringkat awal untuk mencetuskan perbincangan mengenai risiko kanser berulang dengan mengemukakan tiga soalan penting kepada pakar kesihatan mereka:

  1. Adakah saya berisiko mengalami kanser berulang?
  2. Bagaimana saya boleh mengurangkan risiko itu?
  3. Apakah ujian yang saya perlukan dan berapa kerap ia perlu dilakukan?

Sumitra Selvaraj,  Pengurus Besar, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia  (BCWA), berkata:

Sumitra Selvaraj,  Pengurus Besar, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia  (BCWA)

“‘Adakah kanser saya akan kembali?’ merupakan antara persoalan yang sentiasa membelenggu fikiran ramai penghidap kanser payudara sepanjang perjalanan mereka melawan penyakit ini. Justeru, apabila doktor membincangkan risiko kanser berulang, adalah penting pesakit rasa mereka diberi sokongan untuk memahami kaitannya dengan diri mereka sendiri, termasuk langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko tersebut. Komunikasi yang penuh keprihatinan dan temujanji susulan yang berterusan memainkan peranan yang sangat penting ketika pesakit menjalani rawatan jangka panjang dan melalui fasa kemandirian. Sebagai kumpulan advokasi pesakit, kami komited untuk bersama-sama pesakit dan keluarga mereka mengharungi perjalanan kanser ini dengan menyediakan pendidikan, sokongan emosi, hubungan sesama pesakit, serta sumber-sumber yang praktikal. Sokongan daripada orang tersayang, komuniti pejuang kanser, dan alatan yang boleh dipercayai seperti aplikasi ICanCare juga boleh membantu pesakit mendapatkan maklumat yang sahih, menilai kebimbangan diri, serta berasa lebih terhubung dan yakin di luar sesi rawatan.”

Sanjeev Balachandran, Presiden Novartis Malaysia, Brunei dan Asia Emerging Markets (AEM), berkata:

“Tinjauan persepsi ini menunjukkan bahawa usaha meningkatkan penjagaan untuk pesakit kanser payudara peringkat awal tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Membantu rakyat Malaysia untuk hidup dengan lebih baik dan lebih lama memerlukan pembabitan anggota kesihatan, kumpulan advokasi pesakit, dan pelbagai pihak dalam sistem penjagaan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran serta membolehkan pesakit membuat keputusan yang lebih tepat mengenai risiko kanser berulang. Di Novartis, usaha memanjangkan dan memperbaiki kehidupan diterjemahkan melalui peranan kami dalam membina kerjasama ini selain membantu memastikan pesakit mendapat sokongan selepas rawatan awal.”

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kanser payudara dan risiko kanser berulang, pesakit boleh mengakses banyak sumber pendidikan melalui aplikasi ICanCare, yang tersedia di Google Play dan Apple App Store.

Rujukan:

  1. O’Shaughnessy, J., et al. (2022, December). 4-year updated analysis of the monarchE trial: Adjuvant abemaciclib plus endocrine therapy in high-risk, node-positive, HR-positive/HER2-negative early breast cancer. Presented at the San Antonio Breast Cancer Symposium (SABCS), San Antonio, TX.
  2. Novartis Data on file
  3. Galencentre.org: The inclusion of breast cancer is not optional. It is essential. https://galencentre.org/2025/07/16/breast-cancer-must-be-recognised-in-the-2025-united-nations-political-declaration-on-ncds-and-mental-health/
  4. Narod SA. Disappearing breast cancers. Current Oncology (Countercurrents Series). 2012;19(2):59-60. doi:10.3747/co.19.1037

Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.

Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!