KelabMama

KANSER OVARI MEMBUNUH WANITA DALAM MASA SINGKAT

Ramai yang mengaitkan kanser ini sangat bahaya kerana meragut nyawa wanita dalam masa yang singkat. Kanser ovari ialah ketumbuhan, barah dan pertumbuhan sel-sel di luar kawalan dan merbahaya yang berlaku pada kilang telur atau ovari wanita. Penyakit ini ialah kanser organ reproduktif yang ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan wanita.

KANSER OVARI BOLEH DIWARISI

Sekiranya ibu, kakak, adik atau nenek anda mempunyai kanser ini, seseorang itu mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser yang sama. Pun begitu, semua wanita berisiko untuk mendapat kanser ovari. Tidak diketahui punca sebenar dan siapa yang akan mendapat kanser ovari.

FAKTOR-FAKTOR INDIVIDU ITU BERISIKO TINGGI

Kebanyakan wanita tiada mengalami sebarang simptom sehinggalah ketumbuhan tersebut membesar sehingga menyebabkan kesakitan di bahagian bawah abdomen ataupun menyebabkan pengumpulan air di dalam ruang abdomen dan perut semakin membesar. Gejala lain termasuklah hilang selera makan dan berat badan semakin menyusut dengan cepatnya. Kanser ovari ialah kanser yang sukar dikesan. Ini kerana selalunya pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal dan tiada cara pencegahan spesifik yang boleh dilakukan.

Pesakit selalunya akan mendapat gejala di atas setelah kanser membesar atau merebak. Ia boleh diketahui selepas melakukan ujian ultrabunyi (ultrasound) di bahagian pelvik dan abdomen. Kepastian sama ada ketumbuhan tersebut ialah kanser hanya akan diketahui bergantung kepada sifat ketumbuhan tersebut dan selepas melalui pembedahan dan dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya. Kanser ini boleh dirawat dengan baik jika sekiranya di kesan pada peringkat awal. Setelah seseorang pesakit didiagnos dengan kanser ovari, rawatan yang diberikan bergantung kepada jenis dan tahap kanser tersebut.

 ……………………………………………………………………………………………………

MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

Setakat ini, tiada cara untuk mengelakkan kanser ovari, tetapi antara perkara yang boleh dilakukan untuk mencegah termasuk penggunaan pil perancang keluarga, melakukan tubal ligasi, melakukan pembedahan membuang kedua-dua belah ovari dan mengandung dan melahirkan anak. Kanser ovari boleh dikesan pada peringkat awal sekiranya setiap wanita menjalankan rutin pemeriksaan doktor dan melakukan ujian ultrabunyi secara berkala pada setiap tahun terutamanya pada mereka yang mempunyai faktor risiko di atas. Selalunya pesakit yang didiagnos pada peringkat awal dan masih belum berkahwin atau mempunyai anak, dan berjaya dirawat, ada antara pesakit masih boleh mengandung. Pun begitu, sekiranya pesakit lambat didiagnos, selalunya rawatan diberikan menyebabkan kemandulan terhadap pesakit

                Kanser ovari boleh dikesan pada peringkat awal sekiranya setiap wanita menjalankan rutin pemeriksaan doktor dan melakukan ujian ultrabunyi secara berkala pada setiap tahun terutamanya pada mereka yang mempunyai faktor risiko diatas. Setiap wanita perlu peka terhadap sebarang perubahan yang berlaku kepada diri mereka. Dinasihatkan supaya berjumpa dengan pakar sakit puan anda dengan segera sekiranya terdapat sebarang perubahan.

—-

KISAH PENGALAMAN PESAKIT KANSER OVARI

Gaya hidup yang diamalkan sama seperti wanita ber­kerjaya lain yang sibuk dengan urusan tugasan di pejabat. Pergi pagi dan pulang petang hingga membuatkan wanita ini sukar mengikut rutin makan yang betul setiap hari. Hari demi hari berlalu seperti biasa sehingga dia dikejutkan dengan berita sedih daripada doktor mengenai kesihatannya yang dirasakan mampu mengubah keseluruhan kehidupannya. Namun, atas sokongan dan semangat diberikan ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai, wanita tabah ini mampu menghadapi dugaan dengan penuh kesabaran. Muhaini Mustafa, 46, didiagnos menghidap kanser pada 2013 ketika umat Islam meraikan sambutan Aidiladha. Pada mulanya, dia mengalami perut kembung yang menyebabkannya berasa tidak selesa setiap kali datang haid. Masalah berkenaan berlaku selepas dia menjalani pembedahan membuang sista (cyst) pada 2011. Pengesahan kehadiran sista di dalam rahim berlaku selepas melahirkan anak sulung iaitu 10 tahun selepas dia berkahwin.

“Ketika itu, saya tidak mengalami sakit yang teruk dan menganggap gejala sakit yang dirasai normal bagi wanita yang datang haid.

“Namun, selepas doktor mengenal pasti terdapat sista pada ovari dan melakukan pembedahan untuk membuangnya, saya mengalami gejala perut kembung yang melampau setiap kali datang haid.

“Sampai satu tahap, saya sakit yang keterlaluan di bahagian perut. Keadaan perut seperti wanita hamil dan mengeras selain mengalami perut kembung yang melampau.

“Selepas itu, saya segera mendapatkan pemeriksaan doktor dan tanpa disangka saya perlu melakukan pembedahan dengan segera jika mahu selamat,” katanya.

Ujarnya, selepas melakukan imbasan, doktor mengesahkan terdapat tumor sebesar 12 sentimeter. Pada masa sama, doktor turut melakukan biopsi untuk memastikan pe­nyakit yang dialami dan mengesahkan Muhaini menghidap kanser ovari tahap 3C. Keadaan yang dialami itu terlalu bahaya bagi dirinya untuk menunggu lama kerana bimbang tumor di dalam ovari akan pecah dan menyebabkan kematian. Doktor menasihatkannya untuk melakukan pembedahan membuang tumor dengan segera walaupun kos yang perlu ditanggung agak mahal iaitu kira-kira RM25,000. Bukan hanya tumor, doktor perlu membuang keseluruhan ovari kerana ia sudah rosak disebabkan masalah sista dan sel kanser yang merebak. Biarpun sedih, Muhaini perlu meneruskan rawatan kemoterapi sebanyak enam ulangan selepas sebulan menjalani pembedahan. Pada mulanya memang agak membimbangkan untuk dia melakukan rawatan kemoterapi disebabkan kesannya kepada pesakit melalui pembacaan dan pengalaman rakan lain.

“Namun, agak berbeza bagi saya kerana pada hari ketiga selepas rawatan berkenaan, saya hanya rasa loya, itupun selepas tubuh bertindak balas dengan ubat. Biarpun lidah ada sedikit kebas, ia tidak mengubah selera makan saya. Bagi mengatasi masalah loya, saya banyak minum air kosong iaitu kira-kira tiga liter sehari.

“Pada masa sama, saya turut mengamalkan pengambilan jus buah-buahan atau makan buah segar bagi mengurangkan rasa loya,” katanya.

Melalui pengambilan diet yang sihat dan seimbang, dia mampu menjalankan tugasan di pejabat ketika dalam proses ula­ngan rawatan kemoterapi. Dia lebih suka bekerja dan ke pejabat berbanding hanya duduk di rumah bagi mengelakkan tekanan akibat penyakitnya itu. Sepanjang melakukan kemoterapi, dia ­hanya mengambil hidangan berkhasiat kerana ia penting bagi memulihkan semula sel darah merah agar tidak mengganggu ula­ngan rawatan yang perlu dihabiskan. Muhaini akui sangat bersyukur kerana tergerak hati untuk mengikuti kelas pemakanan sihat anjuran My Ideal Weight yang diasaskan oleh Nurul Ashikin Md Nasir sebelum disahkan menghidap kanser ovari. Ia sedikit sebanyak membantu dirinya untuk mengetahui hidangan yang boleh diambil untuk mengembalikan kesihatan dan memulihkan sel badan dalam jangka masa lebih cepat. Menariknya, pengasas program berkenaan banyak memberi panduan kepada dirinya mengenai jenis makanan yang perlu diamalkan. Justeru, selesai rawatan kemoterapi, barulah Muhaini berpantang mengambil sumber hidangan seperti makanan laut dan daging merah.

“Tiga kali kelas saya sertai dan ia banyak membantu. Malah, saya juga berjaya mengubah cara pengambilan sumber bahan mentah seperti ayam dan sayuran organik kerana ia lebih selamat daripada bahan kimia.

“Bagi saya, untuk menjalani rawatan kemoterapi, badan perlu kuat manakala keadaan darah merah dan darah putih perlu stabil, barulah boleh lakukan rawatan ulangan yang seterusnya.

“Selepas tamat rawatan kemoterapi, saya meneruskan amalan pengambilan minuman jus yang dibuat sendiri menggunakan campuran buah dan sayuran segar sebagai makanan tambahan semula jadi,” kata­nya.

Biarpun pada mula­nya agak sukar menerima rasa minuman berjus campuran buah dan sayur segar, demi kesihatan dia perlu biasakan diri dengan cara pemakanan yang sihat itu. Misalnya, Muhaini banyak mengambil ubi bit dan nanas selepas tamat rawatan kemoterapi selain menambah halia atau kunyit ke dalam minuman kerana ia kaya dengan kandungan antioksidan yang tinggi. Selain mengamalkan minuman berjus, dia juga memastikan setiap hidangan yang diambil mesti dijamah bersama sayur atau buah bagi memastikan sajian seimbang. Kini, dia merasai perbezaan yang ketara berbanding sebelum ini selepas mengubah gaya pemakanan yang lebih berkhasiat. Pada masa sama, dia juga berazam untuk menurunkan berat badan berlebihan untuk mendapatkan berat yang lebih ideal. Bukan hanya mementingkan aspek pemakanan, dia turut melakukan senaman mengikut kemampuan dirinya sendiri seperti berjalan seminggu sekali bersama rakan lain yang pernah menghidap kanser. Biarpun kini dia sudah menghabiskan ulangan rawatan kemoterapi, setiap tiga bulan Muhaini perlu melakukan pemeriksaan bagi memastikan sel kanser tidak menyerang kembali.

“Selain sokongan ahli keluarga, kita perlu menjaga pengambilan makanan berkhasiat, kurang­kan tekanan, lakukan senaman, sentiasa gembira dan berfikiran positif untuk mengembalikan kesihatan.

“Memang saya akui, sebelum ini agak tertekan dengan tugasan di pejabat. Namun, selepas pulih daripada kanser ovari yang dialami saya perlu bijak mengawalnya.

“Kini, saya lebih banyak bersabar dan bertenang ketika melakukan tugasan ataupun berada di rumah bagi mengelakkan rasa tertekan,” katanya.

PETIKAN HARIAN METRO