KelabMama

10 Juadah Hari Raya Yang WAJIB Ada Atas Meja – Kalau Tak, Hilang Vibe Raya Tu!

Hari Raya Aidilfitri ni lain sikit berbanding perayaan yang lain. Setiap tahun sambutannya tak pernah tak meriah. 

Nak menunjukkan betapa istimewanya hari raya, ada beberapa juadah yang diiktiraf sebagai hidangan tradisi di hari lebaran. Ada beberapa menu baru yang telah diadaptasi dan ada juga lauk tradisional yang masih dikekalkan. 

Ayuh, kita lihat apa juadah yang wajib ada dan sesuai dihidangkan semasa Hari Raya Aidilfitri. 

10 Idea Juadah di Hari Raya Aidilfitri

#1 Nasi Himpit dan Kuah Kacang

Kredit gambar: VITDAILY

Kalau ada nasi himpit mestilah kena ada kuah kacang. Kedua-duanya perlu saling ada, barulah menjadi juadah raya kita. 

Nasi yang ditanak dengan air itu sering menjadi pilihan di banyak kediaman semasa hari raya kerana mudah diperoleh di kedai. Nikmat betul rasanya makan nasi himpit dengan kuah kacang. 

#2 Kuah Masak Lodeh

Kredit gambar: Ajinomoto

Satu lagi hidangan yang wajib ada atas meja yang sesuai dipadukan dengan nasi himpit, lontong ataupun ketupat. 

Keistimewaan juadah ini adalah kerana ianya berkuah dan isinya pun pelbagai. Lobak merah, suhun, tempe dan kacang panjang antara bahan yang selalu ada dalam kuah masak lodeh. 

#3 Laksa

Hidangan hari raya yang seterusnya ialah laksa. Di semenanjung, terdapat dua jenis laksa yang sering menjadi pilihan juadah hari raya iaitu laksa utara dan laksa Johor. Tidak dilupakan laksa Sarawak untuk warga-warga Borneo. 

Sedap juga kalau dapat makan laksa di Hari Raya Aidilfitri kan. Ya lah, rumah-rumah lain semua hidangkan rendang dan ketupat. Nak lah juga rasa menu lain. 

#4 Lemang

Kredit gambar: Facebok Lemang dan Rendang Tok Pah

Hidangan ikonik di hari raya yang enak dinikmati bersama-sama rendang. Walaupun proses penyediaan dan membakarnya agak renyah tetapi bila dah rasa, lupa terus penat lelah sebelum ini. 

Ar. Dr. Mastor Surat iaitu pensyarah Seni Bina Tradisional Melayu UKM ada berkongsi yang sebenarnya lemang ialah makanan untuk kelangsungan hidup (survival) orang Melayu ketika berperang dulu. 

Ia dihidangkan di hari raya kerana dianggap waktu terbiak memperkenalkan kepentingannya kepada anak cucu. 

#5 Lontong dan Ketupat

Mama ingat tak lagu Anuar Zain masa beliau kanak-kanak dulu. Ala yang liriknya;

“Ketupat rendang, sila nikmati kawan”

Apalah ertinya raya Aidilfitri dan Aidiladha tanpa ketupat dan lontong sebagai juadah di hari kemenangan umat Islam itu.  

Kedua-duanya menggunakan bahan masakan yang sama hanya daun pembungkusnya sahaja yang berbeza. Lontong dibalut dalam daun pisang manakala ketupat pula menggunakan daun kelapa. 

#6 Rendang

Kredit gambar: Resepi Che Nom

Juadah rendang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu di Asia Tenggara seperti di Malaysia dan Indonesia. Rendang ayam dan rendang daging antara yang selalu dihidangkan ketika Hari Raya Aidilfitri. 

Juadah ini lebih enak lagi jika dimakan dengan mana-mana karbohidrat putih seperti ketupat, lontong, nasi himpit dan lemang.

#7 Serunding

Kredit gambar: halalstreet.co.uk

Serunding boleh menjadi pengubat duka lara buat anak perantauan yang terpaksa bekerja atau melanjutkan pelajaran di luar negara. 

Hal ini kerana serunding boleh bertahan lama pada suhu bilik tanpa sedikit pun mengurangkan kualiti rasa dan teksturnya. 

Mama bolehlah minta ahli keluarga hantarkan bungkusan serunding ke tempat masing-masing, dapat juga merasa air tangan kampung halaman kan. 

#8 Soto

Kredit gambar: resepichenom.com

Pada asalnya ia bukanlah juadah yang dihidangkan ketika hari lebaran tetapi kerana proses penyediaannya lebih mudah dan tidak memakan waktu yang lama maka soto pun terpilih sebagai menu di Hari Raya Aidilfitri.

Berbanding juadah yang lain, menu soto lebih ‘ringan’ dan berkuah. Tiada santan atau ikan kisar dalam soto. Oleh itu, ianya merupakan juadah yang simple dan mengenyangkan. 

#9 Roti Jala

Kredit gambar: woonheng.com

Ianya juadah yang ringan dan tidak terlalu berat juga tetapi masih tetap enak apabila dicecah dengan kari ayam.

Sebagai orang seni, Mama Siti suka roti jala disebabkan corak roti itu sendiri. Setiap satu roti jala ada corak yang berbeza.  

#10 Sate

Kredit gambar: toyyibpay.com

Ha, Mama Siti nak tanya. Sate selalu dihidangkan dengan apa?

“Kuah kacang”

Kuah kacang dah siap masak, tinggal lagi nak kena bakar sate. Mama tak perlu buat kerja banyak-banyak dah sebab dengan tambahan sate sahaja pun meja makan kita dah nampak meriah. 

Orang kata setahun hanya sekali. Rugilah kalau kita sia-siakan hari kemenangan umat Islam itu tanpa menikmati juadah hari raya yang istimewa kan. 

Perkongsian ini sedikit sebanyak mengimbau nostalgia dulu-dulu semasa di kampung. Mama Siti pun harap semoga Mama dapatlah idea nak masak apa hari raya nanti. 

Mama Siti ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Mama yang sentiasa sudi membaca artikel di Kelab Mama selama ini.  


Dapatkan idea hidangan menarik dan resepi masakan di SINI!