KelabMama

JIKA MAMA KERAP SAKIT BELAKANG & PINGGANG PERLU AMBIL SERIUS!

Sakit belakang adalah masalah biasa pada semua lapisan umur kecuali kanak-kanak. Boleh dikatakan setiap orang akan mengalami sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Jika masalah ini berlarutan, mereka yang mengalaminya perlu segera berjumpa doktor. Setidak-tidaknya mereka perlu mendapatkan pandangan doktor berkenaan punca sakit belakang yang dialami.

Kadang-kadang sakit belakang boleh disebabkan oleh masalah biasa seperti mengangkat barang, postur semasa bekerja di pejabat dan sebagainya. Apabila mengangkat barang, ramai yang lazimnya membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan. Pekerja pejabat pula duduk di meja dan menghadap komputer berjam-jam tanpa regangan.

Kebanyakan penyakit pada hari ini sebenarnya berpunca daripada gaya hidup tidak sihat. Kewujudan teknologi sebenarnya melancarkan kehidupan seharian manusia tetapi sebaliknya teknologi menyebabkan orang ramai tidak mengamalkan gaya hidup aktif seperti masyarakat dahulu kerana leka dengan gajet di tangan. Tidak hairanlah golongan muda turut diserang pelbagai penyakit termasuk sakit belakang. Oleh itu, mereka perlu kekal aktif bagi mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik dan digalakkan melakukan aktiviti di luar rumah seperti bersenam atau beriadah.

 

SERIUS

Walaupun penyakit serius seperti kanser dan jangkitan kuman tulang belakang, jarang berlaku dalam kalangan wanita muda namun penyakit lain yang juga boleh menyebabkan sakit belakang seperti batu karang perlu dipertimbangkan. Pesakit juga tidak patut bergantung kepada ubat penahan sakit kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan dalam jangkamasa panjang seperti kerosakan pada buah pinggang dan risiko mendapat sakit gastrik.

Penyakit osteoporosis jarang berlaku dalam kalangan wanita muda tanpa penyebab lain yang mungkin dialami pada masa sama. Faktor yang boleh meningkatkan risiko bagi mendapat osteoporosis adalah dalam kalangan atlet profesional yang menggunakan tenaga pada tahap optimum seperti pelari maraton, wanita kurang bersenam dan diet kalsium yang rendah, wanita yang terlalu kurus dan memiliki kerangka tulang badan kecil, wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap osteoporosis, wanita yang merokok, mengalami masalah penyerapan nutrien, mempunyai aras hormon estrogen yang rendah mungkin disebabkan menopaus pramatang (menopaus pada usia muda), rawatan kemoterapi dan mengalami kekurangan vitamin D.

 

PERUBAHAN

Sakit belakang secara umumnya dibahagikan kepada dua kumpulan. Hampir 90 peratus kes adalah dalam kumpulan ‘fungsi’ iaitu sakit belakang tanpa perubahan dikesan dalam X-Ray atau Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Ramai daripada pesakit ini wanita bekerja atau berumahtangga. Kebanyakan mereka bekerja dan duduk di kerusi terlalu lama. Seperti yang saya telah maklumkan bahawa postur duduk yang tidak sesuai menyumbang kepada sakit belakang.

Satu lagi ciri kumpulan ini ialah mereka yang kurang bersenam atau aktiviti rekreasi kerana sibuk dengan kerja pejabat dan rumah. Mereka tidak sihat secara fizikal dan mental. Kepenatan, stres dan sedikit sebanyak tekanan menyebabkan mereka merasa sakit belakang lebih daripada orang biasa. Kerja mengangkat benda berat yang jarang dilakukan mencetuskan gejala sakit belakang yang teruk kerana teknik yang salah dan kelemahan fizikal.

 

SLIP DISK

Dalam pada itu, 10 peratus yang lain menghidap sakit belakang asli dengan perubahan dikesan dalam X-Ray dan MRI. Kebanyakan mereka mengalami masalah kemerosotan struktur tulang rawan tulang belakang yang dikenali sebagai degenerative disk disease dan kadang kala slip disk (prolapse Intervertebral disk).

Disk adalah tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang. Ia berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan pergerakan (mobiliti) tulang belakang. Ia merosot dengan umur iaitu disk kehilangan kelembapannya. Ini boleh dikesan dengan MRI. Harus diingatkan bahawa bukan semua disk yang merosot menyebabkan sakit belakang. Ini kerana slip disk berlaku apabila disk yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya adalah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut.

 

PANDUAN MENGHINDAR SAKIT TULANG BELAKANG

Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat. Dapatkan bantuan orang lain sekiranya anda sukar untuk mengangkat berseorangan.

Rapatkan punggung dan sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang. Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai. Campurkan aktiviti dengan senaman/regangan/berjalan.

Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut selaras dengan pinggang. Sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong jika perlu.

Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras. Apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut.

Tukarlah posisi berdiri dengan kerap jika perlu berdiri lama. Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan. Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit rendah dan selesa.

 

 

Sumber: Internet