KelabMama

Kenali Jenis Pisang Yang Popular di Malaysia – Ada Banyak Jenis Rupanya

Rupa-rupanya bukan semua jenis pisang boleh terus dimakan. Ada yang kena tunggu bertukar warna dahulu baru boleh kupas kulit dan dimakan begitu sahaja.

Kebanyakkan pisang di Malaysia telah dikulturkan iaitu mengabungkan genetiknya secara saintifik untuk mendapatkan ciri-ciri tertentu. 

Dan rata-rata pisang sekarang tidak mempunyai biji, jadi ia memudahkan kita untuk menikmatinya tanpa perlu digoreng.

Antara contoh yang ketara adalah pisang emas dan pisang susu. Kedua-duanya adalah dua jenis pisang yang berbeza, dari segi bentuk, kulit dan juga rasanya. 

Sekiranya Mama masih keliru dengan jenis pisang yang ada di Malaysia, di bawah ada Mama Siti terangkan dan ringkaskan.

Barulah mudah untuk Mama tahu jenis pisang yang bagaimana sesuai untuk dimakan begitu sahaja atau sesuai dengan masakan apa.

Jenis-Jenis Pisang Di Malaysia

1. Pisang Berangan

Kredit gambar: Titi Fresh

Kulitnya berwarna kekuningan oren, dengan tekstur yang  licin dan saiz medium sangat menarik perhatian. Pakej yang ada dalam buah berangan ditambah lagi dengan keenakkan rasanya apabila sudah ranum.

2. Pisang Emas

Kredit gambar: afifabdulmajid

Satu-satunya pisang yang dijadikan pantun dek kerana sifatnya. Tahukah anda? Pisang emas tidak masak setandan penuh sebaliknya ia ranum secara berasingan, sebiji demi sebiji.

Selain itu, nama lainnya ialah Musa acuminata Colla. Pisang ini bersaiz kecil dengan kulit yang nipis. Aromanya pula sangat wangi dan tidak sesuai digoreng namun Mama boleh terus makan apabila sudah masak.

3. Pisang Nangka

Kredit gambar: Tabloid Sinar Tani

Lain bagi pisang nangka kerana ia masih lagi berwarna hijau walaupun telah ranum. Namun jika pisang nangka bertukar warna kuning, ia ialah petunjuk bahawa isinya lembik

Orang Jawa menggunakan pisang nangka untuk dibuat getuk pisang untuk dimakan semasa sarapan dan minum petang.

4. Pisang Awak

Kredit gambar: Adobe Stock

Kebanyakkan pisang awak masih mempunyai biji. Manakala rasanya pula ada dua iaitu masam manis dan manis sahaja.

Diberikan nama sains sebagai Musa acuminata x balbisiana Colla. Pisang awak sangat sesuai untuk dibuat kuih. Contohnya seperti cekodok pisang, pengat pisang, lempeng pisang dan pengat pisang. 

5. Pisang Susu

Kredit gambar: Shopee

Mari mulakan dengan rasanya dahulu. Pisang Susu atau Musa acuminata × balbisiana mempunyai rasa lemak-lemak manis. 

Sekilas pandang sama macam pisang emas kan? Tetapi pisang susu berbentuk bulat dan bersaiz sederhana. Sangat sesuai dijadikan bahan masakan seperti kek pisang dan lempeng pisang. 

6. Pisang Raja

Kredit gambar: Bisnis Online Kita

‘Dia ada tapi jarang-jarang’.

Macam mana tu Mama Siti? 

Pisang raja sangat sukar diperoleh dalam pasaran Malaysia dan sering menjadi rebutan orang ramai. 

Faktornya ialah kerana Musa acuminata × M. balbisiana (AAB Group) ‘Silk‘ mempunyai pelbagai kegunaan. Ia boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan bahan masakan

Contohnya, bahan kek, kerepek, pengat, lempeng dan kuih. Nak buat pisang goreng pun sedap tau.

7. Pisang Raja Udang

Kredit gambar: KlikDokter

Nama saintifiknya ialah Musa acuminata. Istilah lain bagi pisang raja udang ialah pisang merah. Tidak seperti jenis pisang yang lain, pisang raja udang berwarna merah ketika masih muda dengan rasa yang masam-masam manis.

8. Pisang Embun

Kredit gambar: Flickr

Saiznya besar, rasanya tidak terlalu manis dan mudah lembik. Itulah ciri-ciri yang ada pada pisang embun. Musa acuminata Colla (AAA Group) mudah dikenali apabila ia mula ranum. Warnanya berubah dari warna hijau kepada warna kuning.

9. Pisang Abu/Pisang Nipah

Kredit gambar: Pasar Online Malaysia

Istilah sains pisang abu ialah Musa acuminata × balbisiana. Ciri-ciri pisang abu termasuklah jejari yang bersegi, pendek dan berkulit tebal. Manakala isinya berwarna putih dan sedikit melekit disebabkan getah dari kulit pisang. 

Keunikkan pisang abu atau pisang nipah ialah apabila dijadikan kerepek. Namun untuk dijadikan kerepek yang rangup hendaklah menggunakan pisang yang masih muda berwarna hijau. 

10. Pisang Toman

Kredit gambar: Twitter

Sama seperti pisang yang bersaiz panjang yang lain, pisang toman terkenal dalam pembuatan kerepek. Pisang ini boleh mencapai saiz sehingga 20 cm bagi setiap biji. 

Kulitnya berwarna hijau dan kuning pucat. Ia mudah dikupas apabila tiba tempoh ranumnya. 

11. Pisang Montel (Cavendish)

Kredit gambar: Food.Id

Sangat sesuai buat mereka yang mempunyai masalah sembelit. Pisang montel mengandungi kandungan serat yang tinggi. Oleh itu, ia membantu melancarkan sistem pencernaan dan penghadaman. 

Musa acuminata Cavendish Subgroup ialah nama saintifik jenis pisang ini. Dinamakan montel kerana bentuknya yang bulat dan gemuk. Manakala rasanya pula manis dan sedap dimakan begitu sahaja. 

12. Pisang Tanduk

Kredit gambar: Carousell

Pisang yang paling senang nak kenal kerana saiznya yang besar dan panjang. Sesisir pisang hanya terdapat lima hingga tujuh biji sahaja. Tambahan pula, pisang tanduk tidak sesuai dimakan mentah. Musa × paradisiaca lebih enak jika dijadikan kerepek. 

13. Pisang Rastali

Kredit gambar: Flickr

Nama saintifiknya ialah Musa acuminata × M. balbisiana. Isi pisang rastali berwarna putih. Orang pantai timur memanggil pisang ini sebagai kelat keling. Walaupun rupa luarannya ada yang berbintik-bintik tetapi sebenarnya pisang rastali tergolong dalam jenis pisang yang boleh terus dimakan.

Tak sia-sia saintis buat kajian pasal jenis-jenis pisang di Malaysia ni kan. Hari ini kita dapat hasil pisang dengan pelbagai rasa, warna dan tekstur. 

Ciri-ciri berbeza dalam setiap jenis pisang memberikan keistimewaan setiap satunya. Contohnya pisang tanduk dan pisang raja yang selalu dijadikan kerepek. 

Selain itu, pisang cavendish dan pisang berangan ialah jenis pisang yang sesuai dijadikan diet sarapan kerana rasanya yang manis dan senang dikupas. Malah, nutrien yang terkandung dalam pisang juga sangat bagus untuk dijadikan snek untuk kita dan juga anak-anak.


Ketahui pelbagai jenis tumbuhan di Malaysia dan juga panduan pemakanan terbaik DI SINI.