KelabMama

Ketahui 9 Jenis Keputihan Melalui Warna, Tekstur dan Baunya (Elakkan Penyakit Faraj)

jenis keputihan

Keputihan ialah situasi biasa yang berlaku kepada hampir semua wanita di dunia. Keputihan ialah normal dan tidak mendatangkan bahaya. Namun ada keadaan di mana keputihan menjadi abnormal disebabkan beberapa faktor. 

Mengetahui jenis-jenis keputihan menjadikan kita lebih cakna dengan perubahan sistem biologi tubuh badan. Tahukah Mama, tekstur dan warna keputihan boleh menjadi petanda seseorang mengalami kanser serviks atau jangkitan bakteria?

Semua Perempuan Ada Keputihan? 

Kredit gambar: detikHealth

Secara medikal, penyebab keputihan ialah kerana dua faktor. Pertama, fisiologi iaitu disebabkan oleh perubahan hormon dalam badan. Contohnya, stres, hamil, haid dan kesan sampingan pil pencegah kehamilan. 

Kedua, keputihan didorong oleh faktor patologi. Ianya disebabkan oleh kesihatan seseorang wanita. Keputihan bagi individu ini selalunya berbau, perbezaan warna serta gatal di bahagian vagina.

Jenis-Jenis Keputihan

Berikut merupakan jenis keputihan dari segi warna, tekstur dan bau yang wanita harus tahu: 

#1 Keputihan Warna Kelabu 

Kredit gambar: SehatQ

Mama tolong berjaga-jaga ya jika keputihan berwarna kelabu. Keputihan yang berwarna kelabu ialah abnormal. Berkemungkinan seseorang sedang dijangkiti penyakit vaginosis bakterialis. 

Keputihan berwarna kelabu disebabkan oleh beberapa faktor seperti memiliki lebih dari satu pasangan seksual, membersihkan vagina dengan cecair pembersih dan faraj tidak mempunyai bakteria baik.

Selain itu, tanda-tanda yang jelas ialah dari segi baunya. Keputihan akan berbau amis dan rasa pedih semasa kencing. 

#2 Keputihan Seperti Putih Telur

Kredit gambar: Orami

Keputihan dengan ciri-ciri seperti putih telur iaitu licin dan berlendir. Ia ialah jenis keputihan yang normal dan tidak perlu dibimbangkan. 

Keputihan jenis ini ialah tanda seseorang menghampiri waktu subur. Waktu subur atau tempoh ovulasi berlaku pada hari ke 12 hingga 16 bagi kitaran haid 28 hari.

#3 Keputihan Warna Hijau

Kredit gambar: Freepik

Ambil perhatian jika Mama sedang mengalami situasi ini. Keputihan berwarna hijau menandakan faraj dijangkiti penyakit. Keputihan jenis ini tidak normal bagi wanita.

Lebih membimbangkan kalau Mama mendapati terdapat bau busuk, berkemungkinan ia sebagai petanda penyakit trikomoniasis.

#4 Keputihan Warna Putih

Kredit gambar: Alodokter

Pada asasnya keputihan jenis ini ialah normal. Ia akan berlaku pada awal dan akhir kitaran haid setiap bulan. 

Namun begitu Mama perlu segera dapatkan rawatan jika keputihan disertai dengan rasa gatal, berlendir dan tebal. Ciri-ciri itu tadi ialah tanda-tanda jangkitan yis.

Ada keadaan lain seseorang mungkin akan mengalami keputihan yang berbau busuk, sakit punggung dan rasa tidak selesa di sekitar faraj.

#5 Keputihan Jernih dan Cair

Kredit gambar: centradaemsi.pt

Antara jenis keputihan yang normal. Hampir semua wanita yang mengalami menstruasi pernah mengalami keputihan yang jernih dan cair. 

Keputihan jenis ini boleh berlaku pada bila-bila masa terutamanya ketika seseorang selesai melakukan aktiviti berat. 

#6 Keputihan Kering

Kredit gambar: Kamini.Id

Kebiasaanya berlaku pada tujuh hari sebelum dan selepas datang bulan. Memandangkan ia tidak berlaku dalam kitaran ovulasi jadi kebarangkalian untuk hamil ialah kurang. 

Teksturnya yang kering dan melekit menyukarkan hubungan seksual bersama suami dan isteri. Keputihan kering berperanan untuk menghalang sperma dari memasuki rahim.

#7 Keputihan Berbau

Kredit gambar: Tirto.ID

Kebanyakkan keputihan ialah normal tetapi ambil perhatian jika seseorang mendapati ada bau berbeza dari kebiasaan. Segera ambil langkah perawatan di klinik dan hospital. 

Mama mungkin mengalami masalah kesihatan di bahagian vagina seperti keradangan pinggul atau inflamasi pinggul. 

#8 Keputihan dan Gatal

Kredit gambar: theAsianparent

Kegatalan di bahagian vagina sememangnya mengakibatkan ketidakselesaan. Mana tidaknya, ia mengganggu pergerakkan seseorang contohnya ketika sedang berjalan dan melakukan pekerjaan. 

Keputihan yang disertai dengan gatal ialah tidak normal. Dapatkan rawatan doktor segera. Keputihan seperti ini akan diberikan ubat anti kulat, antibiotik dan anti parasit. 

Sepanjang anda mengalami kegatalan di bahagian vagina, sebaiknya tangguhkan hubungan seksual dan fokus merawat masalah keputihan dahulu.

#9 Keputihan Perang 

Kredit gambar: CNN Indonesia

Biasanya berlaku selepas kitaran haid wanita telah habis. Sebagai contoh, Mama mengalami keputihan berwarna perang pada hari ke lapan. 

Mama tidak perlu risau kerana keputihan jenis ini ialah normal dan tidak berbahaya. Sebenarnya ia ialah cara membersihkan faraj selepas haid. 

Terdapat sembilan jenis keputihan yang berbeza. Tekstur, warna dan bau perlu diambil perhatian. 

Kegagalan mendapatkan rawatan segera mungkin mengakibatkan penyakit di bahagian faraj. Oleh itu, jika terdapat perubahan pada keputihan, segera rujuk artikel ini dan berjumpa dengan doktor jika perlu.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk Mama dan anak-anak perempuan Mama.


Dapatkan tips dan panduan kesihatan Mama dan Papa yang lain DI SINI.