KelabMama

JANGAN RENDAH DIRI JIKA ANDA RABUN WARNA

Masalah rabun warna kongenital (berlaku sejak lahir) tidak boleh dirawat atau dipulihkan. Walau bagaimanapun sesetengah penyakit mata yang menyebabkan rabun warna (acquired) boleh dibetulkan seperti masalah katarak atau selaput mata yang menyebabkan persepsi warna berubah dan ianya boleh kembali pada keadaan asal bila katarak di buang secara surgeri. 

Lain-lain kaedah yang boleh membantu meningkatkan persepsi seseorang terhadap warna adalah:

  1. Dengan menggunakan kanta sentuh tinta khas.
  2. Menggunakan cermin mata dengan penapis silau dan cahaya.
  3. Belajar dari masa dan persekitaran seperti contoh susunan lampu trafik.

Rabun warna perlu dikesan seawal mungkin. Ini boleh membantu kanak-kanak ini dari segi pelajaran dan untuk memberi motivasi serta dipupuk psikologinya dari segi pemilihan kerjayanya nanti.

Adalah penting membawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan mata awal sekiranya anda mengesyaki anak anda mempunyai masalah persepsi warna terutamanya jika ada juga keturunan yang mempunyai masalah yang sama. Rabun warna dan rabun mata tidak selalunya berkait namun adalah lebih baik mendapatkan pemeriksaan komprehensif bagi memastikan anak anda bebas dari masalah rabun penglihatan.

 

Sekiranya anak anda telah sah dikesan dengan masalah rabun warna janganlah memikirkannya sebagai satu kecacatan dan kekurangan kerana masalah rabun warna adalah masalah genetik yang tidak mampu dikawal dan ianya tidak mengganggu prestasi penglihatan. Anda perlu memberitahu pihak guru tentang masalah anak anda dan berbincang kaedah terbaik untuk membantunya. Sekiranya guru tersebut tidak berkemahiran mengendalikan pelajar rabun warna sebelum ini, anda boleh membantu dengan memberi keterangan warna yang dapat dilihat dan warna yang anak anda mungkin akan terkeliru. Seperti contoh menggunakan kapur papan hijau yang kontrasnya jauh berbeza. Penggunaan kapur putih lebih digalakkan berbanding dengan kapur warna kuning atau hijau.

 

Penggunaan kanta sentuh bertinta khas dan penapis bewarna. Kanta sentuh tinta khas berlainan tona untuk merawat rabun warna berlainan jenis

 

Sesetengah kanta sentuh tinta khas dan penggunaan penapis berwarna boleh membantu  merawat dengan cara ianya memisahkan dengan nyata warna-warna hampir serupa dengan persepsi orang rabun warna. Perlu diingat seseorang yang rabun warna bukan buta warna tetapi mereka terkeliru dengan warna. Optometris boleh mencuba meletakkan kanta sentuh tinta khas di atas mata bukan dominan dan menguji sama ada Ujian Plat Isihara mampu dilihat sepenuhnya oleh pesakit rabun warna. Penglihatan warna dengan pemakaian kanta sentuh tinta khas ini bukanlah bertujuan untuk merawat tapi ianya dapat membantu seseorang untuk lulus dalam Ujian Plat Ishihara. Sebelum pemasangan kanta sentuh tinta khas ini berlaku, pemakai harus memberi justifikasi tentang penggunaan kanta sentuh ini. Pemakai juga akan diminta menandatangani satu borang deklarasi yang menyebut beliau tidak akan menggunakan kanta sentuh ini untuk tujuan lain yang boleh memberikan kemudaratan pada masyarakat seperti contoh penggunaannya untuk memohon menjadi tentera atau juruteknik elektrik ataupun kerjaya yang bergantung pada persepsi warna.

Penggunaan kanta sentuh tinta khas boleh digunakan untuk mendapatkan kepuasan penglihatan warna dan mampu memberi kelainan dari persepsi warna pada lukisan atau fotografi. Pemakai seharusnya tidak melanggar akuan yang telah diberikan dihadapan Optometris.

 

 Kanta sentuh tinta khas warna merah diletakkan pada mata yang bukan dominan.  Mata kelihatan normal dengan kanta sentuh ini.

 

Apakah Ujian Plat Ishihara? Ujian Ishihara diambil dari nama pereka itu sendiri iaitu Dr. Shinobu Ishihara, seorang professor di Universiti Tokyo. Prof ini menerbitkan ujian ini pada tahun 1918. Ujian ini terdiri daripada beberapa plat berwarna yang dipanggil sebagai plat Ishihara. Di dalam plat ini mengandungi bulatan titik-titik yang terdapat secara rawak dengan warna dan saiz. Titik-titik di dalam corak itu ada yang berwarna terang dan pudar yang dapat dilihat oleh individu normal atau sebaliknya. Keseluruhan ujian ini terdiri daripada 38 plat untuk mengenal pasti masalah penglihatan seseorang itu tetapi biasanya selepas beberapa plat masalah itu sudah dapat dikenal pasti. Ada juga ujian yang lebih kecil seperti hanya menggunakan 14 plat atau 24 plat.

 

Rabun warna di setiap negara adalah di antara 4-8% dan peratusan ini semakin meningkat mengikut kadar masa disebabkan oleh pengaruh genetik.Memandangkan populasi rabun warna yang agak besar, rabun warna perlu difikirkan kembali sama ada ianya benar satu “masalah” ataupun sebaliknya. Ini adalah kerana bagi mereka yang rabun warna jenis dikromat (persepsi warna tidak senormal dikromat), mereka mampu membezakan objek yang berselindung dengan latar belakang. Tambahan pula sekiranya kaedah ini dilakukan, kepuasan hati setiap individu terhadap persepsi warnanya adalah sangat subjektif. Perlu difikirkan sama ada kualiti kehidupan akan berubah atau akan lebih terganggu sekiranya rabun warna dapat di rawat sepenuhnya.

 

 

 

Sumber: drhalizamutalib.blogspot.myiluminasi.com