KelabMama

Mak Buyung, Jangan Paksa Diri Berpuasa Kalau Ada 7 Tanda Ini!

ibu mengandung sakit berpuasa

Bulan Ramadan semakin hampir, sudah pasti Mama semua risau dengan kandungan kerana ragu-ragu adakah boleh berpuasa atau tidak. Mama jangan risau, wanita yang hamil antara golongan yang diberikan kelonggaran oleh Allah SWT untuk tidak berpuasa.

Dengan syarat, Mama perlu menggantikan semula puasa yang Mama ditinggalkan selepas habis Ramadan dan apabila sudah boleh berpuasa nanti.

Dalam Islam, wanita yang hamil diberi kelonggaran untuk tidak perlu berpuasa sekiranya ia mendatangkan kemudaratan kesihatan Mama dan kandungan. Hal ini untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang perkara buruk kepada Mama dan bayi dalam kandungan.

Walau bagaimanapun, sekiranya tahap kesihatan Mama dan kandungan baik-baik sahaja, maka Mama diwajibkan untuk berpuasa ye. Berikut merupakan beberapa tanda atau simptom yang Mama HARUS untuk tidak berpuasa.

Ada Tanda-tanda Ini? Jangan Puasa Please Mama!

1. Morning Sickness yang Teruk

Diawal fasa kehamilan, selalunya Mama akan mengalami morning sickness yang teruk. Sekiranya keadaan Mama berlarutan, Mama Siti nasihatkan Mama untuk berbuka sahaja kerana akan menyebabkan Mama kekurangan tenaga.

Seperti yang dinasihatkan oleh Dr Azwaratul Khadijah Azzahar, pada trimester pertama Mama akan mengalami simptom seperti muntah, loya dan pedih hulu hati. Sekiranya keadaan ini berterusan akan menyebabkan berlaku dehidrasi dan luka pada dinding perut.

Hal ini sangat merbahaya kerana boleh mendatangkan risiko penyakit yang lain pula kepada Mama. Jadi, adalah lebih baik untuk Mama tidak berpuasa.

2. Dalam Tempoh Pengambilan Ubat

Mama perlu patuhi waktu pengambilan ubat untuk mengelakkan kemudaratan pada baby. Terutama Mama yang berdepan dengan masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi.

Ini kerana Mama memerlukan rawatan seperti pengambilan insulin dan ubat-ubatan. Mama yang mempunyai kencing manis sekurang-kurangnya akan mengambil suntikan sebanyak tiga atau empat kali sehari.

Begitu juga dengan Mama yang ada darah tinggi. Justeru, Mama Siti tegaskan Mama tidak perlu berpuasa untuk kebaikan Mama dan baby.

3. Demam, Rasa Sejuk, Menggigil dan Berpeluh

Mama jangan paksa diri ye untuk berpuasa dalam fasa mengandung ini sekiranya Mama mempunyai masalah kesihatan seperti demam. Situasi lain yang perlu diambil berat apabila Mama mengalami hypoglysemia iaitu kandungan gula dalam darah rendah.

Jika badan Mama terasa seperti lemas, menggigil dan berpeluh, dinasihatkan mama untuk berbuka puasa sahaja.

Turut dinasihatkan juga untuk terus berbuka sekiranya Mama mengalami simptom seperti berpeluh dingin dan cirit-birit kerana itu juga tanda Mama sedang mengalami dehidrasi.

4. Hilang Berat Badan

Kebiasaannya semasa bulan puasa, kebanyakan individu akan mengalami penurunan berat badan.

Tetapi tidak bagi Mama mengandung. Sekiranya berat badan Mama tidak berlaku penambahan, malah semakin menurun, ini akan mendatangkan risiko kepada baby dalam kandungan.

5. Bayi Kurang Bergerak

Kalau usia kandungan Mama berusia 28 minggu dan ke atas Mama perlu memantau pergerakan baby serta mencatat pergerakan baby – berapa banyak baby bergerak dalam sehari.

Jika pergerakan baby berkurangan dari biasa, Mama hendaklah berbuka puasa.

Mama juga perlu segera pergi ke hospital untuk melakukan pemeriksaan untuk penilaian CTG dan ultrasound untuk melihat tahap tumbesaran dan keadaan bayi dalam kandungan.

6. Hampir dengan Due-date

Jika Mama sudah hampir dengan due-date, Mama Siti nasihatkan Mama untuk tidak berpuasa. Papa juga perlu sentiasa pantau keadaan Mama ye.

Hal ini kerana, bimbang sekiranya Mama bersalin awal dari tarikh yang ditetapkan mengikut pengiraan doktor. Persiapan diri Mama sangat penting, baik dari segi mental mahupun fizikal.

Situasi ini untuk mengelakkan Mama kekurangan tenaga dalam bilik bersalin nanti. Macam mana Mama nak push kalau Mama tak ada tenaga nanti kan?

7. Kurang Kencing dan Kerap Dahaga

Apabila Mama mengandung yang berpuasa rasa kerap dahaga dari kebiasaan atau air kencing yang berwarna gelap dengan kuantiti yang sedikit serta berbau kuat itu adalah tanda badan Mama dehydrate ye.

Sekiranya berlaku seperti ini, Mama perlu elakkan berpuasa untuk seketika waktu dan banyakkan minum air masak.

Pengiraan Fidyah bagi Puasa yang Ditinggalkan

Kredit gambar: BSI Maslahat

Mama yang tidak berpuasa kerana risau akan bahayakan kesihatan kepada kedua-duanya perlu melakukan qada dan membayar fidyah. Hukum membayar fidyah adalah WAJIB ye Mama.

Fidyah merupakan sesuatu keperluan orang miskin dengan memberi mereka makanan. Fidyah ini dijadikan sebagai sumbangan wang tunai atau bahan makanan ruji seperti beras berdasarkan jumlah fidyah yang Mama perlu bayar.

Perkara ini wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang Mama tinggalkan. Jangan lupa ia menjadi satu hutang sekiranya Mama tidak melaksanakan tanggungjawab ini.

Terdapat dua pengiraan untuk membayar fidyah. Buat Mama yang masih keliru, berikut merupakan cara pengiraan fidyah di Malaysia:

i. Belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadan seterusnya

(Bilangan hari yang ditinggalkan) X (Kadar fidyah)
Contoh:
15 hari x RM4.00 = RM60.00

ii. Belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadan tahun berikutnya

(Bilangan hari yang ditinggalkan X Kadar fidyah) X (Bilangan tahun yang ditinggalkan)
Contoh:
(15 hari x RM4.00) x 3 tahun = RM180.00

Mama Siti nak nasihatkan, boleh berpuasa atau tidak, Mama perlu menitikberatkan kesihatan Mama dan juga kandungan.

Mama perlu sentiasa mematuhi panduan pemakanan dan kesihatan daripada doktor untuk perkembangan baby yang sihat serta kesihatan Mama yang konsisten.

Mama jangan risau ye kalau tidak larat untuk puasa. Tidak mengapa, ada alasan yang kukuh kenapa Mama tidak boleh ikut berpuasa sekali.


Mama perlukan panduan penggunaan skincare ketika mengandung? klik DI SINI.