KelabMama

Khas Untuk Mama: Memburu Tittle ‘Isteri Solehah’

Salah satu hadis Rasulullah SAW yang sangat popular dan Mama Siti yakin kebanyakkan para isteri biasa mendengarnya. Kata-kata Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ahmad ini antara berita gembira untuk para isteri iaitu:

Jika seorang wanita selalu menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan), menjaga kemaluannya (dari perbuatan zina) dan taat pada suaminya, maka dikatakan pada wanita tersebut, “Masuklah ke syurga melalui pintu mana pun yang engkau suka,”.

(HR. Ahmad)

Menjadi isteri solehah sememangnya dambaan setiap wanita. Apatah lagi ia dijanjikan Allah ganjaran syurga bagi isteri yang mentaati suaminya.

Hadis dipetik di atas ini seolah seperti kayu ukur untuk setiap para isteri yang mengidamkan syurga.

“Oh, senang rasanya. Jaga solat yang wajib je, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga maruah diri dan taat suami. Dah boleh masuk ke syurga.” Hmm, kedengaran mudah, kan?

Tapi adakah anda benar-benar faham tuntutan bagi setiap empat perkara yang digariskan ini? Jika ibadah kita dengan Allah mungkin dirasakan perlu dilakukan dengan seikhlas dan sepenuh hati, namun dalam konteks taat terhadap suami, adakah ia juga mudah untuk digalas?

Emosi wanita yang mudah sensitif menjadikan setiap hal berlaku dalam rumah tangga sangat menguji keimanan dan kesabaran.

Sebagai contoh tatkala kita berdepan situasi apabila berpesan pada suami untuk mengeluarkan makanan mentah beku dalam fridge pada jam 5 petang lantaran dia pulang kerja lebih awal.

Sebab Mama perlu masak dinner serta sediakan bahan untuk bekal makanan anak-anak dan suami esok pagi.

Dan sebaik tiba di rumah sekitar 8 malam, Mama tak fikir apa-apa, terus naik ke bilik membersihkan diri sebelum turun jam 8.30 malam untuk masak.

Namun, bila Mama tengok di sinki, tak ada pun makanan mentah yang defrost. Rupanya suami terlupa. Masa tu perasaan Mama mungkin mula nak marah.

Walaupun suami ambil jalan mudah untuk bungkus makanan di luar menggantikan dinner, tapi macam mana dengan perancangan nak siapkan bahan makanan untuk bekal esok?

Ya, kedengaran mudah dengan perkataan ‘taat suami’. Namun hakikatnya, ia banyak menuntut kesabaran dan pengorbanan dalam hati.

“Alah, biasalah dalam rumah tangga normal kadang kala marah suami, terkasar bahasa tak sengaja. Banyak terasa dengan sikap acuh tak acuh orang lelaki ni kadang-kala.”

Mungkin ia dirasakan perkara normal dalam perkahwinan, namun jangan anggap ringan ye Mama. Untuk usaha memburu title isteri solehah, perasaan negative ini perlu dibuang jauh-jauh

Ia sejajar dengan kisah Rasulullah SAW dan puterinya, Saidatina Fatimah dipetik daripada Sinar Harian.

Suatu hari, Saidatina Fatimah berkata kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, semalam aku bergurau dengan Ali. Tanpa sengaja, aku telah mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaannya. Setelah itu, aku mendapati mukanya merah menahan marah.

“Bila aku melihat wajahnya begitu, aku berasa sungguh menyesal atas ketelanjuran berkata begitu. Lalu aku segera memohon maaf kepadanya.

“Aku mengelilingi dan merayu kepadanya sebanyak 70 kali sehingga dia reda. Dia akhirnya tertawa melihatku. Walaupun suamiku telah reda, namun aku masih berasa takut kepada ALLAH SWT,” kata Saidatina Fatimah.

Lalu baginda SAW berkata: “Wahai anakku, demi Allah yang telah mengutusku sebagai nabi dengan agama yang benar. Sesungguhnya jika engkau meninggal dunia sebelum Ali meredaimu, maka aku tidak akan melakukan solat jenazah buatmu.”

Daripada kisah ini, dapat kita lihat bahawa Nabi Muhammad SAW begitu tegas kepada puterinya tentang kepentingan mendapat reda suami dalam kehidupan berumah tangga.

10 Cara Menjadi Isteri Solehah

Kerana itulah disebut syurga adalah suatu yang mahal. Bukan mudah untuk mendapatkannya, namun ia perlu diburu kerana siapa je tak nak masuk syurga?

Malah, kalau difahami mengapa dengan mentaati suami je dah boleh dekatkan isteri itu ke syurga. Ianya sebab perkahwinan sebenarnya lubuk pahala. Segala ujian, amanah, tanggungjawab dan tugas digalas seorang isteri merupakan ganjaran besar di sisi Allah.

Sebab itulah kalau wanita tadi berjaya mengharungi ujian dan dugaan dalam ruamhtangga dengan melayani suaminya sebaik mungkin, maka syurgalah tempatnya.

Dan dalam usaha untuk bergelar isteri solehah, ini antara cara-cara yang boleh dipraktikkan oleh kita semua:

1. Menghormati suami

Cara menghormati seseorang tentulah antaranya bercakap dengan lembut, menjaga bahasa bila berkata-kata. Sama seperti isteri yang bertutur dengan suami dengan sopan, itu dikira sebagai menghormati suami.

Selain itu, apabila melintasi suami, tundukkan sedikit tubuh sebagai tanda kita hormatkan beliau dan sentiasa menganggap suami itu sebagai ketua keluarga.

Ini termasuklah sikap mendahulukan beliau dalam setiap perkara seperti meminta pendapatnya bagi apa sahaja isu.

Sekiranya ada perkara yang anda berdua tak sependapat, Mama boleh menasihati suami dengan cara beradab tentang kehendak Mama.

Anda faham seorang lelaki itu ingin rasa dihormati dan seorang wanita itu pula ingin rasa disayangi.

2. Sentiasa menjaga maruah suami

Menjaga maruah suami samalah dengan maksud menjaga nama baik beliau. Ia bererti anda sebagai seorang isteri tidak membiarkan nama suami buruk di mulut orang lain.

Bukan setakat isteri menjaga batas pergaulan apabila dengan lelaki ajnabi, namun ia termasuk menyimpan rahsia dan hal yang memalukan suami.

Meskipun sekadar bergurau untuk diceritakan kepada bestfriend atau ahli keluarga, namun fikirkan maruah suami yang mungkin berasa malu jika orang lain mengetahui hal dalam kain beliau.

Seperti contoh perangai suami tidur berdengkur dengan bunyi yang pelik, mungkin isteri merasakan ia suatu yang lucu, tapi suami pula rasa malu bila perkara itu diketahui orang lain. Jadi awas ya Mama, nak bergurau tentang suami perlu jaga batas. Jangan sampai membuka aib dan menjatuhkan air mukanya.

Melainkan perkara yang melibatkan penganiayaan atau penderaan ke atas isteri. Itu tak boleh dirahsiakan.

3. Meminta izin atas setiap perkara melibatkan dunia luar

Ini juga perlu diberikan perhatian oleh seorang isteri. Setiap perkara perlu dilakukan dengan keizinan suami.

Bukan hanya mintak izin untuk keluar jer, isteri solehah juga akan meminta izin dalam setiap perkara termasuklah sebelum upload gambar di mana-mana social media.

Ini kerana jika kita sedar, setiap gambar yang akan dipertontonkan di khalayak ramai itu mematuhi garis panduan sebagai Muslimah atau sebaliknya.

Sekiranya kita tertanya-tanya dakah gambar itu boleh menimbulkan fitnah atau menarik perhatian rakan lelaki social media, maka sebaiknya, minta izin suami sebelum memuat turun gambar tersebut.

Mama perlu ingat dengan satu mutiara kata bahawa wanita itu fitnah. Bermaksud, kesilapan dalam cara bergambar atau mungkin senyuman yang nampak je pun dah cukup menggugat pandangan kaum Adam.

Bukankah segala perilaku dan kecantikan isteri itu hanya untuk tontonan suami? Jadi, biar suami menilai adakah gambar yang anda nak upload itu sopan atau menarik perhatian. Hanya lelaki yang tahu pandangan antara mereka.

4. Menutup aurat

Isteri solehah juga akan sebaik mungkin menjaga aurat daripada pandangan lelaki lain bagi tujuan melindungi maruahnya.

Lebih-lebih lagi apabila berada di luar tanpa suami, sebolehnya bdia mahu tidak menjadi perhatian pada kalangan lelaki ajnabi.

Ini kerana dia sedar, segala tarikan tubuh dan kecantikan beliau hanya untuk tontonan sang suami.

5. Sentiasa mendengar setiap permasalahannya

Menjadi pendengar yang baik hingga membuatkan suami rasa selesa dan gembira setiap kali berkongsi pelbagai hal.

Dalam masa sama, berikan pandangan atas setiap kesulitan beliau hadapi. Contohnya mendapat tekanan ketika bekerja.

Bila suami bercerita dan ada respond yang baik daripada isteri, ini menunjukkan isteri itu ikhlas mendengar setiap cerita suami.

6. Selalu menyenangkan suami

Pandai menguruskan rumah tangga pastinya memberikan kesenangan pada para suami. Dalam usaha meraih gelaran isteri solehah, menggembirakan suami dengan urusan rumah tangga juga pastinya mengangkat darjat anda sebagai isteri solehah.

Bila suami pulang kerja dengan perasaan gembira kerana rumah dah kemas, makanan enak dah terhidang, anak-anak pun dah wangi semua, pasti perasaan suami berbunga-bunga.

Percayalah cakap Mama Siti, ketika itu suami anda sendiri akan mengatakan yang dia dah dapat isteri solehah.

Tak ada yang lebih gembira untuk seorang wanita tatkala mendengar suami mengatakan bahawa dia reda dan gembira dengan kehadiran isteri ini di sisinya.

7. Pandai memikat suami

Memikat atau melakukan aktiviti romantis dalam rumah tangga tentu menjadikan hubungan anda dan suami lebih sweet.

Bukan setakat pandai melayani suami di bilik tidur, namun pikat juga suami dengan masakan kegemarannya atau raikan hari-hari bermakna anda berdua dengan suasana romantis.

Ini tidak hanya menjadikan Mama isteri solehah, namun pasangan paling sempurna di mata sang suami.

8. Berusaha memperbaiki kelemahan diri

Setiap daripada kita, mempunyai kelemahan dan kekurangan diri. Namun, jangan jadikan kekurangan itu sebagai hal mudah.

Adakalanya, sikap kekurangan daripada pasangan masing-masinglah mendorong kepada pertelingkahan sehingga membawa perpisahan.

Untuk seorang wanita yang berusaha menjadi isteri solehah, sebolehnya dia mahu menjadi yang terbaik di mata suami.

Setiap kekurangan dirinya akan diaju pada suami sama ada perlukah dia perbaiki mana-mana kelemahan dirinya.

Tak dinafikan sesetengah kekurangan diri memang sukar diubah contohnya sikap Mama yang rendah keyakinan diri bila berurusan dengan individu atasan sampaikan asyik terpaksa mintak tolong suami temankan.

Namun, ada sikap diri yang boleh diubah seperti perangai baran atau rasa diri je sentiasa betul. Jika suami tak sukakan perangai tersebut, Mama boleh perlahan-lahan ubah diri untuk menjadi orang yang lebih penyabar dan tenang.

9. Mendoakan suami

Ini juga menentukan Mama isteri solehah atau tak antaranya sentiasa mendoakan kebaikan buat suami.

Doa isteri juga sentiasa didengar Allah, jadi jangan pernah rasa penat untuk doakan suami anda.

10. Tidak membandingkan suami dengan lelaki lain

“Abang ni asyik pakai selipar jamban pergi jalan-jalan. Tolonglah pakai elok kemas sikit. Tengok Macam Azli jiran sebelah ni. Selalu keluar sarung kasut bertutup jenama Nike tu. Auto segak walaupun pakai baju t-shirt je.”

Awas Mama, jangan sekali-kali membandingkan suami dengan lelaki lain. Meskipun niat bergurau, namun sikap ini harus dielak sama sekali.

Contohnya suami memang gemar pakai selipar getah setiap kali pergi ke mana-mana termasuklah di acara majlis berprestij sekalipun, Mama tak suka dengan penampilan tu, namun tak boleh terus marah atau menyebut nama lelaki lain.

Cara yang betul adalah nasihat dan beritahunya secara berhemah dengan suara yang sopan ya.

Kita tak pernah tahu perasaan suami tatkala kita membandingkan beliau tanpa sengaja. Ego mereka sangat tercabar.

Jika Mama dibandingkan dengan wanita lain pun mesti sentap kan?

#Kesimpulan

Di zaman millenia ini, pasti ramai para isteri merasakan tidak wajar untuk menjaga hati suami semata-mata. Sedangkan, rumah tangga dibina atas dasar berkongsi. “Ni macam sebelah pihak je try hard nak jadi suci.

Wanita merasakan dialah yang perlu menyediakan segala keperluan dan dalam masa sama menjaga rumah tangga termasuk anak-anak.

“Habis suami buat apa? Kerja dan cari duit je? Tanggungjawab rumah tangga perlulah digalas bersama-sama. Ini kita yang jaga rumah bersih, kemas, masak sedap-sedap dan urus anak sampai wangi. Suami tak boleh tolong urus anak?” Mungkin ini soalan terpacul oleh kebanyakkan wanita tatkala membaca 10 tips untuk menjadi isteri solehah ini.

Mama Siti berasa terpanggil untuk kongsikan salah satu pesanan oleh Ustazah Asma Harun melalui sebuah video ceramah beliau suatu ketika dahulu dimana dia menyebut setiap yang kebaikan itu kita lakukan diberi ganjaran besar oleh Allah apatah lagi seseorang yang wajar ditaati seperti ibu bapa dan suami.

Bermaksud di sini, kebaikan yang kita lakukan pada manusia adalah akhlak yang baik, namun kebaikan pada tiga individu ini (ibu, bapa, suami) adalah lebih terbaik dan mulia di sisi Allah.

Dalam memburu syurga Allah, tentunya ia ujian yang sukar. Namun, setiap pengorbanan dilakukan oelh seorang isteri solehah sebenarnya lebih menentukan tahap keimanan wanita itu.

Sebagai contoh, Ustazah Asma Harun menyebut lagi, setiap keringat ikhlas dan kesabaran dilakukan seorang anak terhadap ibu bapanya yang ada sikap hasad dengki dan negatif akan mendapat pahala lebih berganda lantaran kerana kesabaran dan keikhlasannya melayan ibu bapa meskipun dicemuh.

Pahalanya tentu takkan sama dengan anak yang membuat kebaikan kepada ibu bapanya yang memang bersifat penyayang.

Ertinya di sini adalah, setiap kebaikan yang dilakukan diturunkan pula ujian akan dinilai Allah SWT daripada sekecil perkara hinggalah sebesar amalan.

Sebagai contoh dikurniakan suami yang tidak berakhlak, namun si isteri tetap sabar dan taat, ketahuilah bahawa Allah sedang memberikan banyak pahala kerana dia telah melakukan kebaikan dengan ikhlas, menghormati suami meskipun suaminya berperangai negatif, pahala kerana menjadi isteri yang sabar dan pelbagai lagi pahala yang Allah sedang nilai ketika itu.

Sebab itulah kalau kita faham konsep pahala dikalangan orang yang beriman, mereka mempunyai tahap kesabaran lebih tinggi.

Kerana semuanya dilakukan dengan ikhlas bagi tujuan mendapat reda Allah semata-mata tanpa mengambil kira kesusahan atau kesakitan dirinya sekalipun.

Sebab dia tahu semua yang berlaku adalah ujian Allah untuk meningkatkan imannya.

Dia tidak peduli jika ibu bapanya tidak menyukai dirinya meskipun dia melayani orang tuanya dengan sangat mulia. Kerana dia lebih memikirkan ganjaran pahala yang Allah janjikan terhadap anak yang berbuat baik kepada ibu bapa.

Semoga kita berjaya menjadi isteri solehah dan berjaya meraih semua ciri-ciri seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad tadi. Amin ya rabb.


Untuk pelbagai tips rumah tangga, Mama boleh klik di SINI!