KelabMama

INI SARANAN BERGUNA UNTUK MAMA KETIKA BERPANTANG

Ada di antara wanita culas mengikuti amalan berpantang yang mempunyai banyak kebaikannya setelah melahirkan anak. Antaranya mandi herba dan rebusan daun sebaik saja pulang ke rumah yang berfungsi mengeluarkan angin, mengharum dan menyegarkan badan. Kemudian melakukan urutan selepas tiga hari bersalin sama ada bersalin secara normal atau pembedahan. Penangguhan dalam tempoh yang lama akan menyebabkan badan dimasuki angin, bisa dan bentan. Terutama bagi ibu yang menjalani pembedahan banyak urat yang putus dan lebih memudahkan badan dimasuki angin. Sebaiknya dilakukan pada waktu pagi dalam posisi meniarap, telentang dan meniarap.

Urutan mampu melancarkan perjalanan darah, melegakan sendi, membuang angin dan lendir kotor, menaikkan peranakan, melawaskan nifas, memecahkan lemak dan mengembalikan bentuk badan. Walaupun dianggap remeh kerana perlu menyediakan dedaun yang diletakkan bersama tungku, khasiat bertungku tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sejak turun temurun ia menjadi amalan nenek moyang selepas bersalin. Bertungku setiap pagi selama 15 minit melancarkan perjalanan darah nifas, mengurangkan sakit urat dan otot serta mempercepatkan pengecutan rahim selain mengembalikannya ke kedudukan asal.

Ada wanita tidak bertungku dan merasakan badan sihat. Kesakitan itu hanya akan datang apabila mereka memasuki usia 40-an ke atas. Apa saja pelanggaran pantang yang dilakukan ketika muda tidak menjadi masalah kerana ia tidak meninggalkan kesan serta-merta. Sebaliknya lihat keadaan diri apabila sudah mulai berusia. Adakah susah berjalan, sering sakit pinggang atau lutut, lemah badan dan sakit otot dan imbas kembali cara anda berpantang 10 atau 20 tahun dulu adakah mengikut tertib dan dilakukan dengan cara yang betul.

 

JANGAN BANDINGKAN DENGAN WANITA BARAT

Ada pula yang membandingkan dengan wanita Barat, yang tidak berpantang namun kekal sihat. Sebenarnya perbandingan ini tidak wajar dilakukan kerana situasi, keadaan iklim, makanan dan budaya sangat berbeza. Sebab itu setiap bangsa mempunyai cara berpantang yang perlu diikuti dana bersesuaian dengan tubuh seseorang.

Bagi mengelak rasa tertekan atau penat kerana perlu melilit kain bengkung yang panjang, ibu boleh memilih bengkung moden berpelekat atau tali yang pendek bagi memudahkan pemakaian. Bersalin pembedahan juga sebaiknya berbengkung selepas dua minggu bersalin bagi menaikkan otot perut dan mengelak perut mengeleber.

Selain itu bertangas juga elok dilakukan mengurangkan bau yang tidak menyenangkan, mengatasi masalah keputihan, menyegarkan badan, membetulkan kedudukan rahim dan memulihkan hubungan suami isteri. Jika tidak mahu berpilis atau berparam, pastikan rambut diikat tinggi bagi mengelak kepala rasa pening. Selain itu amalkan mandi air suam selama 44 hari, tidak menggunakan pendingin hawa dan sentiasa memakai stoking sama ada di rumah dan ketika keluar bagi mengelak badan dimasuki angin. Jangan keluar rumah bersama bayi dalam tempoh berpantang. Jika terpaksa dan tidak dapat dielakkan keluar pada waktu siang sahaja.

 

SARANAN BERGUNA KETIKA BERPANTANG

Sebaik-baiknya dalam tempoh mengandung selama sembilan bulan ia adalah masa untuk anda dan suami berbincang mengenai penjagaan selepas bersalin. Anda boleh membuat senarai dan mengikut rancangan yang sudah anda sediakan. Paling utama elakkan tekanan ketika dalam pantang. Raikan kelahiran si kecil dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Jika anda terpaksa berpantang bersendirian di rumah ikuti panduan di bawah bagi membantu melancarkan perjalanan harian anda:

Jangan tidur sehingga waktu tengah hari. Bangun awal supaya banyak perkara boleh diselesaikan. Selepas bangun terus mandi jangan bertangguh. Gunakan mandian herba kemudian berstokin selepas mandi.

Pakai bengkung moden agar anda cepat siap. Jika tidak mahir minta dengan suami sebelum dia ke tempat kerja.

Ambil sarapan ringkas dan mengenyangkan sebaiknya sehingga ke waktu makan tengahari.

Biarkan rumah bersepah sekiranya anda tidak mampu mengemaskannya. Jika ada anak yang lebih besar minta dia melakukannya. Jika tidak tunggu sehingga suami pulang ke rumah.

Sebelum bersalin sepatutnya anda berbincang dengan suami mengenai penjagaan ketika dalam pantang dan mencari tukang urut. Pastikan si kecil diberikan susu secukupnya sebelum anda melakukan urutan.

Mandikan bayi di antara jam 10 hingga 11 pagi. Letakkan besen mandi bayi di atas meja atau tempat tinggi separas pinggang. Isikan air mengguna gayung. Campur sikit air panas. Mandikan bayi dengan cara berdiri. Jangan cuba-cuba untuk mencangkung. Pada hujung minggu, mintalah suami memandikan bayi.

Sebelum mandi letakkan baju dan peralatan mandian yang akan digunakan. Ini bagi mengelak anda kelam-kabut menyediakannya selepas memandikan bayi.

Susukan bayi selepas mandi agar bayi tidak merengek dan dapat tidur lena. Apabila bayi lena memudahkan anda melakukan kerja rumah yang tertangguh. Namun harus diingat anda juga memerlukan tidur yang mencukupi ketika dalam tempoh berpantang.

Masak sekali untuk makan malam. Pilih menu yang sesuai untuk semua orang dalam rumah. Jika berkemampuan anda boleh memesan menerusi perkhidmatan makanan dalam pantang dan terus dihantar ke rumah.

Minta pertolongan suami. Ingat jangan sesekali cuba menunjukkan yang anda ini hebat dan kuat. Sesekali suarakan apa yang anda inginkan. Lebih mudah, hantar saja ke dobi.

Pastikan anda menyimpan nombor telefon penting seperti polis, hospital atau klinik desa berdekatan. Ini kerana sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini anda tidak panik dan tahu siapa yang harus dihubungi segera.

 

 

 

 

 

 

Sumber: Norul Naha Abd Razak, Pengasas Kelas Perbidanan Islam & Harian Metro