KelabMama

Influenza Ancaman Senyap kepada Dewasa dan Kanak-kanak, Tip Penting untuk Bantu Melindungi Anda dan Keluarga

risiko influenza

Peningkatan ketara kes influenza di peringkat global dan serantau, ditambah dengan kematian pelakon Taiwan, Barbie Hsu, pelakon China, Liang You Cheng, dan seorang kanak-kanak perempuan Malaysia berusia tiga tahun, menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran tentang komplikasi serius yang berkaitan influenza.

Dr. Megat Razeem Bin Abdul Razak, Pakar Perunding Pernafasan dan Pulmonologi Intervensi

Influenza memberi impak yang besar di Malaysia dengan 5 hingga 15 peratus populasi dijangkiti setiap tahun sehingga menyebabkan ribuan kes yang serius dan nyawa terkorban. Walaupun sering dianggap sebagai penyakit bermusim, ia sebenarnya memberi impak yang besar kepada kesihatan awam yang menjadi punca jutaan kes kritikal dan kematian di seluruh dunia setiap tahun.

Dr. Megat Razeem Bin Abdul Razak, Pakar Perunding Pernafasan dan Pulmonologi Intervensi, serta Dr. Noor Zehan Binti Abdul Rahim, Pakar Pediatrik dan Respiratori Kanak-kanak dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), memberi pandangan tentang bagaimana influenza memberi kesan yang berbeza kepada orang dewasa dan kanak-kanak, serta menekankan kepentingan mengambil langkah proaktif untuk membendung penyebarannya.

Influenza pada Orang Dewasa: Ancaman yang Tidak Boleh Diabaikan

Menurut Dr. Megat, peningkatan kes influenza sering berlaku semasa cuti sekolah apabila rakyat Malaysia pulang dari luar negara dan membawa virus tersebut. Disebabkan influenza mudah merebak melalui titisan cecair di udara dan kontak rapat, tempat seperti sekolah, pejabat, dan pengangkutan awam menjadi kawasan berisiko tinggi penyebaran jangkitan.

Influenza jauh lebih teruk daripada selesema biasa, dengan gejala seperti demam panas, sakit tekak, sakit badan, dan keletihan melampau. “Bagi kebanyakan orang, ia tidak selesa tetapi masih terkawal. Namun, bagi golongan warga emas, wanita hamil, kanak-kanak kecil, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti asma atau penyakit jantung, ia boleh menjadi serius dengan cepat,” kata Dr. Megat. Komplikasi seperti pneumonia dan kegagalan pernafasan boleh mengancam nyawa, justeru rawatan awal amatlah penting.

Cabaran untuk mengesannya adalah gejala influenza sering menyerupai COVID-19 dan jangkitan virus lain. “Ujian pengesanan adalah penting untuk mendapat diagnosis yang tepat,” jelas Dr. Megat. Tanda amaran influenza yang teruk termasuklah demam berpanjangan melebihi tiga hingga empat hari, dehidrasi, loya, muntah, atau cirit-birit. “Ubat antivirus paling berkesan dalam tempoh 48 jam. Selepas lima hingga tujuh hari, komplikasi seperti pneumonia bakteria boleh bermula,” kata beliau.

Dr. Noor Zehan Binti Abdul Rahim, Pakar Pediatrik dan Respiratori Kanak-kanak

Influenza pada Kanak-kanak: Risiko Lebih Tinggi

Walaupun influenza boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun kanak-kanak terutama yang berumur di bawah lima tahun adalah antara kumpulan paling berisiko. Sistem imun yang belum matang menyebabkan mereka lebih mudah mengalami gejala teruk berbanding orang dewasa. “Influenza boleh merebak dengan cepat pada kanak-kanak. Oleh itu, intervensi awal amat penting untuk mengelakkan komplikasi jangka panjang yang boleh menjejaskan fungsi paru-paru mereka,” ujar Dr. Noor Zehan.

Influenza yang teruk pada kanak-kanak boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti pneumonia, dehidrasi, dan dalam kes yang jarang berlaku, jangkitan otak atau jantung seperti ensefalitis atau miokarditis. Gejala seperti demam panas, sakit badan, batuk, dan keletihan tidak boleh diabaikan dan menganggapnya sebagai masalah kesihatan biasa kanak-kanak. “Jika mengalami gejala berterusan melebihi 48 jam atau demam yang tidak kebah dengan ubat, ibu bapa perlu segera mendapatkan rawatan

perubatan,” saran beliau. Kesukaran bernafas, muntah berterusan, dan tanda-tanda dehidrasi adalah tanda amaran yang memerlukan penjagaan segera.

Vaksinasi Flu: Langkah Mudah untuk Mencegah Penyakit Serius

Walaupun terbukti berkesan, vaksinasi influenza sering disalah faham. “Vaksin influenza adalah selamat dan disyorkan untuk kanak-kanak seawal usia enam bulan,” kata Dr. Noor Zehan. “Ia dapat mengurangkan risiko penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital dengan ketara.” Beliau menasihatkan ibu bapa untuk tidak mempercayai mitos bahawa vaksin boleh menyebabkan influenza. “Vaksin mengandungi strain virus yang tidak aktif atau dilemahkan, bermakna sebarang gejala ringan selepas vaksinasi adalah tindak balas semula jadi imun badan.”

Jangkitan influenza berulang bukan sahaja menimbulkan risiko serta-merta, tetapi juga kesan jangka panjang. Dr. Noor Zehan berkata, “Keradangan berulang akibat influenza boleh meningkatkan risiko asma pada kanak-kanak.” Walaupun kanak-kanak sering mengalami jangkitan saluran pernafasan atas, jangkitan yang kerap dan teruk menandakan risiko yang lebih tinggi.”’Vaksinasi influenza berkala dan pengurusan asma yang betul adalah penting untuk mengurangkan risiko ini,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Megat menegaskan, “Vaksinasi tetap kekal sebagai pertahanan terbaik.” Beliau lega melihat kerjasama pesakitnya dalam mendapatkan vaksinasi dan kesedaran yang meningkat, terutamanya selepas pemergian Barbie Hsu. Beliau juga memuji inisiatif kerajaan dalam menyediakan vaksin kepada warga emas dan kumpulan berisiko tinggi.

Bagi individu yang sering ke luar negara, terutamanya ke destinasi musim sejuk, langkah berjaga-jaga tambahan adalah penting. Dr. Megat menyarankan individu untuk mengambil vaksinasi tahunan dan memaklumkan doktor tentang rancangan perjalanan mereka kerana strain influenza mungkin berbeza mengikut rantau. “Adalah penting untuk mengamalkan kebersihan tangan yang baik dan mengelakkan tempat yang sesak,” tambah beliau. Memakai pelitup muka, mengamalkan gaya hidup sihat, dan membawa cecair pembasmi kuman boleh mengurangkan lagi risiko jangkitan.

Melindungi Kanak-kanak di Sekolah dan Rumah

Pencegahan influenza perlu bermula dari peringkat awal, terutamanya di sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak yang merupakan tempat lazim penularan penyakit ini. “Sekolah perlu menggalakkan amalan mencuci tangan yang kerap, memastikan pengudaraan yang baik, menyediakan makanan berkhasiat, dan mengatur aktiviti luar untuk menguatkan sistem imun kanak-kanak,” cadang Dr. Noor Zehan. Mengajar kanak-kanak untuk menutup mulut apabila bersin dan mencuci tangan dengan kerap boleh membantu mengurangkan penyebaran.

Dr. Noor Zehan menekankan, “Melindungi diri dan anak-anak daripada influenza adalah tanggungjawab bersama.” Beliau mengingatkan ibu bapa bahawa influenza boleh merebak sebelum gejala muncul, justeru pencegahan adalah sangat penting. “Pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan,” tambahnya.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubaapn untuk Mama Papa di SINI.