KelabMama

Fakta, Risiko dan Pengalaman Bersalin Secara Induce

Kredit: darlinghanie.com

Sewaktu berbual bersama rakan pejabat yang sedang sarat mengandung, Mama Siti bertanyakan tarikh yang dijangkakan untuk bersalin. 

“Saya sudah 41 minggu, kak. Dah rancang dengan Doktor untuk lakukan induction Isnin akan datang,” jawab ibu muda itu. 

Seorang sahabat lain yang kebetulan ada di situ seperti keliru dengan pernyataan itu. Memandangkan dia baru sahaja bergelar isteri kurang 2 bulan, banyak perkara yang dia masih belum jelas dan faham, terutamanya bila bercerita tentang kehamilan. 

Kredit: Women Tips

Sebenarnya, apakah itu Bersalin secara Induce atau lebih dikenali dengan terma Induced Labour atau Induction? Adakah ia sesuatu yang normal dan dibenarkan? Adakah ia selamat?  

Apakah Bersalin secara Induce dan Bagaimanakah Prosesnya?

Bersalin secara Induce adalah perancangan yang dibuat untuk bersalin pada waktu atau hari tertentu dan tidak secara normal. Kebanyakan doktor akan mencadangkan cara bersalin secara induced ini disebabkan oleh beberapa perkara atau situasi. 

Kelahiran normal selalunya berlaku antara minggu ke 37 hingga minggu ke 42 kehamilan. Pada waktu ini, keadaan rahim ibu akan menjadi lembut dan mula terbuka untuk menyediakan laluan untuk bersalin. Kemudian, ibu-ibu akan mengalami kontraksi dan pecah air ketuban.

Kredit: Belly belly

Bersalin secara induce adalah salah satu proses kehamilan yang menggunakan teknologi dan ilmu perubatan untuk merangsang rahim ibu melahirkan anak secara normal. Dengan kata mudahnya, ia adalah proses ‘menipu’ atau ‘memaksa’ badan untuk menyediakan rahim agar terbuka dan melahirkan bayi secara normal.  

Antara cara-cara yang digunakan doktor untuk melakukan induce adalah seperti membuka pintu rahim secara manual, memecahkan air ketuban atau menggunakan ubat untuk memulakan kontraksi.   

Kelahiran secara induce ini selalunya lebih sakit berbanding dengan kelahiran secara normal. Di dalam kelahiran normal, kontraksi berlaku secara berperingkat tetapi apabila ibu bersetuju untuk bersalin secara induce, proses kontraksi berlaku dengan cepat (atau sela masa yang singkat) hingga sakitnya lebih kuat berbanding kontraksi secara normal. 

Kebiasaannya, bersalin secara induce ini akan menghadapi beberapa komplikasi dan memerlukan peralatan seperti forsep atau vakum untuk membantu mengeluarkan bayi dari rahim. Doktor juga akan memberikan ubat tahan sakit untuk membantu mengurangkan rasa sakit kontraksi. 

Jadi, jika proses bersalin secara induce ini menyakitkan, mengapa pakar perubatan masih mencadangkannya kepada para ibu yang hamil?

Kenapa Perlu Induce Bersalin

Bukan semua orang boleh dan mampu untuk beranak secara induce ini. Setelah suami Mama Siti terlepas peluang untuk menyaksikan kelahiran anak pertama dan kedua kerana batasan kerja, Mama Siti ada membuat permintaan untuk merancang hari bersalin dan mahu menggunakan induction. Doktor Mama Siti kurang bersetuju kerana padanya Mama Siti mampu untuk beranak secara normal tanpa perlu apa-apa bantuan perubatan. 

Kredit: Baby Center

Para doktor yang profesional hanya akan mencadangkan bersalin secara induce ini jika didapati ada risiko kepada kesihatan bayi di dalam rahim. Kemungkinan besar bersalin secara induce menjadi pilihan jika:

  1. Kandungan ibu sudah overdue iaitu melebihi 41 minggu kehamilan.
  2. Kedudukan plasenta tidak di kedudukan yang sepatutnya.
  3. Kesihatan ibu sendiri bermasalah, seperti ibu mempunyai sejarah diabetis, masalah ginjal atau darah tinggi.
  4. Bayi kurang aktif dan pergerakan berkurangan serta degupan jantungnya juga lemah.
  5. Air ketuban sudah pecah tetapi kontraksi secara normal masih tidak berlaku.
  6. Kelahiran bayi kembar.

Bagi ibu yang pernah menjalani pembedan Czer atau pembedahan di bahagian abdomen, tidak boleh melakukan proses induction ini kerana ia boleh menyebabkan luka di bahagian pembedahan dan mengakibatkan komplikasi sampingan yang lain. 

Selain itu, kedudukan bayi secara songsang atau sisi juga tidak boleh memilih untuk kelahiran secara induce.

Risiko Bersalin secara Induce

Setiap keputusan yang diambil pasti akan ada risikonya. Menurut kajian yang dijalankan oleh pakar saintis Barat, 1 daripada 4 kes bersalin secara induce ini akan berakhir dengan ibu terpaksa dibedah dan melahirkan secara C-zer.

Di samping itu, bayi di dalam rahim mungkin akan kekurangan oksigen dan akan memberi kesan kepada degup jantun bayi. Ibu atau bayi juga mudah terdedah kepada infeksi pada bahagian rahim. 

Kebanyakan kes bersalin secara induce ini juga akan menyebabkan pendarahan yang banyak berbanding kelahiran normal. 

Jika proses kelahiran secara induce ini tidak berjalan lancar, doktor pakar mungkin perlu mencuba kaedah lain atau pun pembedahan C-zer. Ibu dan ayah haruslah berbincang dengan doktor anda bagi mendapat gambara keseluruhan tentang proses ini dan pilihan yang ada sebelum membuat keputusan yang besar ini.

Kredit: Baby Center India

Pengalaman Bersalin secara Induce

Alhamdulillah, Mama Siti tidaklah mempunyai pengalaman first-hand bersalin secara induce ini. Pengalaman melahirkan semua anak Mama Siti berlaku dengan pantas dan mudah, Alhamdulillah. Namun, ada beberapa teman yang berkongsi pengalaman mereka dan amat cemburu mendengar betapa mudahnya untuk Mama Siti hendak melahirkan anak-anak. 

Ada sahabat yang sudah pecah air ketubannya, namun tidak berlaku kontraksi. Beliau diberi ubat untuk induce kelahiran bayi, tetapi selepas 12 jam, bukaan pintu rahim hanyalah 2cm sahaja. Bayi pula sudah menunjukkan degupan jantung yang rendah hingga membuatkan doktor terpaksa membuat keputusan untuk melakukan pembedahan ke atasnya. 

Kredit: 9bulan10hari.com

Ada juga seorang ibu muda yang berkongsi cerita dengan Mama Siti dia terpaksa memilih untuk bersalin secara induced kerana tahap darah tingginya yang meningkat disebabkan kelahiran. Menceritakan pengalamannya yang sangat sakit menahan kontraksi yang berlaku dalam jarak masa yang pantas, dia terpaksa meminta doktor memberinya ubat tahan sakit. Namun begitu, rasa sakit yang dirasainya tidak juga reda. Ditambah pula si bayi menghadapi sedikit kesukaran untuk keluar hingga menyebabkan kepalanya terpaksa dikeluarkan dengan menggunakan forsep.

Alhamdulillah, walaupun sedemikian, kedua-dua ibu masih bersyukur kerana bayi dan ibu selamat akhirnya.