KelabMama

Menu Iftar Menyelerakan dan Mudah: Ikan Siakap Stim Ala Thai

Diam tak diam, sudah separuh daripada bulan Ramadan berlalu, dan semoga ia telah dimanfaatkan sebaik mungkin. Paling tidak pun, mari kita tanamkan semangat untuk menambah lagi amal ibadah untuk hari-hari yang berbaki di bulan mulia ini, insyaAllah. 

Antara ibadah yang boleh kita manfaatkan ialah menyediakan makanan berbuka untuk ahli keluarga tercinta. 

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun. [Riwayat Al-Tirmizi]

Jadi, dalam kita menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari, niatkan dengan niat mengikut apa yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW, insyaAllah.

Dalam perkongsian kali ini, Mama Siti nak kongsikan satu resepi mudah, yang pasti menyelerakan. Tambah istimewa lagi, ianya hasil air tangan kita sendiri. Mama Siti ingin berkongsi cara-cara hendak menyediakan Ikan Siakap Stim ala Thai yang banyak khasiatnya. 

Kredit gambar: Khalifah Media Network

Jom Mama semua, kita cuba resepi ini untuk berbuka puasa nanti. 

Resepi Ikan Siakap Stim Ala Thai

Bahan-bahan

Kredit gambar: Durian Cheese

Cara Memasak

  1. Masak ikan dengan memasukkan di dalam perut ikan bahan-bahan serai, halia & daun limau kemudian stimkan selama 10-15 minit. Tip untuk tahu ikan sudah masak atau tidak, cuba cucuk sikit isi ikan dan jika isinya tak lekat pada tulang ikan, itu tanda ia sudah masak. 
  2. Kemudian, bolehlah kita sediakan kuah atau sup siakap stim ini. Mulakan dengan memanaskan air di dalam periuk dan masukkan kiub ayam.
  3. Masukkan gula melaka, cili padi, daun ketumbar dan sos ikan.
  4. Kemudian, perahkan jus limau nipis, sukatan mengikut citarasa ibu sekalian. Mama Siti gemar jika ianya lebih masam sedikit. 
  5. Gaulkan ke semua bahan-bahan tersebut sampai mendidih dan tutup air. Masukkan sedikit garam sesedap rasa. Kemudian, tuangkan kuah stim itu di atas ikan yang sudah distim tadi. 

Khasiat Ikan Siakap

Kredit gambar: MySihat

Sebenarnya, terdapat banyak khasiat ikan siakap ini tau. Antara khasiat yang boleh kita manfaatkan ialah:

  1. Menjaga kesihatan mata

Ikan siakap sangat tinggi kandungan vitamin A, seperti yang ada pada lobak merah. Vitamin A membantu menjaga kesihatan mata dan memperbaiki penglihatan kita. 

  1. Menurunkan berat badan

Bagi Mama yang sedang berazam untuk mengambil keberkatan Ramadan serta menurunkan berat badan, kurangkan pengambilan daging dan gantikan dengan ikan siakap ini. InsyaAllah, ia pasti membantu dalam mengurangkan berat badan Mama kerana kandungan lemaknya lebih rendah berbanding dengan daging. 

  1. Menguatkan tulang dan gigi 

Ikan siakap mempunyai kalsium semulajadi yang baik untuk kekuatan tulang dan gigi. Dengan mengamalkan pengambilan ikan siakap, dapatlah mengurangkan masalah osteoporosis dan juga menjaga kesihatan gigi kita.   

  1. Meningkatkan metabolisme

Ikan siakap juga mengandungi kandungan kalium yang tinggi yang membantu untuk meningkatkan metabolisme di dalam badan seseorang. Metabolisme yang tinggi dapat memudahkan kita melakukan pelbagai aktiviti tanpa cepat letih. Mungkin ia boleh menjadi asbab untuk memberi tenaga kepada kita untuk berqiam di malam hari di bulan Ramadan yang penuh barakah ini. 

  1. Menurunkan tekanan darah

Ikan siakap juga dipercayai dapat mengurangkan risiko hipertensi dan menurunkan tekanan darah dalam badan. Ia dapat melancarkan peredaran darah dan sekaligus membantu menstabilkan keadaan jantung. 

Ada banyak lagi khasiat ikan siakap ini, tapi buat perkongsian kali ini, Mama Siti hanya dapat berkongsi ini sahaja dahulu. Mama Siti berharap perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada ibu-ibu, terutamanya yang tidak tahu lagi apa nak makan untuk berbuka puasa nanti. Selamat menjamu selera.