Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sekali lagi membuka peluang kepada ibu-ibu tunggal di seluruh negara untuk menyertai Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) bagi tahun 2025.
Ia merupakan sebuah inisiatif berskala nasional yang memfokuskan kepada pemerkasaan holistik wanita tunggal daripada pelbagai latar belakang.
Program ini bukan sahaja bertujuan memberikan ilmu, malah menyasarkan pembangunan potensi diri ibu tunggal agar mereka dapat berdikari, memahami hak diri dan membina kehidupan baharu dengan lebih yakin dan berdaya saing.
Nak tahu lebih lanjut? Jom Mama Siti cerita apa sebenarnya KasihnITa ni untuk Mama semua.
Apa Itu Program KasihnITa 2025?
KasihnITa ialah program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) khusus untuk ibu tunggal. Tapi Mama, ini bukan program sumbangan barang dapur atau bantuan sekali lalu.
Program ini merupakan sebuah inisiatif jangka panjang yang merangkumi latihan, sesi pemahaman dan bimbingan khusus untuk membantu para ibu tunggal menjadi lebih berdikari, berani dan yakin dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Melalui pendekatan menyeluruh ini, peserta akan dibekalkan dengan ilmu, kemahiran serta sokongan emosi dan sosial semuanya secara PERCUMA demi membina semula keyakinan diri, mengukuhkan masa depan dan mencipta kehidupan yang lebih sejahtera.
Apa yang Mama akan Pelajari?
KasihnITa bukan seminar biasa. Ia satu perjalanan. Mama akan melalui tiga fasa utama dengan modul-modul yang sangat dekat dengan realiti hidup kita:
Program ini terbahagi kepada tiga modul utama yang disusun khas untuk ibu tunggal:
1. Modul Pengurusan Kewangan
Mama akan dilatih untuk memahami strategi kewangan asas, pengurusan hutang, perancangan belanjawan keluarga serta teknik simpanan dan pelaburan berhemah.
2. Modul Kemahiran Undang-Undang
Mama akan diberi pendedahan mengenai hak Mama dari sudut undang-undang syariah dan sivil termasuk berkaitan nafkah anak, hak jagaan, perceraian dan prosedur tuntutan di mahkamah.
Tak ada lagi rasa takut atau keliru, sebab Mama akan dibimbing oleh pakar dalam bidang undang-undang syarie dan sivil.
3. Modul Pembangunan Potensi Diri
Dalam modul ini akan diberikan latihan motivasi, pengurusan emosi, keyakinan diri, dan pembangunan kerjaya menjadi fokus utama dalam modul ini disampaikan oleh tenaga pengajar berpengalaman serta pakar kaunseling dalam sesi coaching, motivasi dan ada juga sokongan komuniti.
Siapa yang Layak untuk Memohon?
Permohonan terbuka kepada:
- Warganegara Malaysia
- Berstatus ibu tunggal (cerai hidup/mati, ditinggalkan, suami uzur)
- Mempunyai anak berumur 18 tahun ke bawah
- Komited dan bersedia menyertai keseluruhan program
Jangan tunggu lama-lama ya Mama! Permohonan hanya dibuka untuk tempoh terhad. Permohonan dibuka sehingga 31 Julai 2025. Masih ada lagi peluang untuk Mama sertai.
Semua permohonan dilakukan secara dalam talian. Mama hanya perlu isi borang melalui pautan rasmi: Permohonan Kasih Ibu Tunggal 2025.
Program akan dijalankan secara berperingkat bermula Ogos hingga Disember 2025 melibatkan enam zon utama di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Gabungan latihan fizikal dan secara online membolehkan Mama menyertai sesi secara fleksibel dan efektif.
Program ini bukan saja beri ilmu, tapi juga buka ruang untuk Mama bina masa depan yang lebih stabil dan bahagia untuk diri sendiri dan anak-anak.
Mama Siti percaya, setiap ibu tunggal ada cerita dan kekuatan tersendiri. Mungkin kita tak boleh ubah masa lalu, tapi kita boleh ubah masa depan.
Jangan lepaskan peluang ini. Program ini bukan sekadar latihan ia adalah ruang untuk membina semula kekuatan diri, dengan sokongan komuniti dan bimbingan yang tersusun.
Kalau Mama bukan ibu tunggal tapi kenal sesiapa yang layak, boleh share kepada mereka untuk memohon program ini. Kadang info macam ni jadi penyelamat kepada seseorang yang sedang hilang arah.
Untuk ketahui lebih banyak maklumat dan panduan khas buat Mama, klik di SINI.