KelabMama

Ibu Hamil Dengan Kencing Manis Boleh Menyebabkan Kandungan Tidak Normal

kencing manis

Bagi sesetengah ibu mengandung, ujian minum air gula merupakan proses yang sangat ditakuti. Kalau boleh, nak elak dan ada juga siap nak boikot lagi ujian tersebut! Sebab apa nak boikot? Kononnya takut dapat kencing manis kerana air gula yang tersangatlah manis. Tapi, Mama tahu tak apa kesannya terhadap kandungan kalau Mama tidak menjalani ujian ini? Bagaimana kalau Mama alami kencing manis ketika mengandung? Apa pula kesan terhadap kandungan Mama?

Ikuti kisah Dr Hana Hadzrami mengenai pesakit beliau yang mengalami kencing manis ketika mengandung.

Pembedahan Cleft Lip & Cleft Palate.

Baru-baru ini saya biuskan pesakit cilik yang menjalani pembedahan cleft lip dan cleft palate.

Ibu Hamil dengan Kencing Manis

3 daripada 4 kanak-kanak tersebut ialah hasil daripada ibu mengandung dengan kencing manis (gestational diabetes). Mereka bukan saja sumbing biasa, tetapi ada kecacatan lain juga. Mereka berwajah sindromik, ada jantung berlubang, jari terlebih. Dua daripada anak tersebut cuma ada satu buah pinggang yang berfungsi. Diagnosis mereka ialah diabetes embryopathy. Kesian kan?

Ibu Diabetes, Anak Dilahirkan Tidak Normal

Ujar Doktor Hana lagi, paling teruk keadaan bayi yang beliau pernah biuskan ialah bayi hasil ibu diabetes yang bukan saja sumbing malah mempunyai masalah kesihatan yang lain. Bayi tersebut dikatakan mempunyai masalah jantung berlubang, usus buta (tiada lubang dubur), hanya satu buah pinggang, dan lebih menyedihkan, organ jantinanya juga kabur (ambiguous genitalia) dan tiada telinga! Allahu, kita yang dengar pun rasa sedih. 

Ibu-ibu mereka semua berisiko tinggi diabetes tetapi melalui saringan diabetes yang lambat. Dah 20 minggu mengandung baru nak jumpa doktor dan buat saringan air gula. Pada 24 minggu baru tahu ada diabetes dan baru nak mula rawatan dan terapi diet.

Pembentukan Organ Janin Berlaku Seawal Trimester Pertama

Untuk pengetahuan Mama, pembentukan organ janin (organogenesis) berlaku seawal trimester pertama iaitu 3 bulan pertama. Jika paras gula tidak terkawal seawal usia kandungan, maka pembentukan janin boleh rosak dan tidak normal.  Doktor Hana juga sarankan, 

Untuk ibu berisiko rendah mereka hanya perlu melalui ujian saringan gula pada minggu 20-24. Tetapi ibu yang berisiko tinggi perlu melalui saringan lebih awal lagi.

Kenapa berlaku Diabetes Ketika Hamil?

Diabetes sewaktu mengandung adalah disebabkan sel tubuh resistan terhadap insulin. Ia disebabkan oleh perubahan hormon sewaktu mengandung. Kegemukan dan malas bersenam juga salah satu sebab sel tubuh rintang insulin.

Ujian minum air gula untuk ibu hamil harus dilakukan sejak awal kehamilan.

Ibu yang berisiko tinggi mendapat diabetes ketika Hamil:

1. Ibu yang ada prediabetes. Paras gula mereka dah melebihi normal tetapi belum cukup untuk dipanggil diabetes.

2. Ada diabetes semasa kandungan yang lepas.

3. Ada darah tinggi.

4. Ahli keluarga yang ada diabetes.

5. Ada masalah sindrom polycystic ovari.

6. Berat badan berlebihan sebelum mengandung atau naik berat mendadak sewaktu mengandung.

7. Berumur lebih 25 tahun.

8. Pernah melahirkan bayi yang berat 4kg keatas atau bayi yang cacat.

9. Pernah ada sejarah keguguran.

10. Berbangsa india, asia, afrika atau hispanic.

Jika ibu tersebut sudah pun ada diabetes sebelum mengandung, disarankan paras HbA1c mereka perlu kurang dari 6.1% sebelum nak mengandung. Jika lebih dari 10% tolong jangan mengandung dulu. Naya ibu dan anak nanti.

Doktor Hana juga menyarankan ibu-ibu hamil untuk jalani ujian saringan gula.

Saya dengar trend ibu-ibu sekarang boikot ujian saringan gula. Katanya boleh dapat diabetes bila telan air gula tu. Jangan ya. Tak betul tu. Ada pula yang boikot ujian tu tapi nak buat saringan HbA1c sahaja. Sebenarnya ujian ini hanya tepat sebelum mengandung dan semasa awal trimester saja. Masuk trimester kedua ia kurang tepat, dan tak sesuai dijadikan ujian saringan tunggal.

Saya seru pada para ibu supaya peka dengan kesihatan sendiri dan dengarlah nasihat doktor anda. Janganlah sebab kita cerewet taknak buat saringan air gula, bayi kita pula menanggung padah cacat seumur hidup. Dan jangan terkejut jika dengar banyak keguguran adalah disebabkan diabetes.

Mama semua, jangan ambil mudah ya dengan ujian air gula ini. Sangat penting sebenarnya untuk setiap ibu hamil menjalani ujian air gula! Walaupun air gula itu terlampau manis, tapi, untuk kebaikan diri sendiri dan kandungan, dengarlah nasihat mereka yang lebih arif dan pakar.