KelabMama

IBU DALAM PANTANG BUKAN MENGADA-NGADA!

Ramai dalam kalangan wanita masa kini mengambil mudah proses berpantang selepas bersalin sehingga menyifatkan proses berkenaan sekadar amalan orang-orang dahulu. Tidak kurang juga yang menyifatkan amalan berpantang sebagai tidak penting sehingga seawal dua minggu sudah ada yang berani mengendong bayi ke pusat beli-belah dan berjalan ke sana sini tanpa kaki beralas stoking yang menjadi tegahan pada wanita-wanita dahulu.

Sebenarnya tanpa sedar, wanita-wanita seperti ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah keadaan bayi yang masih memerlukan persekitaran yang bersih dan selamat dalam tempoh tiga bulan pertama sebaik kelahirannya. Tempoh selamat dan bertenang itu juga paling penting buat ibu bersalin kerana tiga hingga lima hari pertama selepas bersalin, kira-kira 70 hingga 80 peratus wanita berdepan dengan keadaan yang dipanggil meroyan iaitu berlaku kemurungan selepas melahirkan anak.

Proses berpantang merupakan proses amat penting buat wanita selepas bersalin, malah proses itu menentukan tahap kesihatan dan keupayaan wanita selepas melalui satu perjalanan yang sukar. Proses berpantang berkait rapat dengan masalah meroyan kerana ia berlaku dalam tempoh minggu pertama dan membawa sehingga 24 bulan selepas kelahiran. Pada tempoh itu, wanita bersalin tidak boleh ditinggalkan berseorangan sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu. Ini kerana kebanyakan wanita tidak sedar mereka dalam tempoh meroyan di mana hormon berubah sehingga menyebabkan mereka mudah berasa sedih, kecewa, keseorangan serta sensitif pada perkara-perkara yang mudah.

MEROYAN..

Masyarakat di negara ini terutama orang Melayu harusnya bersyukur kerana nenek-moyang dahulu telah meninggalkan amalan-amalan yang jika diamalkan dapat mengelak masalah meroyan. Bermula daripada menyambut kelahiran bayi, menanam uri, makan makanan berkhasiat, tidak melakukan kerja berat serta perhatian yang diberikan sepenuhnya merupakan antara kaedah paling berkesan untuk mengatasi masalah meroyan. Kemurungan selepas bersalin (postnatal depression) atau meroyan, bukan berlaku dalam masyarakat Melayu sahaja. Semua wanita baru bersalin tanpa mengira bangsa, agama, mahupun agama berpotensi mengalaminya. Malah, pelakon Hollywood, Brook Shields suatu ketika juga pernah mengaku mengalami kemurungan ketika melahirkan anaknya.

SUAMI TOLONGLAH FAHAM!

Ramai suami mengambil mudah tentang proses berpantang. Tindakan suami yang membiarkan semua urusan dilakukan isteri bermula dari disahkan mengandung sehingga menguruskan bayi ketika berpantang, menyebabkan wanita mudah berasa tidak dihargai dan cenderung kepada masalah meroyan. Hampir kebanyakan suami menyifatkan wanita selepas bersalin terlalu ‘mengada-ngada’ kerana perlu diberi perhatian yang lebih sehingga kebanyakan suami mengabaikan perasaan isteri.

PERLU URUT UNTUK PULIH

Amalan mengurut dalam tempoh berpantang adalah paling penting kerana melalui proses berkenaan, urat-urat yang terjejas ketika proses bersalin dapat dipulihkan, malah perubahan hormon di dalam badan dapat diuruskan dengan baik. Dalam amalan tradisional, mengurut membolehkan darah-darah yang terkumpul mengalir serta keluar dari badan dan ini membolehkan badan wanita kembali sihat. Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi proses ini merupakan satu elemen penting mengatasi masalah meroyan kerana badan tidak sihat juga merupakan faktor awal.

 

FAKTA MENGENAI MEROYAN SELEPAS MELAHIRKAN ANAK

 

 

 

Sumber: Internet