KelabMama

Homeschooling di Malaysia: Jalan Selamat untuk Anak, atau Sekadar Trend Zaman Sekarang?

homeschool atau hantar sekolah

Sejak ada banyak kes yang berlaku di sekolah sekarang, ramai Mama Papa mula terfikir nak homeschooling anak-anak di Malaysia. Bukan sebab nak ikut orang, tapi sebab makin banyak kejadian di sekolah yang buat kita risau dengan kes buli, pergaduhan, malah ada yang sampai meragut nyawa.

Siapa tak seram, kan? Anak keluar rumah pagi-pagi dengan beg sekolah, tapi kita di rumah tak tenang sebab risau apa yang menanti dia di sana.

Jadi persoalan besar mula timbul adakah homeschooling ni pilihan yang lebih selamat? Atau sebenarnya kita cuma cuba lari daripada sistem yang semakin mencabar ni?

Homeschooling: Belajar dalam Suasana yang Lebih Selamat

Homeschooling ni sebenarnya bukan perkara baru. Ramai Mama Papa mula pilih cara ni sebab nak anak belajar dalam suasana yang lebih tenang, bebas tekanan, dan sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Bila anak belajar di rumah, Mama Papa boleh kawal apa yang anak belajar, nilai diajar, siapa yang dia bergaul, dan bagaimana emosinya berkembang. Tak ada tekanan nak kejar markah, tak ada rasa takut dengan guru garang, dan tak perlu bersaing sampai stres.

Contohnya, kalau anak minat seni, boleh bagi lebih masa untuk aktiviti kreatif. Kalau anak suka sains, boleh buat eksperimen di rumah. Belajar pun jadi lebih menyeronokkan.

Homeschooling Bukan Jalan Mudah

Jangan salah faham ya, Mama Siti cuma nak tekankan homeschooling bukan semudah yang Mama Papa nampak di TikTok atau YouTube.

Ia perlukan tenaga, masa, dan komitmen yang tinggi. Mama Papa kena faham silibus, buat rancangan pembelajaran, sediakan bahan, dan pantau kemajuan anak.

Ada masanya Mama Papa akan mula rasa penat dan mula tertanya-tanya sama ada keputusan ni betul atau tidak. Tambah lagi kalau ada anak ramai atau kerja sepenuh masa memang mencabar nak seimbangkan semua.

Satu lagi isu besar ialah sosialisasi anak. Anak-anak yang belajar di rumah mungkin kurang peluang untuk berkawan atau berinteraksi dengan rakan sebaya. Ini boleh beri kesan pada kemahiran sosial dan keyakinan diri mereka nanti.

Jadi penting untuk Mama Papa aktif cari komuniti homeschooling, playgroup, atau aktiviti luar supaya anak tetap belajar tentang dunia sebenar.

Homeschooling dan Undang-Undang di Malaysia

Ramai tak tahu, homeschooling di Malaysia bukan sekadar keputusan peribadi. Ia ada peraturan di bawah undang-undang Malaysia.

Mama Papa yang nak ajar anak di rumah mesti memohon kebenaran rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Berdasarkan Seksyen 29A(2) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), peruntukan ini memberikan kuasa budi bicara kepada Menteri Pendidikan untuk memberi pengecualian kepada kanak-kanak tertentu, asalkan Mama Papa mengemukakan permohonan rasmi beserta alasan yang munasabah dan mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Kementerian.

Permohonan ni perlu disertakan dengan alasan kukuh contohnya anak ada keperluan khas atau mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan penjagaan rapi daripada Mama Papa.

Kalau homeschooling dijalankan tanpa kelulusan, Mama Papa boleh dianggap melanggar undang-undang wajib sekolah di bawah Seksyen 29 Akta Pendidikan 1996, yang mewajibkan setiap kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun menghadiri sekolah rendah.

Jadi, sebelum buat keputusan, Mama Papa pastikan semua prosedur dan dokumen lengkap supaya tak timbul isu undang-undang nanti.

Bagi Mama Siti, tidak ada jawapan mutlak. Ia bergantung kepada penyediaan dan penerimaan keluarga itu sendiri. Kalau Mama Papa ada masa, tenaga, dan kesabaran, homeschooling boleh jadi pengalaman yang sangat berharga. Tapi kalau keputusan dibuat sebab panik atau terikut trend, anak-anak mungkin jadi mangsa keadaan.

Kadang-kadang, penyelesaian bukan dengan “tarik anak keluar sekolah”, tapi bina komunikasi lebih baik antara Mama Papa, cikgu, dan pihak sekolah.

Kalau anak dibuli, jangan diam. Kalau guru berkasar, kita berbincang. Kalau sistem berat sebelah, kita suarakan. Kita mungkin tak boleh ubah seluruh sistem, tapi kita boleh ubah cara kita melindungi dan menyokong anak sendiri.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Ada banyak lagi info menarik yang Mama Papa boleh explore di SINI.